Thursday, September 1, 2016

ZIKIR NAFAS ADALAH ZIKIR RUH

Zikir nafas itu melalui hubungan nafas yang keluar masuk disertakan zikir ‘Hu Allah’ tanpa diucapkan dengan bibir suara dan hanya menyebutnya di dalam hati sahaja. ‘Hu’ adalah ketika jalannya memasuki nafas seraya mengingati ‘Lailaha illa Hu’ (tiada yang wujud melainkan DIA) di dalam kesedaran hakikat diri. Dan ‘Allah’ adalah ketika menzahirkan nafas seraya mengingati ‘Lamaujuda illallah’ (tiada yang maujud melainkan Allah) di dalam kesedaran syariat diri.

Bermulanya setiap manusia itu melakukan zikir nafas ialah ketika sejak mula lahirnya sebagai bayi di dunia ini. Bayi itu telah mengambil salah-satu unsur iaitu udara di bumi ini untuk menjadi gerakan nafasnya. Nafas yang masuk membawa kehidupan dan nafas yang keluar membawa tenaga batiniah. Sebenarnya nafas itu juga terdirinya dua huruf. Nafas yang masuk terdiri huruf ‘Ha’, manakala nafas yang keluar terdiri huruf ‘Waw’, maka sambungan kedua huruf itu adalah perkataan ‘Huwa’ (DIA).

Pada peringkat awal zikir nafas ini bersandarkan juga daya ingat kepada Allah atau saat mengingati Allah. Bagaimanapun, zikir yang berdasarkan semata-mata pada daya ingatan, sebenarnya adalah tidak kekal kerana sifat akal manusia itu lemah. Sebentar mengingati Allah dan sebentar pula hilang tumpuan ingatannya kepada Allah kerana terhalang oleh sebab yang melalaikannya apabila tumpuannya beralih kepada selain Allah. 

Setelah zikir nafas itu tidak lagi tergantung pada keluar- masuknya nafas, maka zikir ‘Hu Allah’ itu pun berpadu dalam diam di bawah kesedarannya serta tidak lagi terpaut pada daya ingatan dan nafas jasmaninya, kecuali telah menjadi zikir Ruh atau Ruh yang berzikir, sementara seluruh jasad telah dikatakan mati maknawi yakni dikatakan mati sebelum mati.

Zikir Ruh itu tidak akan tercapai selagi tidak membuka pintu kesedaran batin. Justeru itulah zikir Ruh bukan lagi dengan nafas tetapi adalah dengan penyingkapan kesedaran matahati yang terdalam atau ‘ainul bashirah. Apabila pintu kesedaran batin sudah terbuka, maka dengan sendirinya zikir ‘Hu Allah’ itu pun tidak lagi berulang-ulang lalu meresap hilang di dalam musyahadah rahsia Nur-Nya, dengan ertikata lain rahsia Nur-Nya itulah yang berzikir. 

Dan pada ketika yang sama Ruh telah dapat mengenal siapakah dirinya atau siapakah hakikatnya yang tidak lain adalah wujud Allah di martabat Wahdat al-Syuhud dalam penyaksian saling pandang-memandang di antara ‘Nur ‘ala Nur’ tanpa jarak di atas, di bawah, di kiri atau di kanan. 

Ruh merasakan berada sangat hampir sekali dengan Allah, tetapi terlalu hampirnya Ruh itu dengan Allah bukanlah difahami secara konsep panteisme, iaitu seperti bercantumnya dua helai kain perca di antara makhluk dengan Allah, atau makhluk menjadi Allah dan Allah menjadi makhluk dalam maksud dua wujud menjadi satu. Atau contohnya seperti air, gula, kopi dan susu dibancuh menjadi berubah samasekali daripada bentuk asalnya dan kini sebagai sejenis minuman di dalam satu cawan. Samasekali tidak. 

Ruh adalah yang tidak dijadikan kerana ianya termasuk dalam martabat atasan iaitu perintah dan bukan martabat bawahan iaitu yang diperintah. Lantaran itu Ruh adalah urusan Allah dan adalah langsung dari Zat Allah tanpa berunsurkan kejadian yang lain. Hampirnya Ruh itu dengan Allah seumpama matahari dengan pancaran cahayanya. Matahari dengan sinar cahayanya bukanlah dua bentuk yang berbeda dan tersendiri, melainkan sinar cahaya matahari itu adalah dari matahari itu juga.

Ruh juga boleh diibaratkan sebagai permukaan cermin dan melaluinya Allah melihat Diri-Nya sendiri dalam Tajalli-Nya tetapi bukan di dalam kemutlakan-Nya, kerana ilmu-Nya yang mutlak itu hanya ada pada Diri-Nya dan milik-Nya sahaja. Justeru itu Ruh adalah alat yang dengannya Allah mengenal Diri-Nya sebagaimana keinginannya dari sejak azali terungkap di dalam sebuah Hadis Qudsi, “AKU adalah Perbendaharaan Yang Tersembunyi. AKU rindu untuk dikenali maka KUjadikan makhluk agar Diri-KU dikenali.”

Ruh tidak ada keinginan lain hanya tumpuannya semata- mata kepada Allah. Allah telah menempatkan Ruh-Nya yang suci ini hanya pada tubuh Insan al-Kamil. Dan hanya Insan al-Kamil inilah yang menjadi tumpuan kesedaran Allah bahwa siapa yang kenal dirinya, akan kenallah Allah. Insan al-Kamil ibarat sepohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, dimana pohonnya mengandungi terlalu banyak keberkahan sebagaimana diceritakan di dalam Al-Quran Surah an-Nur: 35. 

Keberkahan yang dimaksudkan itu ialah kelimpahan ilmu-Nya yang dikurniakan kepada Ruh dan dengan itu Ruh dapat menyaksikan Allah pada semua peringkat Hadhrat-Nya, sebagaimana sebiji benih yang dapat menyingkap seluruh rahsianya pada setiap bahagian pohon seperti akarnya, batangnya, rantingnya, daunnya dan buahnya.

Zikir Ruh itulah yang sebenarnya dikatakan zikir nafas. Atau zikir nafas itulah zikir Ruh. Manakala zikir yang bersama keluar-masuknya udara nafas itu adalah zikir yang majazi (sementara) sahaja. Zikir Ruh itulah juga dianggap oleh kaum ariffin sebagai solat daim, yakni solat haqiqi secara batin yang berkekalan dan tidak berwaktu. 

Ruh itu sentiasa berada di dalam kawasan kesedarannya menyaksikan Allah seperti firman-Nya, “Bukankah AKU Tuhanmu?” “Bahkan! Kami menyaksikan-Mu!” dijawab oleh Ruh. Ruh telah dihantarkan ke alam Qalbu (hati) atau namanya Alam Mitsal untuk memikul tugas Khalifah maka itu Ruh pun diturunkan ke Alam Ajsam atau jasad manusia. 

Hanya hati manusia yang suci bersih dapat menyedari bahwa Ruh itulah suatu hakikat yang bergelar ‘Al-Nur’, dirujukkan kepada posisi ‘Aku Ruh’ dalam sudut batin manusia yang terdalam dan juga dinamakan ‘Sirr’. Menurut Syekh Ibnu Arabi, hati atau Qalbu manusia yang suci bersih itu dapat menggambarkan semua kesempurnaan Allah kerana hati manusia itu mengandungi aspek-aspek Ketuhanan.

Ruh sebagai Al-Nur itu tentulah ada perhubungannya dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah Ruh dapat bertindak dalam semua laluan fakulti manusia baik yang zahir atau pun batin, sebagaimana mampu menggambarkan idea, memahami rupa, warna, huruf dan suara. Namun penglihatan dan pengetahuan dari hakikat Ruh itu sendiri kembali kepada wujud Allah dan perbuatan Allah. Allah yang dilihat adalah Allah yang Maha Melihat, Allah yang diketahui adalah Allah yang Maha Mengetahui setelah mencapai puncak rasa dan syuhud di dalam kesatuan zikir nafas.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment