Friday, January 22, 2016

WUJUD YANG DIWUJUD DIKERANAKAN ALLAH

Lillahi Ta’ala maknanya “kerana Allah Ta’ala”. Dalam sifat 20 Allah Ta’ala kita faham dan yakin bahawa Allah itu Wujud (ada). Tidak mungkin atau mustahil Allah Ta’ala itu ‘Adam (tidak ada). Maka kita diwujudkan KERANA Allah swt yang mewujudkan. Allah itu Qiyamuhi Binafsihi (Berdiri dengan sendirinya). Mustahil Allah Ta’ala itu iftiqoorullah (Berhajat/perlu) pada makhlukNya. Maka berdiri KERANA Allah swt.

Firman Allah Ta’ala yang ertinya: “Dan tunduklah semua muka (dengan berendah diri) kepada Tuhan Yang Hidup Kekal lagi sentiasa mengurus (makhluk-Nya). Dan sesungguhnya telah merugilah orang yang melakukan kezaliman” ( QS Thaha [20]:111).

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” ( QS Faathir [35]:15). “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi” (QS Al Baqarah [2]:255). Allah Azza wa Jalla, Qiyamuhu bin Nafsi, Maha Berdiri Sendiri tidak memerlukan apa-apa pun dari makhlukNya termasuk “tempat” atau “Arsy” atau “langit” atau “kursi”, sebaliknya kita memerlukan Allah Azza wa Jalla. Manusia atau kita ada namun tidak berdiri sendiri. Kita itu maujud ertinya ada namun bukan kerana pengaruh yang lain tetapi semata-mata KERANA Allah Ta’ala. Kita ada KERANA Ar Rahmaan dan Ar Rahiim nya Allah Ta’ala.

Cuba bayangkan jika seluruh indera kita seperti penglihatan, pendengaran, penciuman/rasa itu tidak diberikan oleh Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, apakah kita ada? Maka kita berfingsi KERANA Tajalli sifat2-Nya. Kita maujud KERANA Allah Ta’ala , KERANA Ar Rahmaan dan Ar Rahiim-Nya dalam berupa panca indera. Kita harus bersyukur untuk itu semua... agar menyaksi Dia.

“Kemudian Dia menyempurnakan penciptaannya dan Dia tiupkan padanya sebahagian dari Roh-Nya dan Dia jadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan rasa, tapi sedikit sekali kamu bersyukur” (QS As Sajadah (32):9). Begitu pula kita harus bersyukur atas nikmat Iman dan nikmat Islam KERANA Allah Ta’ala, KERANA kurniaNya, KERANA Taufiq dan Hidayah-Nya. Oleh KERANA-Nya segala perbuatan kita (seorang hamba Allah yang bergantung pada-Nya) haruslah KERANA Allah Ta’ala bukan kerana hawa nafsu dan bukan pula kerana selain-Nya. Kita solat KERANA Allah Ta’ala bukan kerana syurga-Nya. Syurga-Nya adalah ciptaan-Nya yang adanya pun KERANA Allah Ta’ala. “Katakanlah: sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam“. (QS Al An’aam [6]:162).

Syurga-Nya bukanlah tujuan namun sebuah keniscayaan bagi “orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)-Nya”. “Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)-Nya niscaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar dari-Nya (syurga) dan limpahan karunia-Nya. Dan menunjuki mereka kepada jalan yang lurus (untuk sampai) kepada-Nya.” ( QS An Nisaa’ [4]:175 ). Semuga bermanafaat. (Tn Syeikh Haji Alias asy-Syattari).

No comments:

Post a Comment