Umum mengetahui negara kita antara lokasi yang menjadi medan peperangan ketika Perang Dunia Kedua. Malah negara kita menjadi antara lokasi pertama berlaku pertempuran menandakan bermulanya Kempen Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1941 yang melibatkan Kuasa Paksi dan Kuasa Berikat.
Kuasa Paksi adalah gabungan kuasa ketenteraan melibatkan Jerman, Itali dan Jepun. Makanaka Kuasa Berikat pula terdiri British, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain.
Tanah MELAYU menjadi pilihan Jepun disebabkan dasar Asia Raya yang dilaungkan oleh Jepun, yakni Asia Untuk Orang Asia. Jepun berusaha membebaskan negara-negara di Asia daripada penjajahan Barat. Tanah MELAYU yang berada di tangan British mesti diberi keutamaan untuk dibebaskan. Tambahan, British adalah pihak lawan dalam Pihak Berikat.
Negara Thailand yang tidak dijajah oleh mana-mana kuasa tidak diserang oleh Jepun. Sebab lain, Thailand memberi kerjasama membenarkan kawasan negaranya dijadikan laluan untuk Jepun menyerang Tanah MELAYU.
Tentera Jepun mendarat di Patani dan Singgora (Songkala) di Selatan Thailand, sebelum mara menyerang ke utara Tanah MELAYU meliputi Perlis dan Kedah, seterusnya bergerak ke selatan.
Manakala itu, negeri Kelantan tercatat dalam sejarah sebagai tempat pertama meletusnya Perang Dunia Kedua di negara kita, bahkan juga di dunia. Pertempuran di Kelantan adalah kira-kira 95 minit lebih awal daripada pertempuran di pengkalan angkatan laut Amerika Syarikat di Pasifik, iaitu Pengkalan Pearl Harbour di Kepulauan Hawai.
Kenyataan menyatakan Pearl Harbour terlebih dahulu dibom berbanding Kota Bharu ada berdasarkan waktu tempatan di sana, iaitu 8.00 pagi pada 7 Disember 1941. Sedangkan sebenarnya jika waktu itu “disamakan”, peperangan yang meletus di Kota Bharu adalah lebih awal.
Pantai Pak Amat atau kini lebih dikenali Pantai Sabak dan sekitar kawasan Pulau Panjang merupakan tempat pertama pendaratan tentera Jepun di Tanah MELAYU dan menjadi medan pertempuran yang amat dahsyat.
Tentera Jepun mula menyerang dan mendarat di Pantai Sabak pada 8 Disember 1941, kira-kira jam pukul 1.15 pagi. Seramai 5,300 orang tentera Jepun yang dikenali Detasemen Takumi yang dipimpin Mejer Jeneral Takumi terlibat dalam serangan tersebut.
Detasemen tersebut terdiri Rejimen Ke 56 Infantri, satu bateri meriam, dua laras meriam tembak cepat, satu bateri meriam anti pesawat, satu kompeni jurutera, satu seksyen semboyan dan satu seksyen bantuan perubatan. Detasemen tersebut turut dilengkapkan dengan satu hospital medan.
Detasemen Takumi adalah sebahagian kekuatan daripada Ketumbukan ke 25 pimpinan Leftenan Jeneral Yamashita yang dipertanggungjawabkan untuk menakluki Malaya.
Anggota ketumbukan tersebut menaiki kapal perang Awagisu Meru, Ayatosan Meru dan Sakura Meru dengan diiringi oleh empat buah kapal lain. Ketika kapal-kapal tersebut berada kira-kira dua kilometer menghampiri pantai, telah ditembak oleh meriam dan kapal terbang perang tentera British sehingga musnah.
Ketika kapal mereka hampir tengelam, sebahagian tentera telah berjaya diturunkan menaiki bot-bot kecil. Selebihnya terpaksa terjun ke laut dan berusaha berenang ke pantai. Pun begitu, mereka telah dibekalkan dengan pelampung getah.
Pendaratan tentera Jepun telah ditentang hebat oleh tentera British berketurunan Punjab yang berada dalam kubu kebal di tepi pantai. Tentera Jepun terpaksa membina kubu sementara dengan menggali pasir pantai menggunakan tangan hingga paras bahu. Pergerakan agak terbatas kerana waktu malam yang gelap.
Jadi, tentera Jepun terpaksa menghentikan sementara pergerakan menuju ke darat, menunggu waktu siang. Selain halangan tembakan, serangan tentera Jepun berhadapan rintangan kawat berduri dan periuk api yang dipasang tentera British. Banyak tentera Jepun terkorban akibat letupan periuk api di sepanjang kawasan pantai.
Pertempuran di tepi pantai berlangsung sepanjang hari mengakibatkan seramai 320 orang tentera Jepun terbunuh dan 538 orang lagi mengalami kecederaan. Bagaimanapun, tentera Jepun memperoleh kejayaan besar mendarat di situ.
Pendaratan di Pulau Panjang dan Pantai Pak Amat adalah bertujuan memudahkan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang menjadi pengkalan pertahanan udara utama tentera British. Banyak pesawat tempur British ditempatkan di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.
Pemilihan itu dilakukan hasil intipan yang dilakukan oleh Kolonel Masanobu Tsuji sebanyak dua kali menggunakan kapal terbang. Kolonel Masanobu Tsuji dalam laporannya kepada pihak atasan tentera Jepun menegaskan,
“Nampaknya pengkalan udara di Kota Bharu (Lapangan Terbang di Pengkalan Chepa) itulah pihak British tidak ragu lagi dapat mengancam kawasan Singgora, dan kapal-kapal terbang British adalah berjaga-jaga serta bersedia dengan serta merta menyerang pasukan yang mencuba hendak mendarat di Singgora dan Patani. Saya berpendapat jika sekiranya British menggunakan pengkalan udaranya di Kota Bharu dengan sebaik-baiknya, pendaratan (oleh tentera Jepun) di Singgora tidak dapat dilakukan. Oleh sebab itu kita (Jepun) mesti menawan Kota Bharu serentak dengan pendaratan kita di Singgora dan di Patani.”
Setelah mendarat, tentera Jepun terus mara dan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sabak pada pukul 8.00 malam, iaitu kira-kira tujuh jam 45 minit selepas mendarat.
Bandar Kota Bharu pula berjaya ditawan pada pukul 2.00 petang keesokan harinya. Sebelum berjaya menawan Kota Bharu, tentera Jepun terpaksa berdepan dengan tentangan hebat tentera British yang mempertahanan di sepanjang Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Padang Garong.
Setelah menguasai Kota Bharu, tentera Jepun terus mara ke selatan dan sedikit demi sedikit terus menguasai Tanah MELAYU hingga ke Johor Bharu pada 31 Januari 1942, iaitu selepas 54 hari mendarat di Kelantan.
Pergerakan tentera Jepun dari satu kawasan ke kawasan ke selatan mengguna basikal. Penggunaan basikal lebih mudah walaupun kebanyakan jambatan telah dibom oleh tentera British ketika proses berundur ke selatan.
Tentera Jepun berjaya mendarat di Singapura pada 8 Febuari 1942 untuk mengalahkan tentera British yang masih bertahan di pulau tersebut. Kisah keberanian Leftenan Adnan menentang tentera Jepun di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura adalah antara pertempuran terakhir sebelum British secara rasmi menyerah kalah.
Pada 15 Febuari 1942, Komandan tentera British, Leftenan Jeneral A.E. Percival secara rasmi mengaku kalah kepada Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Ini bermakna seluruh Tanah MELAYU, termasuk Singapura yang sebelum itu dikuasai British jatuh ke tangan tentera Jepun dalam misi peperangan selama 70 hari.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment