Wednesday, January 27, 2016

JALAN KEPADA ALLAH

Ketahuilah olehmu JALAN kepada Allah Ta’ala itu empat jalan yaitu pertama Jalan Syariat, kedua Jalan Tariqat, ketiga Jalan Hakikat dan keempat Jalan Makrifat. Adapun yang dikatakan Jalan Syariat itu Kata Nabi, Jalan Tariqat itu Perbuatan Nabi, Jalan Hakikat itu Tempat Kediaman Nabi dan Jalan Makrifat itu Rahsia. Adapun Istana Syariat itu Lidah, Istana Tariqat itu Hati, Istana Hakikat itu Nyawa dan Istana Makrifat itu Kelakuan Nabi meliputi dengan semata-mata sekalian alam. Bermula Syariat itu kerja Tubuh, Tariqat itu kerja Hati, Hakikat itu kerja Nyawa dan Makrifat itu kerja Rahsia.

Soal: Jika ditanya orang apa yang dijunjung oleh Islam? Jawab: Adapun yang dijunjung yakni titah itu empat bahagi, pertama Syariat dijunjung oleh Anggota Islam, adapun Tariqat itu dijunjung oleh Hati Islam dan Hakikat itu dijunjung oleh Nyawa Islam, adapun Makrifat itu dijunjung oleh Orang Yang Mengetahui Islam yang empat itu. Maka inilah orang yang dinamai Shofid Daaroini artinya Hidup Kepada Dua Buah Negeri. 

Maka orang inilah sempurna Islamnya dan inilah segala orang yang ‘Arif Billah AlKhosul Khos artinya Pilihan-pilihan dan Mukmin Shidiq, Mukmin sebenarnya. Maka inilah bergantung pada Tali Allah yang tiada berputusan Musyahadah dan Muqabalah dan Muraqobah dengan Haq Allah Ta’ala daripada ‘Adam kepada Wujudnya dan daripada Wujud kepada ‘Adamnya tiada bercerai dan tiada bertemu dan lain- lain daripadanya. Dan lagi Allah Ta’ala menjadikan solat itu seperti Nabi Ahmad Muhammad pun namanya. Maka Ahmad itu empat hurufnya yaitu Alif, Ha, Mim, Dal. Maka Berdiri itu Alif, Ruku’ itu Ha, Sujud itu Mim dan Duduk itu Dal, demikianlah adanya.

Adapun asal tubuh manusia itu yakni tubuh Adam Alahis Salam asal kejadian empat unsur yaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Adapun Tanah itu tempat nyata Wujud Allah yang bernama Hakim artinya Yang Tahu Pada Hukumnya, dan Air itu tempat nyata Wujud Allah yang bernama Mahyun artinya Yang Hidup, dan Angin itu tempat nyata Wujud Allah yang bernama Qawiyyun artinya Yang Kuasa dan Api itu tempat nyata Wujud Allah yang bernama ‘Adzim artinya Yang Agung. 

Maka ditilik dan dilihat ‘Arif Kamil Mukammil itu seperti yang tersebut, menilik ia kepada bercerai maka ia melihat perhimpunan yang empat kepada Insan. Maka dilihat dengan Mata Hati pada Insan, Wujud Allah yang bernama Allah, inilah isyarat Hadith Nabi S.A.W “Man Nadzoro Ilaa Syai^in Wa Lam Yarollohu Fii Hi Wa Huwa Baatil” artinya “Barangsiapa menilik kepada suatu tempat tiada dilihat Allah di dalam, maka yaitu batal”. Inilah ‘Arif Kamil Mukammil tiada berkeputusan Dirinya, dan Hatinya, dan Nyawanya dan Rahsianya itu berkehendak kepada Wujud Allah yang bernama Allah. Wabillahit Taufiq Wal Hidaayah.

Kemudian daripada ketahui pula akan nama Allah dan Muhammad S.A.W, adapun nama Allah itu Empat Huruf yaitu Alif, Lam Awal, Lam Akhir dan Ha. Demikianlah suatu Allah pada Insanpun Lima yaitu Jari Kelingking itu Huruf Alif, Jari Manis Huruf Lam Awal, dan Jari Tengah itu Huruf Lam Akhir, dan Jari Telunjuk dan Ibu Jari itu Huruf Ha. Demikianlah suatunya Allah pada Tangan Kiri dan Tangan Kanan dan Kaki Kiri dan Kaki Kanan jua huruf Insan itu nama Allah dan Rasulullah S.A.W.

Kerana firman Allah dalam Hadith Qudsi yaitu “Jismanii Insaana Wa Nafsahu Wa Qalbahu Wa Ruhahu Wa Sam’ahu Wa Bashorahu Wa Lisaanahu Wa Yadahu Wa Rijlahu Wa Kullu Zaalika Adzharni Nafsahu Laa Huwa Illa Ana, Wa Laa Ana Ghoiruhu”. Artinya “Tubuh Manusia dan nafsu dan hati dan nyawa dan mendengar dan melihat dan lidah dan tangan dan kaki dan sekelian itu Aku nyatakan bagi diriKu, maka tiada Insan itu lain daripadanya”.

Maka sebenar-benar Insan itu Muhammad S.A.W. Maka Allah Ta’ala pun Tajallilah Ia kepada Insan itu seperti firman Allah Ta’ala “Al Insaanu Sirrii Wa Anaa Sirruhu” artinya “Insan itu rahsiaKu dan Aku rahsianya. Dan firman Allah Ta’ala “Al Insaanu Sirrii Wa Anaa Sirruhu Wa Shifaatu Laa Ghairuhu” artinya “Insan itu rahsiaKu dan rahsiaKu sifat dan sifatKu itu tak lain daripada Aku”.

Demikianlah kemuliaan Insan kepada Allah Ta’ala, maka hendaklah diketahui akan keadaan rahsia Allah itu jikalau tiada diketahui nescaya di dalam dosa yang maha besar seperti sabda Rasulullah S.A.W yang artinya “Adamu itu rasa yang sebagi dengan Dia, rasaNya rasa engkau, engkau di dalam rasaNya”. Daripada kerana inilah sabda Rasulullah S.A.W “Al ’Ilmur Ruh Wal ‘Amalu Jasad” artinya “Ilmu itu nyawa dan amal itu jasad (tubuh)”. Yakni jikalau tiada nyawa itu maka tiada dapat badan itu bergerak. Demikianlah di dalam kebaktian sekalipun kerana kebaktian jikalau tiada dengan ilmu maka tiada sempurna kebaktian kepada Allah Ta’ala.

Adapun nama Muhammad pada tubuh kita yaitu Empat Huruf, pertama Mim, kedua Ha, ketiga Mim, keempat Dal. Adapun Kepala itu Huruf Mim Awal, adapun Tangan itu Huruf Ha, adapun Pinggang itu Huruf Mim Akhir dan adapun Peha kedua itu Huruf Dal. Demikianlah di dalam Insan itu tiada lain daripada nama Allah dan Muhammad S.A.W. Tiliklah nyata-nyata dengan memohon kerana Allah Ta’ala Tuhan Yang Sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment