Di antara sifat mu duhai hamba Allah ialah buta, engkau adalah buta jika engkau celik nescaya engkau akan dapat melihat nama-Nya az-Zahir tetapi engkau sekarang tiada melihat melainkan yang dizahirkan. Di manakah nyatanya al-Haq jika selain-Nya lebih kuat nyatanya daripada Diri-Nya pada penglihatan hamba. Maha suci Allah dari ditutupi kenyataan-Nya oleh sebarang tabir. Sesungguhnya sifat manusiawimu telah menguasai mu lalu menyebabkan diri mu buta sedangkan engkau mempunyai penglihatan ia menjadi demikian kerana engkau menisbahkan hak penglihatan pada dirimu sendiri.
Jika benar engkau bersifat dengan dirimu (buta) dan bertaqarrub kepada Nya dengan melakukan apa yang diredhai oleh Nya nescaya DIA akan menjadi pendengaran dan penglihatan mu, apabila DIA menjadi pendengaran dan penglihatan mu maka engkau tiada mendengar melainkan dari Nya dan engkau tiada melihat melainkan kepada Nya kerana engkau mendengar dengan pendengaran Nya dan melihat dengan penglihatan Nya.
Inilah kemuncak taqarrub dan tawajjuh mu kepada Nya. Oleh itu duhai saudara ku, bersungguhlah memakai sifat hakiki mu iaitu buta dan tafakur lah akan hikmah di sebaliknya nescaya akan terpancar cahaya sifat al basar (pelihat). Pada ketika itu engkau akan mendengar apa yang tidak pernah didengari dan melihat apa yang tidak pernah dilihat. Ia tiada akan berlaku melainkan apabila engkau mengenal dirimu dan bertafakur tentang sifat yang wajib bagi dirimu yang terdiri dari tiada dan selainnya.
No comments:
Post a Comment