Sewaktu pulang dari Jarjan menuju kampungnya di Thusia, segerombolan perompak padang pasir telah menyerang rombongan yang disertai oleh Imam Ghazali. Mereka merampas harta yang ada pada rombongan itu. Antara yang dirampas ialah catatan ilmu yang dipelajari oleh beliau dari gurunya di Jarjan iaitu Imam Abu Nashir Al-Ismaili. Imam Ghazali menemui ketua perompak itu dan meminta agar catatannya dipulangkan kerana beliau sangat menyayangi dan menghargainya.
Mendengar permintaan Imam Ghazali, ketua perompak itu bertanya secara menyindir "Untuk apa catatan ini wahai anak muda? Bukankah engkau telah menghafal dan memahami seluruh isi kandungannya?" Namun begitu, ketua perompak akhirnya memulangkan kembali catatan tersebut kepada Imam Ghazali. Selepas peristiwa itu, Imam Ghazali menghafal seluruh isi catatannya itu dan apabila menghadiri majlis-majlis ilmu, beliau lebih mengutamakan pemahaman yang sungguh-sungguh dari sekadar mencatat. Beliau benar-benar terkesan dengan sindiran ketua perompak itu. Benarlah kata hukama "Jangan engkau melihat kepada sesiapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikata”.
Setelah Imam Ghazali wafat, Mufti Damsyik ketika itu telah bermimpi bertemu dengan Imam Ghazali di suatu tempat yang indah. Apabila Mufti tersebut bertanya kepadanya bagaimanakah beliau boleh berada di tempat yang sebegitu indah, Imam Ghazali menjawab "Ini adalah rahmat dan kasih sayang Tuhanku. Pernah ada suatu ketika sewaktu aku sedang mengarang kitab Ihya' Ulumuddin di atas loteng Masjid Umawi, seekor lalat hinggap di atas bekas dakwatku untuk menghilang dahaganya. Aku membiarkan ia minum dakwat tersebut hinggalah ia selesai dan puas. Setelah lalat itu terbang dari bekas dakwat tersebut, barulah aku menyambung semula kerja-kerja penulisanku yang terhenti sebentar. Kisah ini memberi gambaran betapa Imam Ghazali benar-benar menulis berdasarkan rasa hati. Beliau hayati benar-benar kesepaduan ilmu dan amal yang dikehendaki oleh Islam.
Walaupun dari sudut fiqh, tidak menjadi kesalahan jika beliau menghalau lalat tersebut dari bekas dakwatnya itu, namun beliau tidak berbuat begitu. Ilmu tentang akhlak yang terdapat dalam tasawuf telah sebati dengan dirinya. Dalam keadaan asyik, hatinya mudah tersentuh melihat seekor lalat yang seolah-olah menagih simpati untuk berhenti menghilangkan dahaga. Begitu halus perasaan beliau hatta terhadap seekor lalat yang kecil.Imam Ghazali pernah bermuzakarah (berbincang) dengan orang-orang yang terdiri dari pelbagai pemikiran dan aliran fahaman. Baginya muzakarah diniatkan untuk mencari kebenaran bukan mencari kemenangan. Justeru itu, beliau tetap senang hati jika kebenaran itu datang dari orang lain.
Pernah suatu ketika, selepas keluar dari majlis muzakarah, Imam Ghazali memuji orang yang bermuzakarah dengannya di hadapan orang lain sambil berkata "Hebat akalnya!" Sedangkan orang yang dipujinya itu keluar dari majlis itu dengan bangga sambil memperkecilkan ilmu Imam Ghazali. Pesan Imam Ghazali, jangan sampai kita jemu melakukan sesuatu kebaikan oleh sebab kekerapan melakukannya sebagaimana kita jemu dengan makanan yang selalu kita makan. Amalan, walau sebesar habuk sekalipun tetap dinilai di sisi Allah. Dan Allah sahaja yang tahu kecil atau besar nilai sesuatu amalan yang kita buat dan amalan manakah yang menyebabkan Dia menurunkan rahmat-Nya kepada kita.
No comments:
Post a Comment