Thursday, February 26, 2015

NASIHAT MAULANA SAID AHMAD KHAN

(Tgl: 2 April 1986)

Assalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh. Usaha Jemaah Tabligh adalah satu usaha yang bergerak di atas kaedah atau prinsip yang cukup halus. Ianya akan menjadi cukup mudah bagi mereka-mereka yang inginkan memperbaiki diri (meningkatkan kerohanian diri), sebaliknya ianya akan menjadi cukup payah dan susah bagi mereka yang bermaksud untuk memperbaiki diri orang lain.

Kaedah atau prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut:

1) Jangan sekali-kali lepaskan perasaan marah kepada orang tanggungjawab atau Amir meski pun kamu tidak senang dengan keputusan yang mereka putuskan.

2) Jangan merasa lemah untuk melaksanakan keputusan yang telah diputuskan oleh orang tanggungjawab atau juga Amir jemaah sebaliknya hendaklah rela melaksanakan sebarang keputusan tersebut.

3) Jangan bersikap berang dan marah terhadap isteri, ibubapa dan juga saudara mara kita. sebalikya selalulah bersikap sabar dan tabah di atas segala kerenah mereka.

4) Selalulah merasai bahawa usaha dan pengorbanan kita terlalu sedikit, sebaliknya janganlah sekali-kali merasakan semua itu terlalu besar.Juga jangan sekali-kali terlintas difikiran kita bahawa kita telah banyak memberi pengorbanan jiwa dan harta di dalam usaha yang mulia ini.

5) Binalah cinta dan kasih terhadap ulama-ulama dan ahli zikir yg mana mereka lerlibat dengan usaha yang mulia ini atau pun tidak terlibat dengan usaha ini. Malah juga bagi mereka yang menentang usaha yang mulia ini. Selalulah memuliakan mereka dengan merendahkan diri dan sentiasa menziarahi mereka serta meminta doa dari mereka.

6) Jangan sekali-kali membelakangkan ilmu dan juga zikir, tetapi sesuaikan ketiga-tiga ini (Dakwah,Ilmu dan Zikir) mengikut kesesuaian dan kepentingannya ke atas ummat. Atas sebab tiga perkara inilah maka Allah swt mengutuskan Nabi-Nabi as sebagai “Daie”.

7) Sentiasalah berdoa kepada Allah swt dengan penuh perasaan hina diri dan kesedihan (mengenangi dosa-dosa).

8) Jangan membenci pada sesiapa pun yg mana dia seorang yang berpelajaran mau pun dia seorang yang miskin. Juga jangan sekali-kali kita membelakangkan golongan miskin dan mengutamakan golongan kaya di dalam usaha yang mulia ini.Sebaliknya layanilah dan ra’ilah mereka mengikut kesesuaian.

9) Jangan hanya satu sudut golongan saja kita beri tumpuan melaksanakan usaha ini, sebaliknya kembangkan usaha yang mulia ini kepada semua golongan di dalam masyarakat.

10) Pastikan kita sentiasa berhubung rapat dengan mereka (golongan di dalam masyarakat) dan pastikan mereka juga berhubungan erat dengan kamu.

11) Di dalam sudut-sudut tertentu mungkin akan terjadi sedikit salah faham di dalam melaksanakan usaha yang mulia ini, namun begitu jangan sampai sesetengah menyalahkan sesetengah yang lain. Jika ini berlaku, maka maksud pengislahan diri tidak akan terhasil dan golongan yang disasarkan juga tidak dapat diislahkan. Sikap ini akan mengujudkan sentimen permusuhan dan balas dendam. Kesudahannya akan wujud sifat megah diri dan kesombongan. Ini semua akan menyebabkan sesaorang itu terperangkap dengan pemahaman peraturan dan kaedah sehingga maksud sebenar usaha agama tidak akan tercapai.

12) Sekiranya kita sampai di suatu tempat/negeri, sebaiknya kita berbincang dahulu dengan mereka-mereka yang lama di dalam usaha ini di tempat tersebut. Kemudian barulah usaha dilaksanakan di situ.( mengikut usul-usul dan tertib tempatan)

13)Jika titik persamaan tidak terhasil di dalam sesetengah usul dan tertib serta ianya juga tidak terhasil melalui musyawarah maka rujuklah dengan orang tanggungjawab negara/negeri tempat berkenaan dalam pada itu hubungan kasih sayang tetap dipelihara Jangan sesekali biarkan sifat dendam kesumat dan benci membenci serta menyalahkan satu dengan yang lain.

14) Mereka yang terbaik dan terunggul adalah mereka-mereka yang sentiasa memelihara sifat toleransi dan faham memahami antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya.

15) Golongan yang kedua terbaik ialah mereka-mereka yang dapat memelihara perasaan satu hati dan sentiasa membuat hubongan dengan semua orang. Kedua-dua sifat ini (no.15 dan 16) akan terhasil hanya kepada mereka-mereka yang mempunyai sifat rendah diri (dan ikhlas di dalam melaksanakan usaha yang mulia ini)

(Terjemahan bebas dari Surat Nasihat Maulana Saeed Ahmad Khan rah)

No comments:

Post a Comment