Tuesday, January 26, 2010

MANGARUK ARUK

Mengangkat Sumpah Bersama Lembing Sembuana (Mengaruk Aruk).

Sejarah Mengangkat Sumpah disertai dengan Lembing Sembuana atau Sang Buana dan penggunaan nama gelaran Panglima-Panglima didalam Institusi Kesultanan Diraja Negeri Selangor boleh dilihat melalui riwayat dibawah ini.

Opu Bugis Lima Bersaudara terlibat dalam kancah politik di Tanah MELAYU. Setelah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV dibunuh di Kuala Pahang oleh Nakhoda Sekam di atas titah Raja Kechil, Raja Sulaiman yang merupakan putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah menghantar surat kepada Opu Bugis Lima Bersaudara di Matan (Kalimantan Barat, Indonesia) memohon bantuan mengambil takhta kerajaan Johor daripada Raja Kechil.

“… seperti api yang bernyala-nyala, menunjukkan surat tersebut kepada Daeng Marewah. Kemudiannya kelima-lima bersaudara bangkit menghunus keris,

“…mengaruk-aruk, berkanjar-kanjar…” dan diikuti dengan ikrar Daeng Marewah,

“Jika belum aku ambil Riau dengan segala takluk daerahnya aku serahkan kepada Raja Sulaiman, aku haramkan menjejak tanah Bugis atau aku mati”.

Maka persiapan melancarkan serangan telah dibuat, Daeng Chelak dilantik oleh Daeng Parani sebagai Panglima Besar, Daeng Menambun sebagai Panglima Kanan, Daeng Kemasi sebagai Panglima Kiri dan Daeng Marewah sebagai kepala dalam angkatan tersebut. Setelah Opu Bugis Lima Bersaudara berjaya mengambil Kerajaan Johor, maka Daeng Marewah telah dilantik sebagai Yamtuan Muda Johor. Yamtuan Muda Daeng Marewah dipakaikan pakaian kerajaan dan diarakkan keliling kota. Sesudah diarakkan Yamtuan Muda Daeng Marewah dinaikkan ke atas balai dan di sinilah Yamtuan Muda Daeng Marewah mengaruk.

Ketika mengaruk Yamtuan Muda Daeng Marewah menyebut, “Yakinlah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Akulah Yang Dipertuan Muda yang memerintahkan kerajaanmu. Barang yang tiada suka engkau membujur di hadapanmu aku lintangkan, dan barang yang tiada suka melintang di hadapanmu aku bujurkan. Barang yang semak di hadapanmu, aku cucikan.”

Sejarah Lembing Sembuana atau Sang Buana

LEMBING Sang Buana atau Sembuana ialah salah satu alat utama kebesaran Diraja Selangor yang digunakan semasa Istiadat Pertabalan, Kemahkotaan dan Majlis Angkat Sumpah pembesar Negeri Selangor. 

Mata lembing itu diperbuat daripada besi Kursani yang dikumpulkan dari sembilan daerah di Selangor ketika zaman Al-Marhum Paduka Sri Sultan Ibrahim Shah Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, Sultan Selangor kedua

Namanya diperoleh dari dua perkataan iaitu ‘Sembilan Buana’ yang
diringkas kepada Sembuana. Perkataan sembilan merujuk kepada sembilan daerah, yakni lokasi besi Khursani dikumpul untuk dijadikan mata lembing.

Mengikut Pusat Rujukan Persuratan MELAYU Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan buana berasal dari perkataan MELAYU Klasik membawa maksud alam, dunia atau jagat. Dari situlah nama Sembuana. 

Lembing bersifat mistik ini sangat berbisa sepertimana secara ringkas diterangkan oleh baris berikut:

"Pantang Terchalit, Pantang Terkena, Sekain kapan judoh padah-nya,
Maksudnya tersentuh sedikit atau tercalar akan mengakibatkan kematian."

Ada kisah menyatakan bahawa seorang lelaki yang sedang duduk di atas tempat yang tinggi sedikit daripada Lembing itu telah diserang oleh penyakit yang serius, nasib baik dia sembuh ketika dia dimandikan dengan air di mana Lembing itu direndam.

Pada masa dahulu, individu yang mengangkat sumpah depan sultan dengan memegang Lembing Sembuana dikehendaki berkelana meninggalkan Selangor selama tujuh hari, tujuh malam dan hanya boleh kembali ke Selangor pada hari kelapan untuk mengadap sultan, seterusnya memulakan tugas yang dipertanggungjawab.

Lembing ini dipercayai mempunyai semangat yang kuat serta bertuah. Dalam beberapa istiadat diraja, lembing ini digunakan dalam upacara ikrar taat setia kepada raja dan Kerajaan Negeri.

Antara adat istiadat lain yang memerlukan Lembing Sembuana ini ialah ketika istiadat pemahsyuran sultan baru depan jenazah, Istiadat Perlantikan DYTM Raja Muda Selangor, DYTM Raja Puan Muda Selangor, perlantikan Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Dato’ Diraja Selangor.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment