Wednesday, January 27, 2010

CIKGU SITI KALSOM ATAU IBU GAYONG

Allahyarhamah Siti Kalsom dilahirkan di Pulau Sudong pada tahun 1948. Beliau telah diserahkan oleh bapanya, Allahyarham Daeng Naning bin Ahmad kepada Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, yang ketika itu telah berpindah di Singapura untuk dipelihara. Sebelum daripada itu, iaitu semasa Siti Kalsom masih lagi di dalam kandungan ibunya, Allahyarhamah Puan Menah, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah bermimpi dan mendapat alamat daripada mimpinya itu. 

Dalam mimpinya, beliau telah didatangi oleh moyangnya Al-Marhum Daeng Kuning. Daeng Kuning telah memberitahu Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman supaya pergi mendapatkan isteri Naning dan meminta bayi yang bakal dilahirkan oleh isteri Naning tersebut untuk dijadikan anak angkatnya. Menurut Daeng Kuning, anak inilah yang akan setia mengikut beliau mengembangkan Silat Seni Gayong sehingga ke akhir hayat beliau. 

Pada keesokan harinya, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah berperahu ke Pulau Sudong untuk menemui Naning. Setibanya beliau di rumah Naning, isteri Naning memberitahu bahawa Naning telah keluar sebentar. Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah menanyakan isteri Naning sama ada benar beliau sedang mengandungkan seorang bayi. Puan Menah mengiyakan pertanyaan tersebut. 

Lalu Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman pun menyatakan hasratnya ingin mengambil bayi yang bakal lahir tersebut sebagai anak angkatnya untuk dipelihara (sebagaimana pesanan Daing Kuning), tanpa mengira apa jantinanya sekali pun. Tepat pada masanya, Puan Menah pun melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan Rokiah. Bayi ini kemudiannya telah diserahkan oleh Naning kepada Dato' Meor Abdul Rahman di Pulau Sudong yang kemudiannya dibawa pulang ke Singapura.

Naning adalah berketurunan Bugis. Bapanya Allahyarham Daeng Ahmad adalah anak kepada Allahyarham Daeng Ambok Solok, iaitu orang yang menurunkan ilmu Gayong kepada Al-Marhum Tuan Syed Zainal Al-Attas. Daeng Ahmad tinggal di sebuah pulau di dalam wilayah Indonesia (Pulau Temiang) sewaktu Indonesia diperintah oleh Belanda. 

Setelah berlaku suatu peristiwa, beliau telah melarikan diri akibat diburu oleh pemerintah Belanda. Beliau telah menggugurkan nama “Daeng" untuk mengelakkan daripada dikesan oleh penjajah Belanda. Siti Kalsom mula mempelajari Silat Seni Gayong ketika berumur 14 tahun (1962). Beliau mempelajarinya daripada ayahanda beliau sendiri, iaitu Dato' Meor Abdul Rahman di Woodlands, Singapura. 

Pada awalnya beliau kerap mengendap bapanya mengajar silat. Setiap malam beliau akan mengintai dari celah-celah lubang dinding gelanggang yang diperbuat daripada zink. Perlakuan beliau disedari oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Suatu hari ketika beliau sedang leka mengendap orang berlatih silat, beliau telah disimbah dengan air sehingga habis basah tubuh beliau. 

Namun hal ini tidak mematikan minat beliau. Suatu ketika beliau telah ditangkap oleh bapanya ketika beliau sedang sibuk mengintai. Dato’ Meor Abdul Rahman mengharapkan Siti Kalsom menumpukan perhatian kepada pelajaran di sekolah dan bukannya bersilat. Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertanya sama ada beliau benar-benar berminat untuk berlatih silat. Beliau mengangguk kegirangan.

Sejak itu Siti Kalsom telah berlatih silat bersama pelatih yang lain. Beliau telah diajar silat setiap masa sehingga pandai dan berkebolehan. Dalam waktu dua tahun sahaja beliau telah ditauliahkan sebagai gurulatih, iaitu ketika berumur 16 tahun.

