Tuesday, January 26, 2010

TUAN BIRCH SUDAH MATI

Malam itu gelap gelita hitam pekat sehingga tak dapat melihat tanah. Namun mereka harus bergegas kerana perkara ini tidak boleh ditunggu lagi. Mayatnya sudah ditemui, Orang-orang kampung juga sudah bersedia di setiap rumah mempertahankan keluarga masing-masing. Dalam langkah separuh berlari mereka mengharung semak belukar menuju istana. 

Orang-orang sudah penuh menunggu di halaman dengan keris, lembing dan sundang. Tanpa dijemput mereka langsung meredah orang ramai naik ke balai sidang. Dato Sagor dan Daeng Murawwah sedang menghadap baginda Sultan. Semua mata mengarah kepada Dato Maharajalela yang baru sampai bersama Pandak Endut dan orang suruhannya yang setia si Puntum. 

Jauh hari sebelum itu hati mereka sudah panas membara apabila mendengar si misai melenting itu menyuruh bakar rumah orang kaya menteri paduka tuan Ngah ibrahim. Padahal sejak dahulu lagi kawasan lombong timah itu punya Raja Ngah turun temurun sebelum puak-puak cina dibawa melombong di Bidor. Bapa beliau Long Jaafar yang mula-mula menemui timah di negeri perak ketika gajahnya bernama Larut berkubang. 

Mengapa pula beliau tidak dibolehkan memungut cukai di kawasan itu? Sudahlah begitu, Inggeris menurunkan pula cukai timah, Malah menambah pula cukai yang tidak pernah ada pada orang MELAYU. Padi dicukai, Perahu dicukai, Atap dicukai, Senjata dicukai dan yang lebih menyakitkan hati mencukai pula setiap kelamin itu dua dollar. 

Masih segar dalam ingatan si puntum ketika Pandak Endut menyampaikan khabar kepadanya bahawa sultan telah perkenankan agar Dato Maharajalela, sebagai pembesar kanan dalam orang besar berlapan Perak dan Penghulu Pasir Salak untuk membunuh tuan birch waktu dia tiba di Pasir Salak nanti. Pandak Endut memperlihatkan kepadanya baju, tengkolok dan pedang sebagai buktinya. 

Terbayang semula oleh Si Puntum akan perbalahan Dato Sagor dengan Mat Arshad awal pagi tadi. Walau sudah berkali-kali ditegah Dato Sagor supaya Mat Arshad tidak menampalkan surat pengisytiharan itu, Tetap saja si kerani keparat itu menampalkannya di setiap kedai yang dilaluinya dalam perjalanan memburu ke Batu Gajah, kononnya, sungguh pengkhianat itu tidak tahu malu! 

Si Puntum juga masih ingat bagaimana Pandak Endut turut menjadi sakit hati melihat derhaka Mat Arshad pada permintaan Dato Sagor, Pandak Endut meluru ikut sama merentap dan mengoyakkan surat yang ditampalkan. Sungguh pengkhianat ini sama seperti tuannya mahu menunjuk angkuh dan menjarah orang MELAYU tanpa peduli pada amarah orang kampung. Besar sungguh inggeris di mata si pengkhianat itu. Namun jiwa orang kampung sudah terbakar bersama bengis amarah Dato Sagor yang tak putus-putus memaki hamun si inggeris birch.

Sekilas tanpa sempat ditahan, Keris Pandak Endut sudah terbenam dalam jasad Mat Arshad. Maka dilihat kejadian itu orang kampung turut bersemangat dan mengamuklah sekalian orang kampung menghentam askar pengawal. Sepuluh orang yang bertaburan lari menyelamatkan diri. Tak semena-mena bergegas pula Pandak Endut ke tebing sungai diikuti oleh sekalian orang kampung menghujankan lembing ke arah perahu naga ketika si birch mandi. Si Puntum ikut berkejaran turun ke sungai mendepani Pandak Endut. 

Maka kenalah si Inggeris birch dengan hujan lembing itu dan terjun tanpa pakaian ke dalam air menyelamatkan diri. Si puntum melihat si birch itu terjun dengan sepucuk pistol, Maka meloncatlah dia ke arah si Inggeris itu dengan penuh amarah si puntum menetak si birch dengan sundangnya, sebelum sempat pistol itu meletup supaya tiadalah berlaku apa-apa pada Pandak Endut. Dan merahlah sungai dicemari darah penjajah si birch tengahari itu, ditinggallah mereka mayat kurus berambut kerinting itu hanyut dibawa air sungai tanpa peduli.

Fikirannya kembali semula ke balai sidang. Sultan sedang bercakap-cakap dengan orang besar-besar yang sudah merapat kepada baginda. Perasaan si puntum berapi-api kebencian sama seperti marahnya kaumnya yang digelar 'sakai' oleh inggeris. Sedangkan selama dia berkhidmat dgn orang MELAYU tiada pernahl orang MELAYU menyebut mereka dengan panggilan yang bermaksud 'hamba' itu. Puas hatinya dapat menetak si inggeris itu dengan semangat yang membara. Di halaman istana, Masih terdengar pekikan dari sekalian orang yang ada, ”Tuan Birch sudah mati! Tuan Birch sudah mati!"

Tengku Daeng Mawelle

1 comment:

  1. macam sama lak dgn yg ni..
    https://harutmarut.blogspot.com/2011/01/tuan-birch-sudah-mati.html

    ReplyDelete