Wednesday, January 27, 2010

ADAKAH BENAR HANG TUAH MEMBUNUH HANG JEBAT?

Ketika Tuah difitnah melakukan zina, Sultan Melaka telah menjatuhkan hukuman bunuh kepadanya tanpa usul periksa. Namun beliau bertuah kerana diselamatkan dengan cara disembunyikan oleh Datuk Bendahara yang bijaksana. Mengikut qawaid, tersalah lepas lebih baik dari tersalah hukum. Mengingkari titah Sultan itu mudarat kecil. Membunuh jiwa yang tidak berdosa itu mudarat besar kerana berlawanan dengan Maqasid Syariah. Lagipula belum cukup syaratnya untuk hukuman itu dijalankan.

Namun orang ramai menyangka Tuah telah dibunuh. Maka mengamuklah Jebat sehingga Sultan sendiri lari meninggalkan istana. Tiada siapa yang mampu menghentikan Jebat melainkan Tuah sahaja. Ketika itu, barulah Sultan terkenangkan jasa Tuah selama ini. Setelah menyebut-nyebut nama Tuah tiga kali, maka Datuk Bendahara datang menghadap lalu menceritakan hal sebenar". Walau sebesar Gunung Qaf sekalipun dosa Tuah, beta akan ampunkan”, kata Sultan Melaka.

Maka Tuah dikeluarkan dari tempat persembunyian dengan keadaan yang amat lemah sekali. Sultan Melaka mengarahkan Tuah pergi membunuh Jebat yang diisytiharkan bughah. Maka pergilah Tuah ke Istana yang telah Sultan tinggalkan kerana dikuasai oleh Jebat. Dan mereka mendakwa, "Sesungguhnya Tuah telah membunuh Jebat, Sang Penderhaka". Manakan mungkin dua saudara akrab yang seperti adik beradik kandung yang tinggi ilmu agamanya dan bijak akalnya saling berbunuhan. 

Manakan boleh diterima akal mereka bertarung 3 hari 3 malam tanpa henti? Tanpa makan, Tanpa tidur, Tanpa solat ! Ketika pertelingkahan, para talibarut dan kroni sultan dan Patih Gajahmada asyik mengendap untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Tuah dan Jebat selalu berhenti sebentar untuk mencari akal. Perlawanan tersebut lebih kepada berlatih, maklumlah dah lama mereka tidak melakukannya.

Manakan mungkin Jebat melepaskan Taming Sari yang keramat itu hingga tercacak ke lelangit bumbung? Melainkan ianya secara sengaja. Padahal Tuah tidak melukainya dan tidak pula membunuhnya tetapi telah berpakat antara mereka suatu helah. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih mengenai pembunuhan Jebat, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak. Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya melainkan hanya mengikut sangkaan semata-mata.

Ketika Tuah sampai di Istana Melaka, maka terkejutlah Jebat kerana saudaranya itu masih hidup. Tuah memberitahu bahawa kedatangannya adalah atas perintah Sultan untuk membunuh Jebat yang diisytihar memberontak. Tetapi Jebat menyatakan dirinya melakukan sebegitu bagi menuntut keadilan. Maka Tuah pun masuklah ke dalam Istana itu seorang diri bertemu Jebat lalu saling bertikamlah mereka. 

Menurut riwayat, pertikaman itu berlangsung selama beberapa hari. Mereka hanya berhenti untuk mencari helah bagi mengalahkan lawan masing-masing. Hakikatnya, pada satu waktu mereka berhenti seketika itu, dua saudara tersebut saling bertanyakan dimana puncanya permasalahan ini terjadi.

Maka Jebat pun bentangkan ijtihadnya. Adapun yang dibunuh ketika Jebat mengamuk itu adalah para pedenki yang membuat fitnah bagi mengampu dan menghasut Sultan. Mereka lah punca kekacauan dan menjadi racun dalam Istana. Sultan pula telah menjatuhkan hukuman tanpa mengikut syarak. Maka, Raja Adil Raja Di Sembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah. Kemudian Jebat membaca perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. 

“Demang Lebar Daun menyatakan bahawa Raja tidak boleh mengaibkan rakyat jelata. Jika rakyat benar-benar bersalah sekalipun, hukumlah dengan mengikut Syarak. Sang Sapurba pula minta agar rakyat jelata perlulah tidak derhaka kepada Raja. Demang Lebar Daun pula menyatakan bahawa jika Raja-Raja yang mula mengkhianati perjanjian ini, maka rakyat jelata juga akan merubah perjanjian tersebut. Maka mereka pun mencapai persetujuan dengan bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Jikalau ada seorang Raja memberi aib seorang Rakyat MELAYU, alamatnya negeri baginda akan binasa.”

Maka Tuah pun bersetuju dengan ijtihad tersebut. Akhirnya mereka merancang dengan cara Jebat mencederakan jari kelingkingnya dengan keris sultan yang dibawa Tuah di dalam gulungan langsir dan Tuah berpura menyerang dengan Taming Sari yang telah bertukar tangan. Taming sari amat berbisa dan tidak wajar Jebat menggunakan keris tersebut untuk melukai jarinya, melainkan ia mesti bertukar tangan dengan Tuah. Jebat memekup perutnya dengan tangan kiri yang berlumuran darah dan mengikat dan merenjiskan darah tersebut di kain itu.

Dengan itu bolehlah jebat mengamuk 7 hari 7 malam membunuh hanya para kroni dan penderhaka kepada Tuah. Manakan wajar setelah ditikam dengan Tamingsari masih boleh mengamuk selama itu? Melainkan bukan tamingsari yang digunakan sebaliknya keris milik sultan Melaka dan luka hanya jari kelinking sahaja bagi menyimbah darah ke perut Jebat. Setelah habis mengamuk Jebat di katakan mati di rumah Tuah. Sultan menyangka Jebat telah mati di pangkuan Tuah, Sultan bertambah yakin apabila para pembesar yang masih hidup juga berkata sedemikian. Walhal tidak seorangpun melihat dengan kepala mata sendiri jasad Jebat yang kononnya telah dimandikan dan dikebumikan Tuah. 

Tuah dan Jebat ghaib selepas itu, Mereka berdua meninggalkan kota melaka yang dihilir itu menuju ke hulu Melaka, Langkawi letaknya, Selat melaka jalannya. Dengan identiti yang baru. Semua ahli keluarga mereka pulang ke Kedah dan tinggal di Pulau Melaka Langkawi. Dikatakan, Mahsuri adalah dari salur galur Hang Tuah. Mereka membawa bersama resepi makanan tradisi dan menamakannya sempena negeri Melaka. Umpamanya cabai melaka kerana orang melaka suka makan pedas, buah melaka, gula melaka dan lain² lagi.

Air dicincang tidak akan putus. Sesukar mana pun situasi yang dihadapi, pasti ada muslihat bagi menyelesaikannya. Istana mahukan Jebat dibunuh maka, Tuah membunuh nama Jebat. Perkara ini perlu dilakukan agar titah raja tetap keramat. Yang mati adalah nama Jebat, bukan semangatnya. Tuah terkenal dengan kebijaksanaannya dan dia telah berjaya menghadapi ujian paling hebat dalam hidupnya bila dititah membunuh saudaranya sendiri.

Jalan penyelesaian yang dilakukan Hang Tuah mencerminkan kehebatan MELAYU dalam persada kematangan ilmuan selain kehebatan persilatan. Silat bukan sahaja mementingkan kecerdasan tubuh fizikal malah mementingkan kebijaksanaan akal dan emosi.

Takkan MELAYU Hilang di Dunia

Perhatian: Tiada paksaan untuk percaya atay tidak, Ini hanya kajian sendiri melalui hikayat, kisah dan beberapa sumber lisan orang-orang tua. Maka digabungkan kesemuanya menjadi 1 kisah yanf menyangkal kisah kepercayaan kebanyakan orang Tuah bunuh Jebat. Apa yang saya dapat katakan ianya TIDAK BENAR SAMA SEKALI. saya tak kata saya yang betul dan tidak kata tidak betul. Ianya terpulang kepada setiap orang percaya atau tidak.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment