Friday, January 17, 2014

SATU KISAH SEDEKAH YANG MENARIK

Ini satu kisah seorang teman baik saya yang berlaku sehari lepas, begini beliau ceritakan.

Pagi tadi. Ketika saya berada di tempat mesin ATM untuk mengeluarkan sedikit wang. Agak lama menunggu giliran seorang Pakcik tua berkupiah putih berbaju melayu warna merah jambu terang di depan. Sudah 3 kali percubaan dia memasukkan kad ATM nya ke dalam mesin. Seperti punya masalah. Pakcik itu kemudian memanggil saya.

"Nak, Tak boleh ke pakcik nak keluarkan wang RM10?" Dia tanya pada saya, sambil menunjukkan skrin di mesin.

Saya lihat penyata baki dalam akaun beliau. RM13.14.

"Oh.. tak boleh pakcik..mesin atm ni kena minima RM10 di dalam akaun.. kurang daripada tu tiada pengeluaran dibenarkan bagi bank ini..." Kata saya.

Pakcik tua itu mengangguk. Dan membatalkan urusan. mengambil kad dan keluar dari situ. Kelihatan sugul dan sedih.

Terasa juga dalam hati. kesian pula pada pakcik ini.. jika tiada sebab tak mungkin dia akan berusaha juga untuk keluarkan wang walau hanya RM10.

Setelah selesai urusan, ketika masuk ke dalam kereta Pakcik itu muncul di tepi tingkap saya. Terperanjat saya dibuatnya. Perlahan pakcik itu kata pada saya:

"Nak, boleh tak kamu bayarkan beras pakcik pada tauke kedai runcit tu? Pakcik perlukan beras di rumah... tak ada beras lagi untuk makan.. nak bayar duit pulak tak ada.. tak banyak nak.. cuma RM26 untuk harga beras itu…"

Saya terdiam... dan terus menghulurkan sedikit wang pada dia kerana tak sampai hati melihat keadaanya yang seperti itu. Berbagai persoalan dalam fikiran saya. Semoga Allah pelihara pakcik ini dari putus rezeki dan papa. Dan semestinya jika kita berasa susah, ketahuilah olehmu wahai sahabatku ada lagi ramai insan lain yang lebih susah dan derita dari kita.

Jangan takut dan kedekut untuk bersedekah.

Ketika waktu pejabat sudah tamat sebentar tadi, seorang rakan yang sudah 7 tahun tidak bertanya khabar menelefon saya. Saya agak kaget dan pelik juga kerana sudah terlalu lama dia menyepi dan kini muncul kembali.

Rupanya dia ingin memulangkan kembali wang beberapa ratus yang pernah dia pinjam sejak sekian lama dahulu. Yang mana saya sendiri pun sudah tak ingat lagi. Ketika dia ingatkan kembali, baru saya seperti 'recall' semula dan mengucapkan terima kasih pada dia atas ingatan membayar balik. Memberikan akaun bank, dan dia mengucapkan terima kasih banyak banyak atas pertolongan suatu masa lalu. Panggilan ditamatkan.

Dan di sini saya terfikir sesuatu. Allahurabbi.

Janji Allah itu pasti. Tidak akan muflis orang yang bersedekah. Dan dengan bersedekah itu Allah akan murahkan rezeki kita. Sedikit sedekah pada pakcik tua pagi tadi Allah gantikan dengan nilai yang lebih besar setelah kawan saya membayar semula hutang nya suatu masa lalu. Benar, itu duit saya juga tapi ia tetap takkan jadi milik saya jika Allah tak izinkan kawan tu untuk bayar balik. Wasilahnya berbeza beza, yang pasti dalam rezeki kita pasti akan ada milik insan lain.

Bersedekahlah walaupun dalam keadaan kita hanya memiliki sedikit harta kerana keberkatan dari yang sedikit itu lah yang akan memastikan rezeki kita sentiasa cukup.

Konsep rezeki itu luas konteksnya. Bukan sekadar wang ringgit dan harta benda. Bukan diukur dari material semata. Ilmu adalah rezeki, kawan-kawan yang baik adalah rezeki, kesihatan, kemudahan, kelapangan masa, kasih sayang, kefahaman, jodoh, zuriat, keluarga dan macam-macam lagi!

Subhanallah, kalau senaraikan, cuba bayangkan, berapa banyak lagi nikmat yang kita tidak syukuri? 'Fabiayyi'alaa irobbikuma tukazziban...'

(terima kasih perkongsian cerita ini)

No comments:

Post a Comment