Monday, January 18, 2010

PERIGI BATU PAHAT

Ketika pemerintahan Al-Marhum Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka III (1446 – 1459), askar-askar Siam pada pemerintahan dinasti Ayuthia telah menyerang kerajaan Melaka. Ayuthia iaitu nama lengkap Phra Nakhon Si Ayutthaya merupakan satu wilayah di tengah Thailand. 

Antara wilayah yang berhampiran ialah Ang Thong, Lop Buri, Saraburi, Pathum Thani, Nonthaburi, Nakhon Pathom dan Suphan Buri. Mengikut sejarah, Ayuthia pernah menjadi ibu negara Siam atau Thailand dari pemerintahan 1350 hingga serangan tentera Burma pada 1767.

Askar-askar siam ini melarikan diri setelah tewas dalam peperangan menyerang kerajaan Melaka dan askar-askar Siam dikejar oleh ‘Bendahara Tun Perak’, iaitu Bendahara Melaka pada ketika itu dan pengikut-pengikutnya sehingga ke Muar. Semasa sampai di Batu Pahat askar-askar Siam telah memahat batu di kawasan yang mengalirkan air sehingga menjadi sebuah perigi. 

Tujuannya ialah untuk mengumpulkan air tawar untuk keperluan mereka semasa belayar. Selepas itu askar-askar Siam meneruskan perjalanan ke Selatan melalui Singapura dan kembali ke Siam melalui Laut China Selatan. Daripada peristiwa tersebut maka lahirlah nama Batu Pahat sehingga sekarang. Batu Pahat juga dikenali sebagai Bandar Penggaram.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment