Tuesday, March 11, 2014

SEGALA YANG BAIK ITU DARI ALLAH

Mengapa kamu merasa sombong dengan perbuatanmu sendiri, bangga dengan dirimu sendiri dan mengharapkan ganjaran sambil mengatakan bahawa semua ini adalah kerana kekuatan yang dikurniakan Allah kepadamu, pertolongan-Nya dan izin-Nya?

Jika kamu dapat mengelakkan dosa dan noda, maka hal itu adalah kerana pertolongan dan perlindungan Allah. Mengapa pula kamu tidak bersyukur kepada Allah atas pertolongan dan perlindungan-Nya? Dan mengapa pula kamu tidak menyedari bahawa kebiasaanmu menghindarkan dosa itu adalah kerana kurnia dan rahmat Allah? Mengapa kamu bangga dengan sesuatu yang bukan kepunyaanmu sendiri?

Apabila kamu tidak mampu membunuh musuhmu tanpa pertolongan orang yang lebih gagah daripada kamu yang dapat membunuh musuhmu itu, yang kamu hanya menyelesaikan pembunuhan itu saja dan yang jika tanpa pertolongan orang yang gagah itu kamu pasti kalah, maka mengapa kamu merasa sombong dengan perbuatanmu itu?

Apabila kamu tidak dapat membelanjakan wangmu sendiri, kecuali jika ada seseorang yang pemurah, yang benar dan diharapkan dapat menjaminmu dengan mengatakan bahawa seluruh wang yang kamu belanjakan itu akan digantinya, kamu baru berani membelanjakan wangmu itu, maka mengapa kamu merasa sombong dengan perbuatanmu itu?

Cara yang baik bagimu ialah bersyukur dan memuji penolongmu itu, iaitu Allah SWT. Pujilah selalu Allah. Segala kejayaanmu itu adalah dari Allah jua. Janganlah kamu mengatakan bahawa kejayaan itu dari dirimu sendiri, kecuali perkara dosa dan maksiat. Perkara dosa dan maksiat ini hendaklah kamu katakan datang dari dirimu sendiri. Diri itulah yang patut kamu salahkan, kerana di situlah terletak kesalahan dan kejahatan. Allah-lah yang menciptakan perbuatan dan tingkah lakumu itu, sedangkan kamu hanya tinggal menjalankan saja. Itulah sebabnya, ada orang-orang yang bijak di dalam Ilmu Ketuhanan berkata, “Perbuatan itu akan datang dan kamu tidak akan dapat lari darinya.”

"Segala yang baik itu datangnya dari Allah, Dan segala yang buruk itu datang daripada saya.”

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment