Sebuah kitab fardu ain yang dihuraikan mengikut bahasa dan isyarat kaum sufi yang ditulis oleh al 'arif billah Ahmad bin Mustafa 'Ilwayh al mustaghonimi (wafat 1353H).
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi zat yang telah nyata pada ghaib-Nya dan ghaib pada nyata-Nya sehingga Dia menjadi tersembunyi disebabkan terlalu nyata wujud-Nya pada basirah hamba-hamba-Nya kerana keagungan cahaya-Nya. Lantaran nyata wujud-Nya itu terhapuslah sekelian yang wujud pada ketika syuhud hamba-Nya (fana) seperti hancur bukit Tursina ketika datang tajalli Allah padanya.
Disebabkan terlalu nyata wujud-Nya DIA memperkenalkan diri-Nya kepada para awliya'-Nya lalu mereka mengenali-Nya dan bertaqarrub disebabkan tajalli ini lalu mereka menyaksikan (syuhud) Nya dan menjelaskan akan diri (tajalli)-Nya itu. Allah terhijab dari selain dari golongan tersebut (awliya') kerana hikmah yang tersembunyi lalu mereka mengingkarinya sedangkan wujud-Nya itu terlebih hampir dari diri mereka sendiri.
DIA memantulkan diri-Nya pada pelbagai martabat untuk menyatakan keAgungan-Nya dan pada setiap masa sekadar yang dapat ditanggung oleh kefahaman akal ahli-Nya kerana belas diri-Nya pada mereka agar nyata rahmat-Nya. Sungguhpun begitu alam seluruhnya tiada mampu mengagungkan-Nya dengan sebenar-benarnya sedang bumi seluruhnya di dalam genggaman kekuasaan-Nya.
No comments:
Post a Comment