Selepas Siti Nuraisyah meninggal dunia dalam usia yang muda (19 tahun), Siti Kalsom telah mengambil alih tugas membantu ayahandanya mengajar dan mengembangkan Silat Seni Gayong. Siti Fadzillah, kekandanya yang sulung tidak begitu serius di dalam latihan Silat Seni Gayong. Semasa menetap di Kota Sarang Semut pada tahun 1964, Siti Kalsom telah tinggal di asrama Pusat Latihan Silat Seni Gayong. Turut bersama beliau ialah Faridah binti Abu Johan (isteri Cikgu Ahmad Lazim), Norsiah, dan Enah binti Yaman (isteri Cikgu Abd. Majid Md. Isa). Cikgu Abdul Rahman Kadir pula sering menjadi rakan sepelatih Siti Kalsom.

Di Pusat Latihan Kota Sarang Semut, mereka mempelajari Seni Gayong tidak kira masa, baik siang ataupun malam. Mereka bekerja sambil belajar iaitu bekerja bertungkus-lumus membina gelanggang latihan di seluruh Kedah dan mempelajari Seni Gayong di pusat latihan. Mereka terpaksa bermain dengan lintah sawah dan bermain selut dalam usaha menyiapkan gelanggang latihan silat.

Pada kebiasaannya, setiap pagi Siti Kalsom dan rakan-rakan sepelatihnya yang lain akan diminta berlari sejauh tiga batu pergi atau balik. Dato' Meor Abdul Rahman akan menyusul dari belakang dengan menaiki kereta atau basikal. Dalam gelap pekat pagi itu kadang-kadang mereka telah terpijak ular kapak yang terdapat di sepanjang jalan yang mereka ikuti. 

Kemudian, apabila tiba di pusat latihan, mereka dikehendaki mengangkat besi angkat berat. Besi angkat berat tersebut akan diletak di atas bahu dan pelatih dikehendaki membuat gerakan turun-naik sebanyak 100 kali. Berkali-kali Dato’ Meor Abdul Rahman menekankan bahawa sebagai gurulatih, mereka perlulah sentiasa mempersiapkan diri. Antara pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang adalah waktu rehat. Pada waktu ini bolehlah mereka membuat pekerjaan lain seperti memasak dan mencuci pakaian.

Tepat jam 2.00 petang mereka dikehendaki menyambung semula latihan. Mereka dikehendaki mengangkat besi angkat berat, tetapi pada kali ini berat besi akan ditambah setiap kali cubaan mengangkatnya berjaya dilakukan. Jika tidak berdaya mengangkat, Dato’ Meor Abdul Rahman tidak akan membenarkan pelatih tersebut masuk ke dalam bilik untuk tidur. Pelatih akan disuruh tidur di tempat besi angkat berat sehinggalah mereka berjaya mengangkat besi tersebut kelak.

Kemudian mereka dikehendaki melakukan melakukan lompat arnab ("pumping") ke hadapan dan ke belakang sebanyak 1000 kali. Dato’ Meor telah menyediakan tujuh bilah rotan yang telah diikat menjadi satu (tujuh bilah satu ikatan) untuk memukul murid-murid yang tidak menurut arahan beliau. Dari segi lompatan harimau menghambur mangsa pula, mereka dipaksa melompat sehingga melepasi 16 orang yang sedang sujud. Mereka dipaksa melompat sehinggalah berjaya.

Semasa menjalani latihan silat mereka dikehendaki berlatih dengan bersungguh-sungguh dan dilarang sama sekali berpakat-pakat sesama pelatih. Mereka berlatih bersungguh-sungguh sehingga lebam seluruh anggota badan serta benjol di kepala. Siti Kalsom kerap disuruh berlatih dengan pelatih lelaki. Oleh kerana telah biasa bersilat dengan lelaki, Siti Kalsom sukar untuk menyesuaikan diri untuk bersilat dengan pelatih wanita, yang lebih lemah-lembut dan kurang lasak. Pernah suatu ketika beliau telah menolak berlatih dengan pelatih wanita. Akibatnya, Dato’ Meor Abdul Rahman telah membaling beliau dengan kasut kulit milik Dato' Mahaguru.

Dalam latihan Dato’ Meor Abdul Rahman sering mengingatkan pelatih agar berlatih bersungguh-sungguh. Pelajaran yang diperturunkan sering berupa petua-petua untuk menghadapi serangan lawan di samping buah penangkapnya. Pernah ketika membuat persembahan di hadapan Putera Akihito dan Puteri Michiko di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya pada 20 Februari, 1970 Siti Kalsom telah diminta mempersembahkan permainan seni keris. Beliau telah berpasangan dengan Cikgu Md.Khir Saad. 

Cikgu Md.Khir telah tertikam Siti Kalsom sehingga carik baju layang yang dipakai. Keris tersebut terus menuju ke perut Siti Kalsom. Mujurlah tiada apa-apa perkara buruk berlaku. Keris tersebut telah bengkok sebaik sahaja mencecah tubuh Siti Kalsom. Mungkin akibat terkena tepat pada tulang pinggul. Persembahan silat ini telah mendapat pujian daripada Putera Akihito. 

Putera Akihito telah mengundang beliau dan pasangan beliau untuk mengadakan persembahan di negara Jepun. Walau bagaimanapun, oleh kerana beliau pada masa itu masih memegang kewarganegaraan Singapura, beliau tidak terpilih mewakili Malaysia ke Ekspo Osaka’ 70. Tempat beliau telah digantikan oleh Cikgu Mustapa Kamal dan Cikgu Norsaii dari Selangor.

Menurut Siti Kalsom, pada zamannya dahulu latihan silat dibuat begitu bersungguh-sungguh sekali. Walaupun setiap senaman diulang sebanyak lima kali, tetapi mereka terpaksa melakukan pelbagai bentuk senaman.

Dato’ Meor Abdul Rahman sering mengingatkan Siti Kalsom, “Kalau bersilat Kalsom, kuda-kuda mesti kuat…” Dato’ Meor Abdul Rahman akan memijak kaki Siti Kalsom untuk menguji kekuatan kuda-kudanya. Siti Kalsom juga diminta meletakkan sebuah kerusi di hadapannya dan beliau dikehendaki melakukan gerakan sepak layang kanan dan kiri pergi balik sebanyak 1000 kali. Kata Dato’ Meor Abdul Rahman,"Kalau bersilat, tangan mesti kuat, kaki mesti kuat…”. Siti Kalsom juga dikehendaki menyangkutkan kaki pada tali dan kemudian tali tersebut ditarik ke bawah. Hal ini bertujuan untuk membolehkan sepakan tinggi paras kepala dilakukan.

Untuk kekuatan tangan, besi angkat berat digunakan (dumb-bell) di samping melakukan tekan tubi pada kerusi. Selain daripada ini, Siti Kalsom juga dikehendaki membeli kacang hijau dan kemenyan. Kemenyan akan ditumbuk dan dicampurkan dengan kacang hijau. Kemudian Siti Kalsom dikehendaki menikam campuran kacang hijau-kemenyan dengan jejari tangannya. 

Setelah itu tangan akan dicuci dengan air suam yang bercampur garam. Ini dilakukan untuk mengeraskan tangan supaya mampu memecahkan batu genting dengan mudah. Batu genting untuk latihan adalah dibuat sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Dato’ Meor Abdul Rahman akan meminta supaya dilebihkan simen semasa menyediakan batu genting tersebut supaya batu genting tersebut menjadi lebih keras daripada batu yang dibeli di kedai.

Selain daripada itu, Siti Kalsom juga dikehendaki melakukan senaman tali skipping, juga sebanyak 100 kali. Dalam latihan buah tangkapan kunci mati, masa akan diambil untuk menentukan berapa lama kuncian dapat disempurnakan. Pada jam 4.00 petang, sesi pertama latihan akan berakhir. Mulai jam 4.00 petang hinggalah ke jam 11.00 malam sesi kedua latihan akan bermula, biasanya oleh pelatih yang lain.

Latihan-latihan yang berat setiap hari pada mulanya dirasakan amat berat sehingga membuatkan hati Siti Kalsom meronta-ronta ingin pulang sahaja ke Singapura dan tinggal dengan bondanya, Datin Faridah. Pada kebiasaannya, Siti Kalsom ditugaskan menguruskan pakaian dan membawa beg Dato’ Meor Abdul Rahman apabila Dato’ Meor Abdul Rahman melawat ke satu-satu tempat. Beliau pernah dimaki oleh ayahandanya apabila cermin mata ayahandanya tertinggal di rumah. Beliau telah disuruh berpatah balik ke rumah untuk mengambilnya.

Pada setiap kali diadakan pertunjukan silat, pakaian silat beliau pasti akan diminta oleh orang ramai sebagai tanda kenang-kenangan. Siti Kalsom pernah mengadakan persembahan silat pada jam 2.00 pagi ketika berada di Pahang, dengan bersuluhkan lampu gasolin. Menurut Siti Kalsom, ayahandanya Dato' Meor Abdul Rahman memang seorang yang garang dan bengis kerana berketurunan Bugis, tetapi garangnya adalah bertempat. 

Sewaktu mesyuarat agung Gayong diadakan di rumah Dato' Mahaguru suatu ketika dahulu, Dato' Meor Abdul Rahman akan meletakkan senjata sundang dan parang panjang di atas meja mesyuarat sebagai persediaan supaya mesyuarat dapat berjalan lancar. Kerana pada kebiasaannya, sewaktu mesyuarat berlangsung, terjadi pertikaman lidah dan percakaran sesama ahli jawatan kuasa. Jika pertikaman lidah menjadi semakin hangat, Dato' Meor Abdul Rahman yang bertindak sebagai pengerusi akan bertempik menghentak meja sambil menyuruh semuanya bertenang. Dato' Meor Abdul Rahman juga akan bangun menengking jika ada yang tidak kena pada pandangannya dalam mesyuarat tersebut. 

Pernah suatu ketika, Dato' Meor Abdul Rahman telah mengeluarkan sundangnya apabila keadaan mesyuarat menjadi semakin gawat. Siti Kalsom pernah menegur tentang perlakuan Dato' Meor Abdul Rahman yang gemar membawa senjata sundang dan parang panjang sewaktu mempengerusikan mesyuarat. Tetapi menurut Dato' Meor Abdul Rahman, hal tersebut terpaksa dilakukannya kerana beliau tidak mahu anak-anak Gayong saling bertelagah dan anak-anak Gayong perlulah memandang Mahaguru sebagai lambang perpaduan.

Dato' Meor Abdul Rahman walaupun bersikap garang terhadap murid-muridnya, tetapi beliau sangat sukakan binatang liar yang ganas dan garang seperti ular sawa dan harimau. Di rumah beliau terdapat haiwan-haiwan liar seperti ular sawa, harimau kumbang, beruang dan sebagainya yang dipelihara di dalam sangkar. Haiwan-haiwan berkenaan diperoleh sewaktu dalam perjalanan mengembangkan Gayong di seluruh negara. 

Dato' Meor Abdul Rahman akan mengusap-usap haiwan liar peliharaannya tersebut. Menurut Siti Kalsom, sewaktu pulang dari Kuala Lumpur, seekor ular sawa telah melintasi jalan dan menghalang laluan kenderaan yang mereka naiki. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap ular tersebut lalu disimpan di dalam tempat letak barang kereta. Semasa berada di Wisma Belia di Kuala Lumpur, seekor ular sawa telah masuk ke dalam kereta yang mereka naiki (melalui tingkap yang terbuka). 

Sebaik sahaja majlis di Wisma Belia selesai, Siti Kalsom telah memasuki kereta. Oleh kerana hari telah jauh malam dan keadaan di dalam kereta agak gelap, Siti Kalsom bersama beberapa orang anggota rombongan tidak menyedari kehadiran ular sawa tersebut. Tiba-tiba Siti Kalsom terhidu bau yang sangat hanyir di dalam kereta. Apabila diperiksa, didapati kakinya terpijak di atas seekor ular sawa yang besar dan panjang. Apalagi bertempiaranlah semua yang berada di dalam kereta tersebut keluar menyelamatkan diri. 

Dato' Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kegagahannya menangkap ular sawa tersebut. Walaupun badan beliau telah dibelit oleh ular sawa tersebut, Dato' Meor Abdul Rahman berjaya menumpaskan ular tersebut. Beberapa orang anggota polis telah datang ke tempat kejadian dan ingin menembak ular berkenaan tetapi dihalang oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Ular tersebut telah dibubuh ke dalam guni dan dibawa pulang ke Taiping. Di Taiping ular tersebut telah disimpan di dalam kandang kaca.

Sepanjang pembabitannya dalam Silat Seni Gayong, beliau pernah ditawarkan untuk menjadi anggota tentera berpangkat leftenan muda, juga anggota polis berpangkat inspektor pada awal tahun 1970-an iaitu sewaktu Silat Seni Gayong mula diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM, di mana beliau salah seorang daripada gurulatih yang bertindak mengajar anggota tentera dan polis tersebut. 

Namun demi cintanya kepada Silat Seni Gayong, serta atas permintaan Dato' Mahaguru, beliau telah menolak tawaran tersebut dengan baik. Beliau juga pernah dilamar oleh Raja Muda Perak ketika itu, tetapi memandangkan khidmatnya dalam Gayong amat sangat diperlukan, beliau sekali lagi terpaksa menolak "tuah "tersebut, demi pengembangan Silat Seni Gayong.

Dalam tahun 1971, Siti Kalsom telah diarahkan oleh Dato' Meor Abdul Rahman untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada 100 orang anggota tentera yang datang dari seluruh negara. Selama enam bulan Siti Kalsom telah menumpukan perhatian mengajar anggota tentera tersebut. Beliau mengajar dari atas pentas khas dan beliau akan menunjukkan gerak-geri silat untuk diikuti oleh anggota tentera yang lain di bawah pentas. 

Mengenang kembali saat beliau mengajar anggota tentera tersebut, beliau pernah cuba diusik oleh anggota tentera dari Unit Komando. Mereka telah mengenyit-ngenyit mata kepadanya sewaktu Siti Kalsom sedang mengajar silat. Disebabkan ketegasan Siti Kalsom di gelanggang, akhirnya anggota tentera tersebut telah dihukum dengan dikenakan denda berlari keliling padang sambil memikul guni berisi pasir. 

Sewaktu keluar ke pekan Taiping, jika anggota-anggota tentera berkenaan terserempak dengan Siti Kalsom, mereka akan terlebih dahulu melencong ke arah lain agar tidak bertembung dengan Siti Kalsom. Menurut Siti Kalsom, disiplin perlu dikekalkan supaya guru tetap dihormati oleh murid. Walau bagaimanapun, selepas upacara tamat, suatu jamuan diadakan dan di sini majlis tari-menari akan diadakan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk menari dengan Siti Kalsom.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Ahamad bin Ayazi pada tahun 1978 dan dikurniakan seramai enam orang cahayamata. Antara amanat ayahandanya, Dato' Meor Abdul Rahman yang masih terngiang-ngiang di dalam fikirannya ialah pesanan ayahandanya agar menjaga Gayong dengan sebaik-baiknya.

"Ayah turunkan kamu semua pelajaran Gayong. Ayah mahu kamu ganti tempat ayah…"

"Jagalah Gayong ini baik-baik kerana hanya Gayong ini sahaja yang dapat mempertahankan negara…"

"Menurut firasat ayah, akan berlaku suatu peristiwa yang lebih dahsyat daripada Peristiwa 13 Mei 1969, kamu bergeraklah, tubuhlah Gayong di seluruh negara. Suruh anak-anak belajar silat supaya tidak mati katak begitu sahaja, kalau terjadi apa-apa, benteng yang kuat adalah Gayong..."

"Daripada kecil sampai ke besar, ajar mereka bersilat. Inilah satu-satunya ayah tinggalkan pada bangsa ayah..."

"Kalau ayah ingat ayah nak jadi jutawan, usahawan yang paling disegani, ayah boleh buat tetapi darah ayah, semangat ayah adalah untuk bangsa..."

Sejurus selepas pemergian ayahandanya ke Rahmatullah pada bulan Jun tahun 1991, beliau telah dilantik sebagai Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau, untuk meneruskan warisan peninggalan ayahandanya yang tercinta tersebut.

Bissirril Al-Fatihah. Allahyarhamah Siti Kalsom Naning Ahmad (1948-2007)

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment