Terdapat beberapa buah buku yang tersebar luas dalam masyarakat yang menceritakan kisah Sayyidina Umar r.a. konon telah membunuh seorang anak perempuan dan menanamnya hidup-hidup, seperti sebuah buku berjudul “Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga"oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), hal. 50-51.
Dua artikel berkenaan cerita ini telah disiarkan dalam Akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998) dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM (Harakah, 30 Nov 1998). Keduanya mengandung cerita yang sama dengan meskipun dengan sedikit perbedaan.
Jika cerita seperti itu disebarkan oleh musuh Islam, tentu sekali tiada maksud lain bagi mereka melainkan untuk memburuk-burukkan Sayyidina Umar r.a. yang merupakan sahabat karib Rasulullah saw. dan khalifah agung umat Islam.
Jika cerita seperti ini disebarkan oleh mereka dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, pada pandangan penulis, ada dua kemungkinan yang mendorong mereka untuk menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua, adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a. berada di zaman jahiliyyah.
Apa susahnya andaikata semasa zaman jahiliyyah itu, Sayyidina Umar r.a. telah melakukan perbuatan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam dengan kemampuannya yang luar biasa dapat mengubah dan membentuk pribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Sayyidina Umar r.a. itu pun telah menjadi sebaik-baik manusia malah menjad pemimpin Islam contoh untuk umat Islam?
Bagi penulis, tidaklah masalah soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana itupun telah pun terbukti melalui banyak riwayat-riwayat yang shahih tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini? Apakah kedudukannya? Apakah cerita ini memang mempunyai dasar ataukah hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?
Alangkah baiknya kepada para pembaca sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini menyebutkan kitab-kitab rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang banyak itu disampaikan dengan penuh tanggung jawab.
Kisah ini tidak akan dapat pernah ditemui walaupun hanya bayangannya saja di dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar! Tentu sekali cerita ini dibuat oleh musuh-musuh Islam tetapi sungguh malang sekali apabila kita sebagai umat Islam menerima apa saja yang disodorkan dalam cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah saw. telah pun bersabda, “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya."(Hadits Riwayat Muslim)
Tujuan penulis membetulkan artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup Rasulullah saw. Juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah saw. dan sahabat-sahabat baginda saw. kerana mereka adalah cermin agama Islam.
Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis tuliskan kembali bahagian terpenting dari kisah Sayyidina Umar r.a. mengubur hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disebarkan dalam akhbar di atas).
Begini ceritanya…..
“…Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya…. Umar menutupkan mata dan berfikir, "Oh ! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa engkau dilahirkan sebagai perempuan?” Ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil.” “Umar, jangan jadi pengecut,” Tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehingga anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kisah ini selain tidak terdapat di dalam kitab-kitab shahih dan muktabar, ia juga bersebrangan dengan kaidah dirayah yang dipakai oleh ulama Islam di dalam menilai suatu cerita.
Di antara alasan-alasan itu ialah:
1) Tidak ada satu pun riwayat yang dapat di pertanggung jawabkan untuk membuktikan seorang dari kabilah Quraish mengubur anaknya hidup-hidup, apa lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuannya.
2) Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di sebahagian kalangan kabilah Bani Tamim dan Asad yang mengkhawatirkan kesengsaraan yang akan menimpa mereka di keranakan anak-anak itu. (Muhammad Tayyib dan Najjar di dalam kitab Al-Qabasu AL-Waddah, hal 78 Zakaria Basyir dalam Meccan Crucible, hal 24). Sebagaimana ada riwayat yang menyebutkan Qais bin Hasyim seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudian memeluk Islam, telah mengaku mengubur hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliyyah.
Di sana juga terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah banyak menyelamatkan anak perempuan dari pembunuhan yang akan di lakukan oleh ibu-bapa mereka di keranakan takut sengsara dengan cara membeli anak-anak perempuan tersebut. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sasaah bin Naajiah, Kakek dari Al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail. Sasaah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibu-bapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Jumlah anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah sekitar 360 orang (At Thabarani dalam Al Mujamu Al Kabir, jilid 8 hal. 77).
Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakat sekitar yang menyekutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin mengamalkan peninggalan agama Nabi Ibrahim.
Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibu-bapanya lalu memelihara mereka hingga dewasa. Kemudian dia akan membawa anak-anak perempuan itu kepada kedua ibu-bapanya lalu berkata kepada mereka , "Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini, kamu boleh mengambilnya atau kalau kalian tidak suka kepada anak perempuan kamu ini biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jilid 1 , hal. 540)
Zaid bin Amar bin Nufail bukan saja keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau adalah sepupu Sayyidina Umar r.a. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri anaknya Said dan anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a. sendiri.
Tidak akan pernah terjadi keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan dari pembunuhan yang akan di lakukan oleh ibu-bapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting dari mereka sendiri melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anaknya sendiri.
3) Setelah Mekah dibuka, Rasulullah saw berbaiah dengan perempuan-perempuan mukmin. Diantara ucapan baginda Saw ialah, "Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”
Peristiwa itu tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraish tidak terlibat dengan adat yang keji ini. Sabda Rasullullah saw. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa kabilah Quraish tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu, Sabda Baginda saw,
"Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraish. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya.”
Apa artinya pujian Nabi saw terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anaknya sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya?
Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.
4) Dalam tradisi Arab, seorang yang dikurniakan dengan anak pertama, akan di Kunyah sebagaimana Kunyahnya Nabi kita saw ialah Abu Qasim, Kunyah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.
5) Perlu juga diperhatikan bahawa disepanjang hayatnya, berapa banyakkah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya selain dari anak-anak beliau itu?
Kerana sejarah menyimpan semua catatan isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menuliskan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a. dan anak-anaknya di samping hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mempunyai banyak anak.” Isteri beliau ialah:
i) Zainab bt Mazun: Zainab adalah saudara perempuan Uthman b. Mazun yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi saw. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
ii) Atikah bt Zaid b. Amar b. Nufail: Dari beliau mendapat seorang anak lelaki bernama Iyadh.
iii) Isteri yang ketiga ialah Jamilah bt Tsabit b. Aflah: Dari beliau mendapat seorang anak lelaki bernama Aasim.
iv) Ummul Hakkam bt Al-Harith b. Hisham: Dari beliau mendapat anak perempuan bernama Fathimah.
v) Ummul Kulthum bt Jarwal b. Malik: Dari beliau mendapat dua orang anak perempuan bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar.
vi) Ummul Kulthum bt Ali b. Abi Talib: Dari beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Asghrar dan Ruqayyah.
vii) Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina r.a telah mendapat anak. Dari Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dari Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Autsar dan Abdul Rahman Al Asghrar.
Jadi, anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:
Anak Laki-laki:
1) Abdullah
2) Abdul Rahman Al Akbar
3) Abdul Rahman Al Autsar
4) Abdul Rahman Al Asghrar
5) Zaid Al Akbar
6) Zaid Al Asghrar
7) Ubaidullah
8)Aasim
9) iyadh
Anak Perempuan:
1) Hafsah
2) Ruqayyah
3) Fatimah
4) Zainab
Dari isteri pertamanya Zainab bt Mazun, Sayyidina Umar r.a mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah b. Umar dan Abdul Rahman Al Akbar. Hafsah adalah anak sulung dari Zainab bt Mazun, sebab itulah beliau dikunyahkan dengan Abu Hafsin.
Pada saat beliau memeluk Islam, beliau hanya mempunyai tiga orang anak ini saja. Kalau begitu anak yang mana yang dui kubur hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a? Siapakah namanya dan siapakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul benci atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa beliau memakai kunyah Abu Hafsin?
Selain dari alasan yang disebutkan tadi, apakah masuk akal apabila Sayyidina Umar r.a baru mengetahui jenis kelamin anaknya apakah anak itu lelaki atau perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun?
Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini keliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarini di dalam sunnahnya, atau mungkin ia pura-pura keliru.
Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu berkata, “wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliyyah, kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Apabila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya dan ia terus mengikuti saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga, saya memegang tangannya dan mendorongnya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang keluar dari mulutnya ialah "Ayah !”
Mendengar cerita itu Nabi saw menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi saw berkata kepada orang itu, "kamu betul-betul telah membuat Rasulullah saw bersedih."Nabi bersabda, “orang ini datang bertanya akan sesuatu yang lebih dari itu,"seraya baginda Rasulullah saw berkata kepada orang itu, “ceritakan sekali lagi kisah itu"orang itu pun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah saw menangis sehinfga basah janggutnya.
Kemudian Nabi saw bersabda, “perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliyyah telah dihapuskan oleh Allah swt dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang lakukan amalan-amalan yang lain"(Sunnah Daarini,jilid 1. hal 3)
Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya, siapa namanya? Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan timbangan ilmu riwayat juga tidak ditsabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain sebelumnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!
Dalam istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati, kerana perawi sebelumnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang diperdebatkan oleh ulama Rijal Hadits tentangnya. Imam Bukhari, Muslim dan Nasai tidak mau menerima riwayatnya.
Ibnu Saad berkata, "dia seorang yang dhaif."Abu Hatim berkata, "setengah riwayatnya baik tetapi setengah yang lain sangat buruk."Jauzajani berkata, “riwayat-riwayatnya adalah lemah"(Mizan Al Itidal, jilid 4. hal 336). Hafiz Ibnu Hajar menulis bahawa, “ingatannya sangat jelek”.
Apabila riwayat itu sendiri tidak boleh di pertanggung jawabkan, selain orang yang bersangkutan tidak disebutkan dengan jelas namanya kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyididina Umar r.a.? Tentu perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam.
No comments:
Post a Comment