Thursday, January 16, 2014

MAHU KORBAN TAPI BELUM AKIKAH - BAGAIMANA HUKUMNYA

Pertama, hukum akikah adalah sunat muakad dan terkait dengan kelahiran anak, sebagai bentuk rasa syukur kepada Allah swt.  Adapun korban adalah ibadat terkait dengan hari Aidil Adha sebagai amalan sunat muakad untuk mengikut tauladan sunnah Nabi Ibrahim as.

Kedua, memang kedua ibadat tersebut jika dilihat dari  bentuk dan tata cara perlaksanannya hampir sama iaitu dengan menyembelih haiwan ternakan. Jika akikah hanya kambing (dan dianjurkan anak laki-laki dua ekor dan anak perempuan satu ekor) sementara  korban di samping kambing juga dibolehkan lembu, kerbau atau unta.  Selain kekuatan hukum yang sama, ketentuan lain yang sama adalah  terkait dengan syarat-syarat haiwan yang akan disembelih. Pembahagian  haiwan yang berbeza, jika akikah disunatkan dalam keadaan telah dimasak, sementara korban disunatkan masih mentah (belum dimasak).

Ketiga, kedua ibadat ini menjadi berbeza dan tidak dapat salah satu dan yang lain saling menggantikan (menurut jumhur ulamak) kerana sebab, waktu dan tuntutan pekerjaannya adalah berbeza. Perlaksanaan akikah disarankan oleh Rasulullah s.a.w pada tanggal 7, 14, 21 dan seterusnya atau sesuai dengan waktu yang mudah bagi seseorang dan sesuai dengan kemampuan. Akikah waktunya lebih luas (muwassak). Sementara ibadat korban waktunya telah ditentukan syariat dan terbatas (mudhayaq) iaitu harus dilaksanakan pada tanggal 10-14 Zulhijjah.

Keempat, kerana itu, melihat keutamaan ibadat korban dan kerana waktu yang terbatas diperbolehkan mendahulukan ibadah korban (meskipun belum akika) kerana akikah dapat dilaksanakan di sepanjang tahun bahkan pada tahun-tahun berikutnya. Bahkan kerana terlebih utamanya korban, Imam Abu Hatim dan Imam Ahmad membolehkan berhutang terlebih dahulu demi untuk dapat melakukan ibadat korban. 

Lebih-lebih jika keadaan yang belum akikah telah berusia dewasa, kerana hal ini masih diperselisihkan ulamak. Mengingat akikah adalah penyembelihan haiwan ketika masih usia kanak-kanak dan jika telah dewasa ada beberapa ulama yang menyatakan gugur hukum sunnah akikah dan ada pula yang menyatakan jika mampu tetap disunnahkan melaksanakannya. Intinya, tidak ada ketentuan dalam syariat bahawa pelaksanaan ibadat korban harus bagi orang yang telah melaksanakan akikah.

Kelima, dan jika penyembelihan korban dengan diniatkan dua ibadat iaitu akikah dan korban, maka tidak diperbolehkan kerana masing-masing ibadat ini berdiri sendiri (maqshudah lidzatiha). Demikian pendapat para ulamak, di antaranya Imam Syafie, Imam Malik, Imam Al-Haitami juga pendapat Syaikh Al Bani.

No comments:

Post a Comment