Al-Marhum Demang Lehman adalah seorang Panglima perang dalam Perang Banjar- Perang penentangan pihak belanda pada Era Sultan Hidayatullah ll di Kalimantan. Beliau lahir di Martapura pada tahun 1832 dan meninggal pada 27 Feb1864 di Martapura juga.
Beliau seorang panglima yang sangat setia kepada Sultan. Walaupun Belanda menawarkannya bermacam tawaran tetapi beliau tetap berkeras agar penjajah Belanda membawa kembali Sultan Hidayatullah II yang telah dibuang ke tanah Jawa untuk kembali memerintah di Martapura Kalimantan untuk Kesultanan Banjar. Tetapi oleh kerana pihak Belanda tidak bersetuju maka Panglima Demang bertekad akan terus berjuang sehingga mati untuk mengusir Belanda.
Pengkhianatan bermula apabila Syarif Hamid menerima tawaran pihak Belanda untuk berkerja sama menangkap Para Pahlawan dalam perang Banjar. Ketika itu Demang Lehman adalah pejuang yang paling ditakuti dan di kehendaki oleh penjajah Belanda. Syarif Hamid berjanji untuk memberikan kerjasama bagi menangkap Pejuang Banjar iaitu Panglima Demang Lehman, iaitu orang kepercayaan DYMM Baginda Sultan Hidayatullah II.
Sebelum kita mulakan cerita pengkhianatan, Siapa sebenarnya Syarif Hamid yang sanggup membelot dan berjuang bersama pihak Belanda. Beliau adalah Pangeran Syarif Hamid seorang Bangsawan Keturunan Arab. Beliau berasal dari Batavia (Jakarta sekarang) dan menetap di Kalimantan. Gelaran Pangeran yang di sandangnya, bukanlah dari keturunan Kesultanan Banjar. Tetapi gelaran itu diberikan oleh Penjajah Belanda dan beliau diangkat menjadi Raja yang tetap di Batoe Litjin (Batulicin) Tanah Boemboe selepas beliau membantu penjajah Belanda menangkap Panglima Demang Lehman.
Pengkhianatan ini berlaku pada akhir bulan Januari iaitu pada 25hb 1864. Si pengkhianat Syarif Hamid bersama 30 orang anak buahnya mudik ke hulu sungai Selilau Batulicin untuk menemui orang yang dipenjara yang mana mereka itu berasal dari Tanah Jawa dan dihukum penjara di Hulu sungai tersebut. Syarif Hamid berjanji kepada mereka, jika mereka membantu menangkap Panglima Demang Lehman maka mereka akan dibebaskan dari hukuman.
Selepas mereka bersetuju, maka Syarif Hamid bersama mereka semua bergerak menuju ke Gunung Lintang dan Gunung Panjang untuk meninjau dan mengintip tempat persembunyian Panglima Demang Lehman yang dikatakan sedang berada di sekitar gunung tersebut. Tidak lama kemudian mereka bertemu dengan 3 orang Suku Dayak Pendalaman Bersama seorang ketuanya. Lalu mereka bertanya kepada ketua orang dayak itu dimana lokasi persembunyian Panglima Demang Lehman.
Ketua dayak itu berkeras mengatakan tidak tahu dan akhirnya dia terpaksa buka mulut apabila Syarif Hamid mengancam untuk membunuh 3 orang dayak itu. Lalu diberitahu bahawa tempat persembunyian Panglima Demang Lehman bersama Temenggong Ariapati dan 4 orang rakan seperjuangan adalah di Guha (Gua) Gunung Pangkal.
Syarif Hamid memaksa ketua dayak itu pergi ke Gunung Pangkal dan berpura-pura menolong dan mengajak Panglima Demang Lehman dan rakan seperjuangannya untuk turun tinggal di rumahnya sahaja. Panglima Demang Lehman ketika itu yang kekurangan bekalan makanan hanya bersangka baik dan menerima pelawaan ketua dayak itu.
Maka turunlah Panglima Demang bersama rakan seperjuangannya dan menuju ke rumah orang dayak itu, Mereka dilayan dengan baik dan dijamukan berbagai makanan. Sementara 3 orang dayak yang lain dijadikan tebusan oleh Syarif Hamid untuk memastikan orang dayak itu tidak pecah rahsia. Ketua dayak itu terpaksa menuruti kerana tidak mahu anak buahnya dibunuh.
Dan menjelang malam itu, Panglima Demang Lehman tidur begitu nyenyak kerana keletihan bersembunyi di hutan tanpa bekalan makanan. Keris dan tombak pusakanya senyap-senyap di curi orang suruhan Syarif Hamid dan ketua dayak itu. Keris dan Tombak pusaka tersebut adalah pemberian DYMM Baginda Sultan Hidayatullah II (Keris Aji Singkir dan Tombak Kalibelah) kepada beliau untuk berjuang.
Menjelang waktu subuh Panglima Demang Lemhman bangun untuk menunaikan solat. Alangkah cemasnya beliau kerana menyedari Keris dan Tombak pusakanya hilang. Demang Lehmang memanggil orang dayak itu dan bertanyakan mengenai keris dan tombaknya. Ketua dayak itu memberi bermacam alasan dan berjanji akan mencarinya sementara menunggu Panglima Demang Lehman selesai menunaikan solat.
Habis saja menunaikan solat subuh, alangkah terkejutnya Panglima Demang melihat puluhan orang bersenjata mengepung. Panglima Demang bingkas meluru ke arah mereka tanpa bersenjata dan sempat membunuh hampir separuh dari semua pengkhianat itu sebelum beliau ditangkap dan berjaya diikat. Panglima Demang sempat meminta untuk mereka membunuhnya dan dibiarkan di situ kerana beliau lebih sanggup mati di tangan mereka sendiri daripada dihukum dan dibunuh oleh pihak penjajah.
Namun pasukan pimpinan Syarif Hamid tetap membawanya hidup-hidup untuk mendapatkan ganjaran yang di janjikan oleh penjajah Belanda. Atas keberhasilan menangkap Panglima Demang Lehman, Syarif Hamid di angkat oleh Belanda sebagai Raja di Swapraja Batulicin yang merupakan sebahagian dari Afedling Paser en De Tanah Boemboe. Ia memerintah di sana dari tahun 1866 sehingga 1883.
Dan akhirnya pada 25 Feb 1864, Panglima Demang Lehman digantung hukum sampai mati. Ketika beliau digantung urat dan air mukanya langsung tidak berubah sedikit pun sehingga dia mati. Pihak Belanda yang menyaksikan hukuman itu merasa khuatir mengenai hal ini lantas mengambil keputusan untuk memenggal kepala Panglima itu dan membawa kepalanya balik ke Belanda, sementara tubuhnya ditanam di Martapura. Khabarnya kepala Panglima Demang Lehman sehingga hari ini masih ada di Muzium Leiden Belanda.
Sungguh diri ini kagum dengan semangat juang para Panglima Perang terdahulu demi mempertahankan Raja, Bangsa dan Tanah Air. Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Panglima Demang Lehman berserta para pejuang yang syahid menentang penjajah di Nusantara.
*Gambar di atas adalah Panglima Demang ketika telah ditangkap serta diikat dan dibawakan ke pihak Belanda. Cuba Perhatikan air muka beliau sedikit pun tidak merasa gentar, saya berasa begitu sebak dan geram terhadap semua pembelot yang membantu penjajah suatu ketika dahulu untuk membunuh bangsanya sendiri.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment