Friday, January 17, 2014

ISRAK MIKRAJ - PERJUANGAN MERINGANKAN SOLAT UNTUK UMAT

Solat fardu yang diwajibkan kepada kita umat islam berjumlah 17 rakaat dan dikerjakan dalam lima waktu yang berbeza pada setiap harinya. Jumlah solat yang lima waktu dalam sehari ini sebenarnya sedikit jika dibandingkan dengan perintah Allah s.w.t yang pertama kepada Rasulullah s.a.w iaitu sebanyak lima puluh waktu dalam sehari semalam.

Melalui proses yang panjang pada peristiwa Israk Mikraj, berkali-kali Rasulullah s.a.w memohon kepada Allah s.w.t agar jumlah waktu solat yang diperintahkan kepadanya boleh dikurangkan. Dan akhirnya, setelah proses yang panjang itu ditetapkanlah jumlah yang lima waktu itu kepada kita hingga saat ini.

Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting yang menguji keimanan umat islam. Terjadi pada bulan Rejab tahun ke-12 dari kenabian. Israk adalah perjalanan Rasulullah s.a.w pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestina. Allah s.w.t berfirman,

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

"Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (QS. Al-Isra: 1).

Sedangkan Mikraj adalah perjalanan Nabi s.a.w dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha. Tempat beliau menerima perintah solat dari Allah s.a.w. Kata mikraj berasal dari kata ‘araja, artinya perjalanan naik ke langit. Kata ini juga digunakan untuk menjelaskan perjalanan naik para malaikat pencatat amal ke langit. Bentuk lain kata ini menjadi nama salah satu surah dalam al-Quran, surah al-Maarij (tempat-tempat naik). Allah s.w.t berfirman,

تَعْرُجُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

"Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Rabb dalam sehari yang setara dengan lima puluh ribu tahun" (QS. Al-Ma’arij: 4).

Namun dalam peristiwa Israk dan Mikraj, kekuasaan Allah s.w.t berlaku atas Rasulullah s.a.w. Beliau melakukan perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha hanya dalam waktu satu malam. Apa saja yang beliau alami dalam perjalanan Israk dan Mikrajnya?

Imam al-Bukhari meriwayatkan salah satu sabda Rasulullah s.a.w tentang peristiwa Israk dan Mikraj, yang diriwayatkan dari Hudbah bin Khalid, dari Hammam bin Yahya, dari Qatadah, dari Anas bin Malik, dari Malik bin Sha’sha’ah. Nabi s.a.w bercerita tentang malam perjalanan Israk, "Ketika aku berada di al-Hathim atau, beliau menyebut, di al-Hijr dalam keadaan berbaring, tiba-tiba seseorang datang lalu membelah.”

Qatadah berkata, "Dan aku juga mendengar baginda berkata, "Lalu dia membelah apa yang ada di antara ini dan ini" Aku bertanya kepada al-Jarud yang saat itu ada di sampingku, "Apa maksudnya?" Dia berkata, "Dari atas dadanya sampai tempat tumbuh rambut kemaluan"

Rasulullah s.a.w melanjutkan, "Lalu laki-laki itu mengeluarkan kalbuku (hati), kemudian dibawakan kepadaku sebuah tempayan emas yang dipenuhi dengan iman, lalu dia mencuci hatiku, dan mengisinya dengan iman dan diulanginya. Kemudian didatangkan kepadaku hiwan tunggangan berwarna putih, yang lebih kecil dari baghal namun lebih besar dari keledai.”

Al-Jarud berkata, “Apakah itu yang dinamakan buraq, wahai Abu Hamzah?” Anas menjawab,“Ya, buraq itu meletakkan langkah kakinya pada pandangan mata terjauh.”

“Aku menunggangnya,” lanjut Nabi s.a.w, "Aku berangkat bersama Jibril hingga sampai di langit dunia. Jibril lalu meminta dibukakan pintu langit, dan dia ditanya, "Siapa?" Jibril menjawab, "Jibril" Dia ditanya lagi, "Siapa orang yang bersamamu?" Jibril menjawab, "Muhammad." Ditanyakan lagi "Apakah dia telah diutus?" Jibril menjawab, "Ya" Maka dikatakan, "Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang”

"Maka pintu langit pertama pun dibuka. Setelah melaluinya, aku berjumpa dengan Adam. Jibril berkata, "Ini adalah bapakmu, Adam. Berilah salam kepadanya" Aku lalu memberi salam kepadanya dan Adam membalas salamku lalu berkata, "Selamat datang anak yang soleh dan nabi yang soleh”

“Aku kemudian dibawa naik ke langit kedua, lalu Jibril meminta dibukakan pintu langit kedua kemudian ditanya, ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang”

Pintu langit kedua pun dibuka. Setelah aku melaluinya, aku berjumpa dengan Yahya dan Isa, keduanya adalah anak dari satu makcik. Jibril berkata, ‘Ini adalah Yahya dan Isa, berilah salam kepada keduanya.’ Aku pun memberi salam kepada keduanya dan mereka membalas salamku lalu berkata, "Selamat datang saudara yang soleh dan nabi yang soleh”

"Selanjutnya, aku naik ke langit ketiga, lalu Jibril meminta dibukakan pintu langit ketiga. Jibril kemudian ditanya, ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Dia ditanya lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang.’ Pintu langit ketiga pun dibuka. Setelah melaluinya, aku berjumpa dengan Yusuf. Jibril berkata, ‘Ini adalah Yusuf. Berilah salam kepadanya.’ Maka aku memberi salam kepadanya. Yusuf membalas salamku dan berkata, ‘Selamat datang saudara yang soleh dan nabi yang soleh”

"Aku kemudian dibawa naik ke langit keempat. Jibril kemudian meminta dibukakan pintu langit keempat dan dia ditanya, ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Dia ditanya lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang.’ Maka pintu langit keempat dibuka. Setelah melaluinya, aku berjumpa dengan Idris. Jibril berkata, ‘Ini adalah Idris, berilah dalam kepadanya.’ Aku pun memberi salam kepadanya. Idris membalas salamku lalu berkata, ‘Selamat datang saudara yang soleh dan nabi yang soleh”

"Aku kemudian dibawa ke langit kelima. Jibril lalu meminta dibukakan pintu langit kelima dan dia ditanya, ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Dia ditanya lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang.’ Pintu langit kelima pun dibuka. Setelah melaluinya, aku bertemu dengan Harun. Jibril berkata, ‘Ini adalah Harun. Berilah salam kepadanya.’ Aku lalu memberi salam kepadanya. Harun membalas salamku dan berkata, ‘Selamat datang saudara yang soleh dan nabi yang soleh”

"Aku kemudian dibawa naik ke langit keenam. Jibril meminta dibukakan pintu langit keenam kemudian ditanya ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Dia ditanya lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang.’ Pintu langit keenam pun dibuka. Setelah melaluinya, aku mendapatkan Musa. Jibril berkata, ‘Ini adalah Musa. Berilah salam kepadanya.’ Aku pun memberi salam kepadanya. 

Musa membalas salamku lalu berkata ‘Selamat datang saudara yang soleh dan nabi yang soleh.’ Ketika aku sudah selesai, tiba-tiba Musa menangis. Ditanyakan kepadanya, ‘Kenapa kamu menangis?’ Musa menjawab, ‘Aku menangis karena anak ini diutus setelahku, namun orang yang masuk surga dari umatnya lebih banyak dari orang yang masuk surga dari umatku”

"Aku kemudian dibawa naik ke langit ketujuh. Jibril kemudian meminta dibukakan pintu langit ketujuh, kemudian ditanya, ‘Siapa?’ Jibril menjawab, ‘Jibril.’ Dia ditanya lagi, ‘Siapa orang yang bersamamu?’ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Ditanyakan lagi ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab, ‘Ya.’ Maka dikatakan, ‘Selamat datang baginya dan ini sebaik-baiknya kedatangan orang yang datang.’ Pintu langit ketujuh pun dibuka. Setelah melewatinya, aku mendapatkan Ibrahim. Jibril berkata, ‘Ini adalah bapakmu, Ibrahim. Berilah salam kepadanya.’ Aku pun memberi salam kepadanya. Ibrahim membalas salamku dan berkata, ‘Selamat datang anak soleh dan nabi yang soleh”

"Setelah itu ditampakkan kepadaku Sidratul Muntaha, bentuknya seperti tempayan daerah milik Hajar dengan daunnya mirip telinga-telinga gajah. Jibril berkata, ‘Ini adalah Sidratul Muntaha.’ Ternyata di dasarnya ada empat sungai, dua sungai batin dan dua sungai zahir. Aku bertanya, ‘Apakah ini wahai Jibril?’ Jibril menjawab, ‘Dua sungai batin adalah dua sungai yang berada di surga, sedangkan dua sungai zahir adalah Nil dan Eufrat.’ Aku kemudian diangkat ke Baitul Ma’mur dan diberi tiga gelas minuman. Satu gelas berisi khamar (arak), satu gelas berisi susu, dan satu gelas lagi berisi madu. Aku mengambil gelas berisi susu. Jibril berkata, ‘Ini merupakan fitrah yang kamu dan umatmu berada di atasnya,’ kemudian diwajibkan bagiku solat lima puluh kali setiap hari”

"Saat aku kembali dan lalu di hadapan Musa, dia bertanya, ‘Apa yang telah diperintahkan kepadamu?’ Aku menjawab, ‘Aku diperintahkan solat lima puluh kali setiap hari.’ Musa berkata, ‘Umatmu tidak akan sanggup melaksanakan solat lima puluh kali dalam sehari. Demi Allah, aku telah mencoba menerapkannya kepada manusia sebelum kamu, dan aku juga telah berusaha keras menerapkan kepada Bani Israil dengan sungguh-sungguh. Kembalilah kepada Rabbmu dan mintalah keringanan untuk umatmu.’ Aku pun kembali dan Allah s.w.t memberiku keringanan dengan mengurangi sepuluh solat. Aku kembali menemui Musa. Musa pun mengatakan sebagaimana yang dikatakan sebelumnya. Aku pun kembali dan Allah memberiku keringanan dengan mengurangi sepuluh solat, lalu aku kembali menemui Musa. Musa kembali berkata sebagaimana yang dia katakan sebelumnya. 

Aku pun kembali, dan Allah memberiku keringanan dengan mengurangi sepuluh solat, lalu aku kembali menemui Musa. Musa masih berkata sebagaimana yang dia katakan sebelumnya. Aku pun kembali, dan aku diperintah dengan sepuluh kali solat setiap hari. Aku pun kembali dan Musa kembali berkata seperti sebelumnya. Aku pun kembali kepada Allah. Akhirnya, aku diperintahkan dengan lima kali solat dalam sehari. Aku kembali kepada Musa dan dia berkata, ‘Apa yang diperintahkan kepadamu?’ Aku menjawab, ‘Aku diperintahkan dengan lima kali solat dalam sehari.’ Musa berkata, ‘Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melaksanakan solat lima kali sehari. Aku telah mencoba menerapkannya kepada manusia sebelum kamu, dan aku juga telah berusaha keras mendakwahkan Bani Israil dengan sungguh-sungguh. Kembalilah kepada Rabbmu dan mintalah keringanan untuk umatmu.’ Lalu aku berkata, ‘Aku telah banyak memohon (keringanan) kepada Rabbku hingga aku malu, Aku telah redha menerimanya”

"Ketika aku telah selesai, terdengar suara yang berseru, ‘Sungguh Aku telah memberikan keputusan kewajibanKu dan Aku telah meringankannya untuk hamba-hambaKu" (HR. Al-Bukhari). Pada peristiwa Mikraj itu Rasulullah s.a.w telah berkali-kali memohonkan keringanan atas jumlah solat kita dari lima puluh waktu menjadi lima waktu. Lalu apa lagi yang menyebabkan kita harus mengeluh saudaraku?

No comments:

Post a Comment