Monday, January 18, 2010

SEJARAH ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI ATAU TOK RAJA

Dalam politik tradisional Pahang, INSTITUSI SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA merupakan INSTITUSI PEMBESAR yang terpenting. Kepentingan ini bukan sahaja dilihat dari segi fungsi dan peranan institusi ini sebagai pendokong utama INSTITUSI RAJA MELAYU PAHANG zaman tradisional, tetapi juga disebabkan sejarahnya yang panjang sejak abad ke-16M hingga sekarang (abad ke-21M).

NEGERI PAHANG menerima pembaharuan politik apabila SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SYAH (Sultan Pahang XII, 1592-1614M - zuriat langsung RAJA MELAKA) naik takhta pada tahun 1592M. RAJA PAHANG itu buat kali pertamanya membuat perubahan terhadap struktur politik tradisional Pahang dengan mewujudkan jawatan ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG, termasuk jawatan RAJA MUDA PAHANG yang bakal mewarisi TAKHTA PAHANG.

GELARAN ASAL ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG

Di bawah struktur pemerintahan SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII), gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG (W. Linehan, 1973: 201) adalah seperti berikut:

(1) SERI MAHARAJA PERBA di Kawasan JELAI
(2) MAHARAJA INDERA PUTERA di Kawasan TEMERLOH
(3) MAHARAJA INDERA PAHLAWAN di Kawasan CHENOR
(4) SYAHBANDAR di Kawasan PEKAN.

Jawatan ORANG BESAR EMPAT PAHANG yang asal ini disandang oleh JALUR KETURUNAN yang berbeza. 

Namun begitu, gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG ini kemudiannya mengalami perubahan semasa BENDAHARA SEWA RAJA TUN ALI IBNI TUN KORIS (1806-1857M) memerintah Pahang, di mana pangkal gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG itu ditambah dengan frasa ORANG KAYA INDERA:

(1) ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI (ULU PAHANG)
(2) ORANG KAYA INDERA SEGARA (TEMERLOH)
(3) ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN (CHENOR)
(4) ORANG KAYA INDERA SYAHBANDAR (PEKAN)

Perubahan gelaran ini secara tersuratnya merupakan sebahagian daripada pembaharuan SISTEM POLITIK TRADISIONAL PAHANG di bawah autoriti BENDAHARA SEWA RAJA TUN ALI IBNI TUN KORIS, tetapi secara tersiratnya bertujuan memartabatkan status RAJA BENDAHARA itu sendiri sebagai PEMERINTAH BEBAS daripada KERAJAAN JOHOR -RIAU-LINGGA-PAHANG sekaligus meletakkan status ORANG BESAR BEREMPAT itu lebih rendah berbanding BENDAHARA PAHANG yang sebelumnya mereka adalah "RAJA" dalam wilayah pemerintahan masing-masing.

Dari segi status dan peranannya, ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI atau MAHARAJA PERBA JELAI atau ringkasnya TOK RAJA merupakan ORANG BESAR PAHANG yang utama, dan paling berwibawa. Sejak dari zaman SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII, 1692-1614M - zuriat langsung Raja Melaka) lagi hingga ke zaman SULTAN AHMAD AL-MUADZAM SHAH (SULTAN PAHANG MODEN I, 1882-1914M), SRI MAHARAJA PERBA atau ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI adalah PEMBESAR UTAMA yang bertanggungjawab terhadap KELANGSUNGAN INSTITUSI RAJA PAHANG.

SENARIO GEO-POLITIK ULU PAHANG SEBELUM 1592M

Sebelum tahun 1592M, meskipun beberapa petempatan penting di Ulu Pahang sudah wujud di sekitar LEMBAH SG. LIPIS dan LEMBAH SG. JELAI, dan anak-anak SG. LIPIS dan anak-anak SG. JELAI, tetapi-tempat tersebut masih didominasi oleh MASYARAKAT ORANG ASLI yang diketuai oleh TOK BATIN. 

Secara teoritisnya, sebelum tahun 1592M, belum ada elit tradisional MELAYU bertaraf ORANG BESAR atau "ORANG KAYA" yang menjadi "WAKIL SULTAN" di ULU PAHANG. Ketika itu, beberapa petempatan di LEMBAH SG. JELAI seperti: ULU JELAI, SELINSING, KUALA SG. JELAI KECIL, SERAU, TELOM, KUALA MEDANG, KETUYONG, KUALA SG. KOYAN, TG. GAHAI, BERTANG, BUKIT KOTA, BUKIT BETONG, TELANG, RELONG, BERCANG, ULU TERIS, GUA, PAGAR SASAK, KG. MELAKA, KECAU TUI, BATU NERING, PADANG TENGKU, PASIR MAS, KUALA LANAR, SIBAR, MELA, KUALA TEMBELING dan juga di LEMBAH SG. LIPIS seperti: TG. LIPIS, KG. PAGAR, PENJOM, KG. LALANG, BENTA, BUDU, TG. BESAR, JERAM BESU, TERSAN, BATU TALAM, dan BATU MALIM penghuninya majoriti terdiri daripada ORANG ASLI, di samping sebilangan kecil ORANG MELAYU keturunan Melaka, dan ORANG MELAYU keturunan Minangkabau. 

Meskipun begitu, beberapa kajian sejarawan menunjukkan bahawa sebelum tahun 1592M di LEMBAH SG. JELAI dan LEMBAH SG. LIPIS telah ada BANGSAWAN MELAYU yang telah mengasaskan PETEMPATAN MELAYU bercorak "KEKELUARGAAN" seperti di SELINSING (ULU JELAI), SEMPUT (SG. TANUM), KG. MELAKA (KECAU), BAMA (RELONG), PADANG TENGKU (PADANG TENGKU), YONG BELIK (MUKIM LIPIS), KG. PAGAR (PENJOM), JERAM BESU (BENTA), dan KG. BUDU (BENTA). 

Petempatan ini bukan sahaja berhampiran dengan sungai dan tanah yang subur, tetapi sebahagian tempat ini amat kaya dengan hasil bumi seperti "EMAS". Di SELINSING, SERAU, KECAU, PENJOM, dan BUDU pada zaman dahulukalanya, "EMAS" dikatakan dapat dilihat dipermukaan tanah atau pasir. Hatta, hingga sekarang pun, "SELINSING GOLD-MINE" dan "PENJOM GOLD-MINE" meskipun pemiliknya silih-berganti, tetapi lombing emas ini masih beroperasi, dan menjadi sumber pendapatan Negeri Pahang.

Secara umum, beberapa sumber menunjukkan bahawa BANGSAWAN MELAYU yang mengasaskan PETEMPATAN MELAYU di LEMBAH SG. JELAI dan LEMBAH SG. LIPIS ini terdiri daripada BANGSAWAN MELAYU MELAKA, BANGSAWAN MELAYU PERAK dan BANGSAWAN MELAYU MINANGKABAU. 

WAKIL MUTLAK RAJA PAHANG DI ULU PAHANG

Pelantikan ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG bagi SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH amat signifikan di awal pemerintahannya (1592), terutama bagi membendung kebanjiran orang-orang Minangkabau yang masuk ke Pahang, dan ketidakupayaan baginda untuk menstabilkan gelombang politik, dan kesukaran mentadbir Negeri Pahang yang sangat luas.

Justeru, bermula era pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (Sultan Pahang XII - zuriat langsung Raja Melaka) - HILIR PAHANG berada di bawah autoriti Sultan Pahang yang berpusat di Kuala Pahang (Pekan), yakni SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH, manakala ULU PAHANG berada di bawah autoriti SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA yang juga menjadi WAKIL MUTLAK Baginda Sultan Pahang.

Inilah asalnya "hubungan diraja" antara RAJA PAHANG-SERI MAHARAJA PERBA. Hubungan ini berterusan di abad-abad kemudiannya hingga sekarang (Abad ke-16-21M) meskipun ada beberapa kes salah faham yang terpencil berlaku dalam perjalanan sejarah. Meskipun begitu, dalam kerangka pemerintahan negeri Pahang sejak perhubungan itu bermula, SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA atau ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI atau TOK RAJA tetap bertaraf ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG yang UTAMA. 

Di zaman tradisional (Era Pra British), SERI MAHARAJA PERBA dianggap oleh masyarakat tempatan dalam Wilayah Pemerintahannnya sebagai "RAJA" - di ULU PAHANG sebab mereka perlu patuh kepada ORANG BESAR JELAI itu seperti mereka patuh kepada Protokol Diraja. Paling tidak, INSTITUSI SERI MAHARAJA PERBA di Ulu Pahang mempunyai "Pengikut Setia" terdiri daripada kaum kerabat dan para pahlawan berjumlah 100 orang pada setiap masa. Benteng Pertahanan Jelai ini bukan sahaja berfungsi mempertahankan ancaman dalaman dan luaran, tetapi juga untuk memberi bantuan dan perlindungan keapada Raja Pahang apabila diperlukan. 

Justeru, hubungan diraja SERI MAHARAJA PERBA atau TOK RAJA dan RAJA PAHANG telah berlangsung sejak dahulukala lagi hatta hingga sekarang. Hubungan mereka ini adalah hubungan sejarah yang panjang, dan mereka sebenarnya boleh diangkat sebagai PENGASAS POLITIK TRADISIONAL PAHANG. Hal ini disebabkan SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA menjadi rujukan utama PEMBESAR PAHANG, hatta RAJA PAHANG sekalipun memerlukan nasihat beliau dalam membuat keputusan politik. Dalam era British di Pahang, British melihat SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA atau ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI, orang yang paling penting dan utama untuk diperlemahkan, dan kemudiannya jika ini berjaya, maka SULTAN dan PEMERINTAH PAHANG ketika itu lebih mudah diuruskan.

SERI MAHARAJA PERBA I (1592-1638M)

Jawatan SERI MAHARAJA PERBA mula diinstitusikan pada tahun 1592 sebaik sahaja SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH mewujudkan jawatan tersebut. Di ULU PAHANG, khasnya di LEMBAH JELAI, elit tradisional yang kemudiannya disebut sebagai SERI MAHARAJA PERBA I ini sudah memerintah dan mentadbir Ulu Pahang atas kapasiti seorang "PENGHULU" (KETUA PUAK) bergelar DATO'. 

Kedatangan SERI MAHARAJA PERBA I bergelar Dato' itu dipercayai tarikhnya lebih awal, tetapi ia dipercayai berlaku sewaktu SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL II (Sultan Johor-Riau V - Raja Agong) memerintah EMPAYAR-JOHOR-RIAU, termasuk Pahang, dan sewaktu SULTAN ABDUL KADIR (Sultan Pahang X, 1580-1590M) memerintah Pahang. 

Ketika itu, LEMBAH JELAI masih di bawah autoriti SULTAN JOHOR-RIAU, dan bukan di bawah autoriti SULTAN PAHANG. Sultan Abdul Kadir meskipun sebagai Sultan Pahang, tetapi autoritinya terhad kepada sekitar Kota Raja di Pekan, dan Hilir Pahang (sepanjang Sg. Pahang, tidak termasuk Sg. Jelai). Pelantikan sebagai PENGHULU secara langsung oleh SULTAN JOHOR-RIAU V itu terhadap SERI MAHARAJA PERBA I di Jelai memberi autoriti kepada beliau "memerintah" dan "mentadbir" kawasan ULU PAHANG, terutama LEMBAH JELAI yang kaya dengan "khazanah rimba", "khazanah sungai", dan "emas" itu secara MUTLAK.

Dengan keizinan SULTAN JOHOR-RIAU, SERI MAHARAJA PERBA I dikatakan datang dari MINANGKABAU bersama keluarganya 4 bersaudara - 3 lelaki dan seorang perempuan, serta beberapa keluarga SUKU MINANGKABAU ke JOHOR, dan kemudian telah memasuki LEMBAH JELAI melalui ULU MUAR, PENARIKAN, SG. BERA, TG. LINDUNG (Kuala Tembeling), lalu menyusur SG. JELAI menghala ke ULU JELAI dengan syarat beliau hendaklah menyerahkan UFTI dalam bentuk "JONGKONG EMAS" setiap tahun ke ISTANA JOHOR dan ikatan perjanjian ini hendaklah berlaku secara tradisi selama-lamanya antara DATO' PENGHULU atau SERI MAHARAJA PERBA I, dan WARIS GANTI dengan SULTAN JOHOR-RIAU.

Diperkirakan bahawa pelantikan SERI MAHARAJA PERBA I sebagai ORANG BESAR EMPAT PAHANG itu dapat dijustifikasikan kerana pada waktu itu SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH lebih menyukai ORANG MELAYU MINANGKABAU sebagai "HEAD-MAN" bagi tujuan mengawal kebanjiran ORANG MINANGKABAU memasuki PAHANG lewat penghujung abad Ke-16M. 

Sebagai elit tradisional berketurunan "BANGSAWAN MINANGKABAU", dan "WAKIL MUTLAK' Sultan Pahang, SERI MAHARAJA PERBA I atau MAHARAJA PERBA menggunakan gaya gelaran "ENGKU" (SEMI-ROYAL) bagi dirinya, dan hubungan antara beliau dan rakyat jelata dibatasi oleh protokol mirip adat-istiadat diraja di mana rakyat jelata perlu "MENJUNJUNG DULI" (lebih ringkas) apabila mereka mengadap ORANG BESAR JELAI ini. Protokol "menjunjung duli" ini dipercayai bermula sejak SERI MAHARAJA PERBA I hingga kepada DATO' MAHARAJA PERBA JELAI WAN MUHAMMAD BIN DATO' WAN IDRIS (OKIMPJ KE-6).

ORANG BESAR JELAI ini juga mempunyai beberapa ALAT KEBESARAN UTAMA yang menggambarkan kedudukannya sebagai ORANG KAYA dan PEMBESAR UTAMA PAHANG seperti:

BENDERA HITAM BERMOTIF BURUNG MERPATI
SEBILAH KERIS 
TIGA PUCUK MERIAM. 

Sejak dari asal lagi, SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA mempunyai WILAYAH PEMERINTAHAN dan PENTADBIRAN yang cukup luas: bermula dari TG. LINDUNG (JERANTUT) menyusur LEMBAH SG. JELAI kiri kanan mudik hingga ke ULU JELAI, dan anak-anak sungai yang bersempadanan dengan PERAK dan KELANTAN dengan mengecualikan LEMBAH SG. LIPIS dan LEMBAH SG. TEMBELING.

Meskipun SERI MAHARAJA PERBA I terikat dengan PROTOKOL DIRAJA JOHOR RIAU, tetapi dalam waktu yang sama beliau perlu juga mengadap SULTAN ABDUL KADIR di akhir pemerintahannya (1590M), dan berlanjutan ke era SULTAN AHMAD (Sultan Pahang XI, 1590-1591M), dan akhirnya ke era SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (Sultan Pahang XII, 1592-1614M) di PEKAN (PAHANG) untuk mengemukakan persembahan dan menjunjung duli.

Bagi memperkukuhkan pemerintahan dan pentadbiran negeri, SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH telah memperkenalkan KANUN PAHANG yang mana tanggungjawab ORANG BESAR-ORANG BESAR dan RAKYAT JELATA termaktub dengan jelas. Menurut KANUN PAHANG, selain mesti patuh kepada ALLAH swt, tanggungjawab ORANG BESAR EMPAT PAHANG perlu MEMATUHI DAN MENYEMPURNAKAN TITAH PERINTAH SULTAN.

SERI MAHARAJA PERBA 1atau MAHARAJA PERBA di JELAI ini bukan sahaja terpaksa akur kepada SULTAN JOHOR-RIAU yang menjadi RAJA AGONG EMPAYAR JOHOR-RIAU ketika itu, tetapi dalam waktu yang sama beliau perlu menyusuri SG. JELAI dari LEMBAH JELAI menghilir SG. PAHANG dengan "PERAHU KAJANG MAGONG” (PERAHU BESAR) dengan menggunakan khidmat rakyat-jelata kampung demi kampung sepanjang SG. JELAI, dan kemudiannya sepanjang SG. PAHANG sambil memukul GENDANG TOK RAJA untuk mengadap SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII) di PEKAN. 

Budaya menghilir dan mudik sungai ini berlaku sejak zaman berzaman bermula daripada SERI MAHARAJA PERBA I atau MAHARAJA PERBA sehingga ke zaman DATO' MAHARAJA PERBA JELAI WAN MUHAMMAD DATO' WAN IDRIS (OKIMPJ kE-6). Hal ini disebabkan SG. PAHANG dan SG JELAI merupakan LEBUHRAYA UTAMA di zaman tradisional hingga ke era praBritish (1882M).

Jadi, waktu itu (1592-1614M), SERI MAHARAJA PERBA atau MAHARAJA PERBA mempunyai autoriti memerintah ULU PAHANG sekaligus "WAKIL MUTLAK SULTAN PAHANG", manakala SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH mempunyai autoriti memerintah HILIR PAHANG. Itulah riwayat yang seadanya bagi menstabilkan politik Pahang dalam era itu.

Senarai nama Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai dari 1592 hingga kini

SERI MAHARAJA PERBA I (1592-1638M)

SERI MAHARAJA PERBA II 
MAHARAJA DALAM atau RAJA MUDA atau WAN MUHAMMAD (1663-1688M)

SERI MAHARAJA PERBA III 
DATO' (ENGKU) WAN ISMAIL atau WAN SARAH (1688-1699M)
SERI MAHARAJA PERBA IV

DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD DATO' (ENGKU) WAN ISMAIL (1699-1797M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI V
DATO' (ENGKU) WAN IDRIS DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD (1797-1882M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VI
DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD DATO' (ENGKU) WAN IDRIS (1882-1919M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VII
DATO' (ENGKU) WAN CHIK DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD (1919M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VIII
DATO' (ENGKU) WAN TANJUNG DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD (1919-1935M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI IX
DATO' (ENGKU) WAN ALI DATO' (ENGKU) WAN CHIK (1935-1957M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI X
DATO' (ENGKU) WAN IBRAHIM DATO' (ENGKU) WAN TANJUNG (1957-1991M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI XI
DATO' (ENGKU) WAN BADIUZZAMAN DATO' (ENGKU) WAN ALI (1991-2003M)

ORANG KAYA INDERA (MAHARAJA) PERBA JELAI XII
DATO' (ENGKU) WAN ABDUL RAHMAN DATO' (ENGKU) WAN IBRAHIM (2008 - 2019)

Tengku Daeng Mawelle

1 comment: