Saturday, April 9, 2016

IMAM AL GHAZALI: SOLAT BERLUMURAN DARAH

Imam Al Ghazali Al Thausi rah atau nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad ialah ulama tersohor yang bermartabat tinggi di sisi Allah. Beliau begitu mahir dalam feqah dan tasauf hingga dapat membawa manusia menuju ke hadhrat Allah SWT dan telah meninggalkan pedoman kepada umat dengan kitab-kitab karangan beliau, antaranya, ialah 'Ihya' Ulumuddin' dan 'Minhajul 'Abidin'.

Imam Al Ghazali juga telah dinobatkan oleh ulama-ulama dengan gelaran 'Hujjatul Islam' kerana telah mematahkan hujjah-hujjah ketua ulama Muktazilah (antara iktiqad mereka ialah bahawa setiap kerja manusia itu tiada kena mengena dengan Allah Taala). Beliau juga telah menepis segala falasafah Greek dan Yunani dari mencemari ajaran dan aqidah Islam. Antara falasafahnya ialah alam ini tercipta bersama penciptanya. Dinukilkan disini salah satu daripada kisah-kisah hidup beliau sebelum beliau mengarang kitab yang paling ramai umat membacanya iaitu 'Ihya Ulumuddin' dan juga 'Minhajjul 'Abidin' (kitab Tasauf).

SOLAT BERLUMURAN DARAH

Pada suatu hari Imam Al Ghazali telah pulang ke kampung halaman setelah lama di perantauan kerana tugas-tugas sebagai imam tersohor yang sangat arif dalam bidang fekah, untuk bersama-sama keluarga tercinta.

Tiba waktu solat, beliau dan adik lelakinya bersedia mengerjakan solat berjamaah. Menghormati abangnya, adiknya telah memberi laluan kepada Al Ghazali mengimami solat itu. Sekitar sebahagian solat sedang dikerjakan, tiba-tiba adiknya telah 'mufarakah' (keluar dari menjadi makmum) dan telah menghabiskan solatnya secara sendirian hingga selesai dan terus berlalu dari situ. Selepas solatnya, Imam Al Ghazali tertanya-tanya pada diri sendiri tentang kejadian itu dan sangat berkeinginan untuk tahu sebab-sebab adiknya 'mufarakah' kerana ia pasti solatnya tiada cacat cela. Lalu disusuli adiknya dan apabila bertemu lalu ia bertanya, " kenapa adinda mufarakah dari solat tadi. Aku pasti aku tidak membuat apa-apa kesalahan di dalam solatku”. “Semasa solat tadi aku terlihat kepala mu berlumuran dengan darah. Itulah sebabnya aku terus mufarakah dan solat sendirian." Jawab adiknya penuh hormat.

Mendengar penjelasan adiknya, Imam Al Ghazali tergamam dan termenung kehairanan sejenak sambil memikirkan apa yang berlaku. Namun kecerdasan akalnya dan keistimewaan naluri hatinya yang dikurnia Allah Ta'ala kepadanya beliau dapat menangkap apa yang berlaku. Beliau tidak menyangka adiknya mempunyai ilmu yang beliau sendiri belum pelajari. “Sebenarnya ketika aku solat tadi aku ada terfikir tentang masalah darah haid dan adinda boleh melihatnya?" Imam Al Ghazali mengaku dan meluahkan rasa peliknya kepada adiknya. Oleh kerana kagum dengan kelebihan adiknya lalu beliau bertanya, "Di manakah adinda berguru kerana aku ingin turut belajar”. “Aku berguru dengan seorang tua yang tinggal di hujung kampung ini." Adiknya menjawab gembira kerana melihat abangnya yang masih ingin belajar walau pun berkedudukan imam yang terkenal.

Lantas Al Ghazali pergi mencari guru di hujung kampung. Sampai di satu kawasan hujung kampung itu ia bertemu seorang penduduk kampung dan bertanyakan arah rumah tok guru itu. "Ikutlah saya, saya boleh bawakan tuan ke sana." Orang itu mempelawa. Apabila sampai di sebuah pondok orang itu berkata ," sayalah orang yang tuan cari”. Imam Al Ghazali tersentak kerana tidak menyangka orang itu ialah guru yang dicarinya sedangkan ia tidak langsung berketerampilan seorang guru yang mempunyai ilmu yang tinggi. Tiba-tiba guru itu berkata, "Tuan pernah berjumpa saya di bandar dahulu."

Imam Al Ghazali sekali lagi tersentak dan baru ia teringat kepada orang tua inilah ia pernah menghulurkan kakinya untuk membersihkan sepatunya sewaktu ia berada di bandar satu ketika dahulu. Beliau berasa amat malu dan lantas memohon maaf dan menyatakan tujuannya untuk berguru dengan guru itu. Guru itu memberi jawapan yang mengembirakan imam Al Ghazali. Dengan penuh keghairahan untuk memulakan pembelajaran ia bertanya apakah yang perlu dibuat sebagai seorang murid. "Tiap-tiap hari engkau cuci tandas di belakang pondokku". Jawab tok guru.

Lantas dipatuhi dengan rela hati oleh Imam Al Ghazali demi cintanya kepada ilmu Allah Ta'ala. Begitulah imam Al Ghazali mendapat pelajaran bahawa ilmunya masih belum lengkap walaupun ia seorang ulama yang dirujuki oleh ulama lain. Adalah dipercayai setiap kali beliau membersih tandas gurunya setiap kali juga Allah Taala membersih hati imam Al Ghazali. Di situlah beliau menggilap ilmu Tasauf beliau sehingga mencapai makam yang tinggi di sisi Allah S.W.T dan mengarang kitab 'Ihya Ulumuddin' dan kitab akhirnya, 'Minhajjul 'Abidin' sebagai pedoman dan lorong/jalan untuk kita bertemu Allah s.w.t. (Telah saya olah kisah diatas berdasarkan fakta dari kuliah). Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment