Dikisahkan bahawa Yunus bin Abdi Al-'Ala, berselisih pendapat dengan sang guru, Al-Imam Muhammad bin Idris As-Shafi'i ketika beliau mengajar di Masjid. Hal ini membuat Yunus bangkit dan meninggalkan majlis dalam keadaan marah.
Kala malam menjelang, Yunus mendengar pintu rumahnya diketuk. Ia berkata: Siapa anda? Orang yang mengetuk menjawab: Muhammad bin Idris. Seketika Yunus berusaha untuk mengingat semua orang yang ia kenal dengan nama itu, hingga ia yakin tidak ada siapapun yang bernama Muhammad bin Idris kecuali Imam Shafi’i. Ketika ia membuka pintu, ia terkejut dengan kedatangan sang guru, Imam Shafi’i. Imam Shafi'i berkata: Wahai Yunus, selama ini kita disatukan dalam ratusan masalah, apakah kerana satu masalah sahaja kita harus berpisah?
Janganlah engkau berusaha untuk menjadi pemenang dalam setiap perbezaan pendapat, terkadang, meraih hati itu lebih utama daripada meraih kemenangan. Jangan pula engkau hancurkan jambatan yang telah kau bangun dan kau menggunakannya, kerana boleh jadi, satu hari nanti engkau memerlukannya kembali.
Berusahalah dalam hidup ini agar engkau membenci perilaku yang salah, dan jangan engkau membenci orang yang melakukan kesalahan. Engkau harus marah saat melihat kemaksiatan, tapi berlapang dadalah atas pelaku maksiat. Engkau boleh mengkritik pendapat yang berbeza, namun tetap menghormati orang yang berbeza pendapat.
Tugas kita dalam hidup ini adalah menghilangkan penyakit, bukan membunuh orang yang sakit. Apabila ada orang yang datang meminta maaf kepadamu, maka maafkan lah. Apabila ada orang yang tertimpa kesedihan, maka dengarkanlah keluh kesahnya. Apabila datang kepadamu orang yang memerlukan, maka penuhilah keperluannya dari apa-apa yang Allah berikan kepadamu. Apabila datang seseorang yang menasihatimu, maka berterima kasihlah atas nasihat yang disampaikan kepadamu.
Bahkan seandainya satu hari nanti engkau hanya menuai duri, tetaplah engkau untuk senantiasa menanam bunga, sesungguhnya balasan yang dijanjikan oleh Allah yang Maha Pengasih lagi Dermawan jauh lebih baik dari balasan manusia. Mudah-mudahan pesanan ini bermanafaat untuk diri sendiri & semua.
No comments:
Post a Comment