Sunday, July 24, 2016

HALAWATUL IMAN ATAU KEMANISAN IMAN

Apakah itu Halawatul Iman atau Kemanisan Iman? Halawatul Iman bermaksud berasa gembira dalam beribadat , sanggup menanggung kepahitan demi mendapat keredhaan Allah swt dan RasulNya serta mengutamakan Allah swt dan RasulNya melebihi harta benda dunia. Mengapa pentingnya Halawatul Iman ini buat kita? Ianya kerana apabila kemanisan dan kelazatan iman telah bertapak di jiwa, tiada lagi rasa penat, sukar, bosan, malas dan rugi dalam melaksanakan tuntutan Allah swt. 

Ia mengatasi segala sesuatu di dunia ini!  Kemanisan yang dirasai di jiwa dan tidak dapat digambarkan dan dihuraikan dgn kata2! Hati akan rasa bahagia bila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Jiwanya redha dan pasrah diatas segala ketentuan dan kehendakNya baik berupa rahmat yg datang mahupun musibah yg melanda. Inilah keajaibannya seorang Mukmin dlm menempuh hidup ini. Bila ia mendapat nikmat dia bersyukur tapi bila mendapat musibah dia bersabar. Dia dapat menukarkan segala sesuatu yg susah dan sukar itu menjadi kebaikan pada dirinya. Dia dapat menerima segala cabaran dengan jiwa yg tenang dan hati yg penuh dgn rasa kemanisan iman.

Hati org yg beriman itu sangat mencintai Allah maka Allah juga akan mencintainya. Bila Allah mencintai sesaorang, maka akan dipermudahkan segala baginya. Dalam satu hadith Qudsi yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman: "Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba maka cintailah dia”. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai si fulan maka cintailah dia”. (HR Ahmad dari Abu Hurairah) 

Bagaimana pula cara memburu kemanisan iman ini? Adakah cukup dengan sekadar amalan2 biasa kita pada setiap hari? Mari kita menyingkap hadith Rasulullah saw dari Anas bin Malik ra. tentang hakikat jiwa yang merasai kemanisan iman ini: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman iaitu sesiapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, mencintai seseorang kerana Allah dan benci kembali kepada kekufuran seperti bencinya dicampakkan ke api neraka” (HR Bukhari).

Ketiga-tiga ciri tersebut bila dimiliki oleh seseorang, ia akan dapat merasai manis dan lazatnya iman. Namun untuk mendapatkannya perlu melalui perjuangan dan perjalanan yang sukar. Kemanisan iman itu adalah kemuncak pendakian dalam melalui perjalanan yang sukar ini. Ia perlu melepasi tahap-tahap perjuangan bermula dengan tahap kepahitan dan kepedihan, diikuti dengan tahap kebiasaan dan akhirnya tahap kemanisan. Apakah diri anda sudah merasainya atau belum? Jika tidak, apakah hanya mahu melepaskan Halawatul Iman ini? Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment