Tuesday, March 11, 2014

TIADA DAYA UPAYA DAN KEKUATAN, MELAINKAN PERTOLONGAN ALLAH

Qadim adalah Dzat dan Sifat bagi Allah, dan kita sudah semestinya bersifat hamba, Sedarlah kita hanya diberi pinjamkan sedikit dan sementara Sifat-sifatNya dalam menjalani kehidupan sebagai manusia di dunia ini. 

1 - Qudrat
2 - Iradat
3 - Ilmu
4 - Hayyat
5 - Sama'
6 - Basar 
7 - Qalam

Ketujuh sifat ini adalah Sifat bagi Allah, Untuk menggerakkan kita, Allah berikan "Qudrat" iaitu tenaga atau upaya sebagai keupayaan untuk kita bergerak sebagai manusia. Qudrat pula tidak cukup kalau tidak ada "Iradat" iaitu hasrat atau keinginan, bila dah boleh bergerak dan ada keinginan, Barulah kita boleh pasang impian atau cita-cita untuk membuat hala tuju bagi mencapai atau memiliki yang diinginkan. 

Ada Qudrat dan Iradat pula masih belum cukup tanpa "Ilmu", Maka Allah berikan kita ilmu pengetahuan, iaitu kelebihan untuk kita berfikir dan membuat sesuatu benda dan perkara. Bila 3 Sifat Qudrat, Iradat dan Ilmu dah ada, "Hayyat" juga perlu ada, Tiada Hayyat bererti kita tak hidup atau bernyawa, perlu ada nyawa. Dalam menjalankan satu kehidupan.

Bila dah ada Qudrat, Iradat, Ilmu dan Hayyat, itu baru untuk suatu perbuatan, Masih belum sempurna lagi kehidupan. Kemudian Allah Yang Maha Mendengar beri lagi kita pinjam "Sama' iaitu pendengaran untuk mendengar, Kemudian Allah Yang Maha Melihat pinjamkan kita"Basar" iaitu untuk melihat. 

Lepas boleh melihat dan mendengar, Allah beri kita "Qalam", kebolehan untuk berbicara atau berkata. Sebab itulah kita boleh bergerak, bercakap, mendengar, melihat, dan sebagainya. Barulah sempurna kejadian kita sebagai hambaNya. Manusia itu sebaik-baik kejadian. Namun bila diambil balik kesemua itu, yang tinggal pada kita hanyalah tulang, kulit, darah, daging lendir, otak dan bulu-bulu roma, yang akan reput dan kembali semula ke tanah, asal kejadian kita.

Maha Suci Allah Yang Maha Baik, Bersyukurlah kita dengan nikmat dan kurnia dariNya. Dengan adanya 7 sifat yang diberi pinjam itu, Maka dapatlah kita menjalankan kehidupan di atas muka bumi ini dengan sempurna lagi teratur, Dapatlah kita bekerja, berkahwin, berjalan, berlari, bernafas dan bermacam lagi mengikut kehendak dan izin dariNya. Gunakanlah 7 sifat yang diberi pinjam pada jalan yang benar. 
Inilah yang dipanggil "7 Sifat Ma'ani dan Sifat Pulang iaitu 7 sifat yang kita perlu pulangkan kembali kepada Allah S.W.T, Jangan sesekali merasa ini adalah sifat kita, kerja kita dan kebolehan kita. 

Pulangkan rasa wujud kita, Buatlah penyerahan secara sepenuhnya kepada Allah. Sifat Kehambaan itu Wajib ada pada diri kita, Sebab itulah kita tak boleh rasa sombong, riak, takabbur, dengan segala apa yang kita miliki, Kerana ini semua hanyalah pinjaman, Segalanya Milik Allah belaka. Kalau bukan sebab sifat qudrat yang dipinjamkan pada kita, Macam mana kita nak buat amal ibadah? Sebab itulah kita sahut seruan azan "Hayya alas Solah dan Hayya alal Falah" dengan menyebut Lahawla Wala Quwwata Illa billah (Tidak ada daya upayaku, Melainkan Allah). 

Jadi, mulai hari ini "Cermin Diri" masing-masing yang sentiasa leka, alpa dan lalai dengan duniawi, dengan kebolehan, kemahiran, kemampuan, kemewahan lain-lainnya.Adakah kita telah pulangkan apa yang kita pinjam pada jalan yang diredhai Allah. 

Maha Suci Allah Yang Maha Kaya tidak mengharapkan apa-apa balasan mahupun ganjaran atas apa yang dikurniakan ke atas makhluk ciptaanNya. Tiada siapa yang boleh mengatasi kekayaan Allah. Tiada siapa yang boleh mengatasi kehebatan Allah. Tiada siapa yang boleh mengatasi kasih dan sayang Allah.. Tiada siapa yang boleh mengatasi kebijaksanaan Allah S.W.T. Subhanallah.

Ingatlah saudaraku sekalian, Kita hanyalah HAMBA-NYA yang menumpang dan meminjam segalanya yang kita miliki dan berpijak di bumi ini. Kembalilah pada Allah dengan Menyatakan Kehambaan kita dan Rasa Bersyukur dengan segala Nikmat dan Kurnia dariNya. 

*Maafkan hamba jika ada kesilapan dan kekurangan dalam penulisan ini, Sesungguhnya yang Baik itu datang dari Allah dan yang Buruk itu dari hamba.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment