Tuesday, January 26, 2010

SIAPAKAH TENGKU ALI?

Daripada Sultan Terengganu menjadi seorang pemandu teksi. Ramai yang bertanya pada saya siapakah Tengku Ali, adakah benar beliau adalah waris Sultan Terengganu yang sah? Mengapa beliau diturunkan takhta? Adakah benar beliau tidak layak menjadi sultan sebab akhlaknya yang kurang baik? Atau adakah beliau cuba merebut takhta Sultan Terengganu? 

Sebelum saya kisahkan kebenaran di sebalik semua persoalan ini, mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Al-Marhum Tengku Ali. Semoga roh almarhum dicucuri RAHMAT ALLAH dan ditempatkan di kalangan para hamba-hamba yang soleh.

Tengku Ali dilahirkan pada tahun 1914, di Istana Tepi Bukit, berhampiran Bukit Puteri. Beliau merupakan putera sulung Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu ke-13. Bondanya ialah Tengku Ampuan Mariam, puteri Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang.

Selain Tengku Ali, Almarhum Sultan Sulaiman mempunyai tiga orang putera dan empat orang puteri lagi. Mereka ialah Tengku Azizah, Tengku Asma’ (Sultanah Kedah), Tengku Abdul Rashid, Tengku Atikah, Tengku Mariam, Tengku Abdul Aziz dan Tengku Abdul Rahman.

Tengku Ali mengahwini Tengku Ainon Jamal, puteri Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang. Dengan perkahwinan ini bermakna beliau telah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim Terengganu-Pahang, kerana sebelum ini nendanya, Almarhum Sultan Zainal Abidin III telah mengahwini Tengku Long puteri Sultan Ahmad. Manakala bonda Tengku Ali, Tengku Mariam juga adalah puteri Sultan Pahang.

Perkahwinan dengan Tengku Ainon Jamal dianugerahkan Allah tiga cahaya mata, iaitu Tengku Besar, Tengku Afzam dan Tengku Iskandar Abu Bakar. Perkahwinan tersebut sebenarnya merupakan perkahwinan ketiga Tengku Ali. Sebelum itu Tengku Ali telah pun beristerikan Che’ Fatimah dan dianugerahkan seorang putera, Tengku Abdul Halim. Perkahwinan kedua Tengku Ali ialah dengan Tuan Nik Sharifah Aminah dan perkahwinan ini telah dianugerahkan Allah dengan tujuh orang putera dan puteri, iaitu Tengku Puteri, Tengku Fatimah, Tengku Badli Shah, Tengku Kechik, Tengku Jaafar, Tengku Mohamad Muhiddin dan Tengku Khadijah.

Semasa Tengku Ali dilantik menjadi Sultan Terengganu ke-14, Tengku Ainon Jamal telah dilantik sebagai Tengku Ampuan. Perlantikan tersebut telah digazetkan di dalam Warta Kerajaan Terengganu Bil. 18 yang bertarikh 16.09.2603 (tahun Jepun). Walaupun demikian, jodohnya dengan Tengku Ainon Jamal tidak panjang. Mereka berpisah setelah Tengku Ali diturunkan daripada takhta kesultanan Terengganu.

Selain mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kerabat Diraja Pahang, Tengku Ali juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kerabat Diraja Kedah. Hubungan ini bermula apabila adinda Tengku Ali, Sultanah Asma’ berkahwin dengan Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah yang ke-27. Putera Sultanah Asma’, Sultan Mahmud Sallehuddin merupakan Sultan Kedah ke-29. Seorang lagi adinda Tengku Ali, Tengku Abdul Aziz berkahwin dengan Tunku Hamidah, puteri Sultan Badlishah. Tengku Abdul Aziz merupakan bekas Juruiring Sultan Kedah.

Berdasarkan bukti-bukti sejarah yang sahih, Tengku Ali memang pernah menjadi Sultan Terengganu ke-14 yang sah, dari tahun 1942-1945. Iaitu sebelum Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin memerintah Terengganu. Tengku Ali dilantik menjadi Sultan Terengganu oleh jemaah menteri, bagi menggantikan Ayahandanya iaitu Sultan Terengganu ke-13-Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang mangkat pada 25 September 1942.

So kita kembali ke penjelasan tajuk utama (maaflah pendahuluan panjang sangat hehe) Ok baik saya akan menjawab satu persatu soalan tumpuan mengenai khabar angin tentang Tengku Ali. Khabar mengenai beliau seorang kaki judi tidak benar sama sekali. Khabar mengenai akhlaknya yang tidak baik adalah tidak benar sama sekali. Khabar mengenai beliau tidak cukup syarat menjadi sultan juga tidak benar sama sekali, kerana seperti yang kalian maklum beliau adalah putera makhkota ataupun putera sulung yang paling tua antara adik beradiknya. Beliau sememangnya mencukupi syarat untuk menggantikan takhta ayahandanya tanpa sebarang keraguan tambahan pula beliau seorang yang berpendidikan dan baik akhlaknya.

Jadi mengapa beliau diturunkan takhta? Ianya disebabkan 3 sebab utama, Pertama adalah BRITISH, Kedua adalah MALAYAN UNION, Ketiga adalah PEMBELOT. Beberapa insiden besar telah berlaku semasa British cuba memperkenalkan gagasan Malayan Union kepada rakyat Tanah MELAYU dulu, sehinggakan banyak kontroversi timbul menyebabkan British mengambil langkah keras bagi memastikan kejayaan rancangan mereka. 

Salah satu kisah kontroversi besar yang berlaku ekoran Malayan Union melibatkan Tengku Ali atau Sultan Terengganu ke 14. Al-Marhum Sultan Ali Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Penentangan beliau terhadap gagasan yang ingin diperkenalkan British menyebabkan perubahan besar dalam hidup beliau. Tambahan pula British mendapat sokongan ataupun bantuan daripada para menteri Terenganu terutamanya Menteri Besar Dato Jaya Perkasa Che Da Omar.

Berikutan perjanjian di antara kerajaan Siam dan kerajaan British melalui perjanjian Bangkok pada tahun 1909, kerajaan Terengganu yang ketika itu berada di bawah naungan kerajaan Siam diserahkan kepada British tanpa persetujuan Terengganu. 

Terengganu ketika itu dipimpin oleh Sultan Zainal Abidin ke 3 tiada pilihan lain selain menuruti isi perjanjian tersebut. Terengganu menjadi negeri di bawah naungan British pada 22 April 1910 melalui satu perjanjian. Bagi melindungi kedaulatan agama dan negeri, Sultan Zainal Abidin ke 3 memperkenalkan Undang-Undang Diri pada tahun 1911 dalam melindungi kerajaan Terengganu daripada kerakusan British.

Kemangkatan Sultan Zainal Abidin ke 3 menabalkan Tengku Muhammad Syah sebagai pengganti baginda. Tengku Muhammad Syah enggan bekerjasama dengan British walaupun tetap bersetuju menerima seorang penasihat British dalam kerajaan Terengganu. Atas sebab ini, British mula mendesak supaya Sultan Muhammad Syah melepaskan takhta untuk diserahkan kepada adiknya, Tengku Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Sultan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, memerintah dalam tempoh yang panjang, bermula pada 20 Mei 1920 sehinggalah tibanya penjajahan Jepun ke atas Tanah MELAYU.

Terengganu kembali ke tangan Siam Pada 29 Januari 1942,Tengku Ali dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Muda yang akan mengambil alih tampuk kerajaan Terengganu daripada ayahnya. Tengku Ali menaiki takhta pada 26 September 1942 dengan gelaran penuh Sultan Ali Shah ibni al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Kenaikan Sultan Ali Shah mendapat tentangan beberapa orang pembesar Terengganu kerana kurang diyakini keupayaannya, khasnya oleh seorang pembesar bernama Dato Jaya Perkasa Che Da Omar.

Tekanan yang diberikan Dato Jaya Perkasa bagaimanapun tidak berjaya menjatuhkan Sultan Ali Shah, sehinggalah perjanjian tahun 1943 di antara Jepun dengan kerajaan Siam yang mengembalikan semula Terengganu menjadi wilayah Thai menyebabkan perubahan besar pada sistem kerajaan Terengganu. Jawatan Menteri Besar yang dihapuskan semasa era Jepun diwujudkan kembali dan Dato Jaya Perkasa Che Umar naik menjadi menteri besar, diikuti perlantikan menteri-menteri dilakukan dengan kebenaran kerajaan Siam dan Jepun. Walaupun begitu, rasa tidak senang Dato Jaya Perkasa kepada Sultan Ali tidak berakhir begitu saja.

Selepas tentera Jepun tewas dalam kempen penjajahan mereka British kembali ke Tanah MELAYU, seterusnya menyebabkan Terengganu kembali semula sebagai naungan British selepas kerajaan Thai didesak untuk melepaskan penguasaan mereka ke atas negeri tersebut. Untuk mengukuhkan kuasa mereka di Tanah MELAYU, British berhasrat mahu menyatukan sistem pentadbiran mereka dengan mengendurkan terus kuasa Raja-Raja MELAYU. 

Bagi memenuhi hasrat itu, British bertindak menyiasat kembali status kerjasama semua Raja MELAYU dengan Jepun bagi dijadikan alasan penyingkiran mereka, seterusnya membolehkan Raja MELAYU baru mesra British dilantik.

Beberapa orang Raja MELAYU ketika itu yang didapati bekerjasama dengan Jepun atau dilantik oleh Jepun, akan didakwa sehingga ada yang dibuang negeri. Disebabkan menaiki takhta semasa zaman pemerintahan Jepun, Sultan Ali tidak terkecuali menjadi sasaran British. Dikatakan Dato Jaya Perkasa memainkan peranan yang sangat besar dalam menjatuhkan Sultan Ali Shah, dengan beberapa dakwaan seperti Sultan Ali akrab dengan pemerintahan Jepun, tidak layak memerintah serta mengahwini seorang pelacur sebagai isteri.

Selain itu, dakwaan bahawa Sultan Ali Shah mempunyai masalah berhutang sehingga menyebabkan dia menggadaikan tanah kepada tauke Cina akibat kalah judi, turut menjadi antara perhatian British. Atas semua dakwaan itu, British bertindak mengarahkan Sultan Ali Shah bertemu wakil British, Brigadier H.C. Willan. Willan mengumumkan kepada Sultan Ali Shah sambil disaksikan Dato Jaya Perkasa bahawa British telah mengambil keputusan tidak mengiktiraf kedudukan baginda sebagai Sultan dan pendapatannya akan dikurangkan, tetapi akan terus dibayar. 

Sultan Ali terkejut dengan apa yang berlaku. Sultan Ali Shah kembali ke istana baginda tanpa kuasa dan bakal digantikan dengan Sultan pilihan British. Pemecatan Sultan Ali Shah memerlukan pengganti dengan Tengku Ismail salah seorang anak kepada Sultan Zainal Abidin ke 3, menjadi nama yang disebut bakal naik sebagai Sultan Terengganu yang baru. 

Pada 16 Disember 1945, pengisytiharan penurunan Sultan Ali Shah digantikan dengan Tengku Ismail dilakukan namun British belum berpuas hati. Walaupun sudah diumumkan sebagai Sultan Terengganu ke 15, kedudukan Tengku Ismail atau nama rasminya Sultan Ismail Nasiruddin Shah belum cukup kukuh kerana masih belum mendapat pengiktirafan British.

Bagi memenuhi hasrat mereka, British melalui wakil mereka A.T. Newboult mula mendesak Sultan Ismail menandatangani persetujuan gagasan Malayan Union. Bagaimanapun, nasib baiklah Undang-Undang Diri yang telah diperkenalkan ayahnya sebelum mangkat menyebut Sultan tidak mempunyai kuasa penuh menyerahkan pemerintahan kepada kuasa luar. Sekiranya bersetuju, ini bermakna Sultan Ismail sendiri telah melanggar undang-undang negeri Terengganu.

Malangnya atas desakan kuat pihak British yang mengaku mereka tidak mengiktiraf Undang-Undang Diri serta tekanan daripada Dato Jaya Perkasa yang banyak terhutang budi dengan British, menyebabkan Sultan Ismail memilih untuk menandatangani persetujuan. Seronok British ketika itu sehingga menerbitkan artikel mengumumkan bahawa Sultan Ismail kini secara rasminya diiktiraf sebagai Sultan Terengganu.

Walaupun bersetuju selepas dipaksa, melihat kebangkitan orang MELAYU yang bersatu menentang Malayan Union, Sultan Ismail Nasiruddin akhirnya menjadi salah seorang penentang gagasan tersebut. Selepas 4 bulan ditabalkan, baginda bertindak menghantarkan surat menggesa agar British mengkaji semula rancangan tersebut ekoran kesan buruk yang bakal timbul.

Walaupun sudah dijatuhkan, banyak pihak berpendapat apa yang berlaku terhadap Sultan Ali Shah merupakan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang kerajaan Terengganu sendiri. Ini kerana Sultan Ali Shah secara rasminya dan tidak boleh disangkal lagi merupakan waris paling layak menerajui Kesultanan Terengganu.

Dalam kenyataannya, Sultan Ali Shah menyifatkan apa yang dilakukan oleh British merupakan satu konspirasi bagi menjayakan rancangan Malayan Union, dengan Dato Jaya Perkasa yang pro British dikatakan menjadi dalang utama semua yang berlaku.

Pelbagai rayuan yang dibuat untuk mengkaji semula pemecatan baginda yang dilakukan tanpa asas, tidak diendahkan British ketika itu yang menyebut perlantikan Sultan Ismail patuh kepada peraturan dan undang-undang negeri. Baginda yang ketika itu tidak lagi mendapat sokongan pembesar negeri, menyedari tidak banyak yang boleh baginda lakukan dalam mengembalikan sokongan kepada baginda.

Sultan Ali Shah tidak pernah berhenti daripada mengemukakan tuntutan ke atas takhta kerajaan Terengganu sehinggalah baginda mangkat pada 17 Mei 1996. 

Sepanjang hayatnya baginda menyara hidup dan keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu teksi dan juga sekitar negeri Terengganu. Sudah beberapa kali tuntutan beliau ditolak mahkamah dengan pengumuman terbaru melibatkan tuntutan ini, dilaporkan pada 31 Julai 2017, selepas permohonan beliau mahu memindahkan perbicaraan ke mahkamah tinggi Kuala Terengganu ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan.

Semoga dengan penjelasan ini dapat meleraikan segala tuduhan, tomahan, khabar angin dan fitnah ke atas Tengku Ali. Berhati-hatilah bila berkata sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti mengenai seseorang. Dosa sesama manusia itu lebih berat kerana hanya diampunkan jika kita meminta maaf kepada orang yang kita fitnah itu.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment