Monday, August 15, 2016

CARA MENCAPAI TASAWWUF

MENURUT Imam al-Ghazali, setiap Maqam Agama itu seperti Taubat, Sabar, Syukur, Redha, Tawakkal dan sebagainya, adalah terdiri dari 3 perkara iaitu:

1) ILMU
2) AMAL 
3) HAL (Nur)

Dengan ketiga-tiga perkara inilah tercapainya kesempurnaan Maqam Agama itu. Hal atau Nur inilah merupakan intipati Ilmu Tasawwuf. Ilmu diperolehi menerusi pengkajian dan pembelajaran dan ilmu itu pula menghendaki pengamalan.  Amal yang jujur, bersungguh2, istiqamah dan berdasarkan Ilmu itulah yang akan membuahkan Hal. Oleh itu Tasawwuf dicapai menerusi Ilmu dan Amal. 

Perkara ini dapat dilihat petunjuknya dalam banyak Ayat-Ayat al-Qur’an, antaranya ialah firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami (Allah), pasti Kami (Allah) akan tunjukkan (Hidayat) kepada mereka jalan-jalan Kami (Allah)”. Firman Allah yang lain juga, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menjadikan untuk kamu 'pemisah' (Furqan iaitu Nur yang memisahkan antara Haq dan Batil)”. 

Adapun Amal yg menghasilkan Tasawwuf itu ialah Amal yg berfungsi membersih dan mentawajjuhkan hati kepada Allah iaitu apa yang diistilahkan sebagai Mujahadah dan Riyadah. Amalan, tata-cara, adab-adab serta tunjuk ajar dalam melaksanakan Mujahadah dan Riyadah inilah yang dinamakan 'Tarekat'. Mengenai amal Tarekat ini, Ulama Tasawwuf menjelaskan bahawa Tarekat itu ialah engkau mengqasadkan hatimu kepada-Nya. 

Iaitu bermaksud, Tarekat itu ialah berusaha sedaya upaya mentawajjuh dan menumpukan tumpuan hati kepada Allah menerusi amalan yang dilaksanakan. Apabila tawajjuh hati mula dicapai dan dirasai serta menjadi semakin kuat dan teguh, ia akan membawa kepada 'penyaksian batin' (Musyahadah) terhadap hakikat-hakikat Tauhid iaitu apa yang disebut 'Hakikat'.Mengenai Hakikat ini Ulama Tasawwuf menjelaskan bahawa Hakikat itu ialah engkau ‘menyaksikan-Nya'.

No comments:

Post a Comment