Jika keris menjadi senjata pendekar MELAYU, pastinya dipenuhi ‘isi permainan’ dan penuh berahsia. Dalam dunia persilatan, seseorang yang tahu berseni keris akan tahu ‘bisa keris’ di tangan. Orang-orang dahulu (para pesilat lama) menyimpan keris kerana mereka tahu berseni keris dan tidak menjualnya. Setiap keris lama ada cerita, rahsia, dan adat tersendiri yang bukannya dibuat sesuka hati.
Oleh itu, permainan keris dalam silat perlu ditunjangi gerak seni yang diperkukuhkan dengan unsur-unsur keunikan, kehalusan, kekuatan, dan keberkesanan gerak permainannya. Gabungan ‘keharmonian’ minda pesilat, gerak rasa yang mendalam turut memainkan peranan yang penting agar permainan seni keris itu benar-benar ‘hidup’.
Gaya memegang keris perlu difahami terutama kepada para pesilat atau seseorang yang sedang mempelajari ‘ilmu berkeris’ agar tidak tersilap langkah yang boleh menyebabkan keris memakan tuannya kembali.
.
Mata keris sentiasa menghadap ke hadapan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap musuh setiap masa. Genggaman keris yang betul akan mempermudahkan keris digunakan oleh pesilat untuk menikam mangsa.
Gerak-geri seni berkeris dapat dirasai apabila gerakan menghunus, menolak, dan menikam ditunjangi kekuatan dan ‘gerak rasa’ daripada belakang tangan. Ibu jari menjadi kunci utama pergerakan ‘menggelek keris’ (setelah keris ditusuk ke dalam badan). Manakala jari petunjuk memainkan fungsi utama mengeluarkan keris daripada sasaran.
Dalam ilmu persilatan, hal ini diistilahkan ‘gerak dengan petua, pegang berasa’ kerana langkah musuh pun berahsia. Begitulah kepentingan berilmu yang perlu dipelajari dan difahami oleh pengamalnya. Apabila gerak sudah ada petua, petua pula bersama seni. Semasa menikam, musuh sukar untuk mengelakkan diri walau ke kanan, ke kiri, ke luar, dan ke dalam kerana setiap pergerakan lawan bakal menerima musibah dan tindak balas di luar jangkaannya. Bak kata-kata lama orang tua, “hendak cuit telinga, bagaimana dicuba elak sekalipun, tetap dicuit atau tercuit”.
Dari sudut sifat orang MELAYU melalui cara memegang keris, genggaman tangan dengan ibu jari ke hadapan dan empat jari yang lain digenggam ke dalam telapak tangan menunjukkan orang MELAYU yang mempunyai sifat rendah diri, menghormati, dan beradab sopan. Namun, dalam kelembutan sifat orang MELAYU itu tertera ketegasan, keberanian, dan kewaspadaan sepanjang masa.
.
Hal ini dibuktikan dengan senjata keris itu menjadi simbol sifat-sifat tadi. Jelaslah, bahawa cara genggaman keris merupakan simbol kepada sifat orang MELAYU yang bersopan-santun dan berlemah-lembut. Manakala keris menjadi simbol pada keberanian, kehebatan, dan kekuatan bangsa MELAYU.
Cara mengeluarkan keris pendekar MELAYU pula mempunyai sedikit perbezaan dengan cara gaya penjurit (pesilat) Jawa. Menurut O’ong Maryono (penulis Indonesia), selepas keris dikeluarkan senjata itu dibawa ke hadapan dan dikucup. Penjurit (pesilat) Jawa pula akan membawa mesej melalui pergerakan tadi iaitu “Ia milikku dan hakku”. Bagi pendekar semenanjung pula, keris yang telah dikeluarkan daripada sarung akan ditunjukkan ke hadapan sebagai menyatakan “Ini Keris. Keris digenggamanku”.
Seterusnya, setelah dikucup dengan mesej yang disampaikan, penjurit (pesilat) Jawa akan mendekatkan keris itu ke ulu hatinya. Perbuatan ini untuk mendapat resapan makhluk halus ke dalam tubuh ‘si pemakai’. Berbeza dengan pendekar MELAYU, keris yang telah dikucup akan dibawa ke hadapan semula dengan lafaz hati “Semua ini milik Allah”. Bagi pahlawan Jawa, keris ialah senjata terakhir sekiranya senjata-senjata lain seperti lembing dan parang tiada lagi dalam genggaman.
Keris bagi pahlawan Kepulauan Indonesia ini dianggap suci dan keramat. Apabila dicabut, ia dianggap harapan terakhir ‘si pemakai’ dan rohaninya akan bercantum dengan dunia mistik (makhluk halus). Pastinya cara ini bertentangan dengan budaya, fikiran, dan pegangan bangsa MELAYU yang berlandaskan ajaran-ajaran Islam. Pesilat juga harus memahami pantang larang ‘bertari keris’. Setelah keris dihunus keluar, pantang bagi seseorang pesilat mengadapkan mata keris pada diri sendiri. Hal ini ditakuti senjata tadi boleh memakan tuannya kembali.
Hujung mata keris juga jangan melintasi tangan di sebelah. Kelak, musibah yang sama bakal berlaku kepada diri pesilat. Kedua-dua pantang larang ini untuk mengelakkan pesilat daripada melakukan kesilapan gerak tari dan pencak seni yang boleh memberikan mudarat. Sarung keris ditegah untuk ditinggalkan ataupun diletakkan di tempat yang lain semasa berpencak. Sarung keris haruslah disisip di pinggang atau dipegang kerana sarung juga merupakan senjata yang menjadi penahan atau penangkis serangan-serangan musuh.
Jika seseorang pesilat mampu ‘mencuri’ sarung keris milik lawannya, ia telah dianggap satu ‘kemenangan’ bagi pihaknya dan bebanan kesusahan untuk lawannya.Keris turut boleh ‘bergaya’ atau ‘bermain’ seperti senjata-senjata MELAYU yang lain. Bagi orang-orang lama (pesilat-pesilat tua), tunjang seseorang pendekar dapat menguasai kemahiran permainan senjata-senjata MELAYU yang lain ialah setelah berjaya menguasai ilmu keris.
Disebabkan itulah, seseorang pesilat dapat membayangkan dirinya memegang senjata-senjata lain seperti parang, lembing, pisau, belati, seligi dan mudah menguasai permainan senjata-senjata ini. Permainan ‘hak’ atau ‘persalinan’ bermula ‘sembah guru’ (menghormati orang di hadapan, membawa mesej agar berwaspada) mesti mempunyai kesepaduan ibarat tali yang utuh iaitu tapak (tapak sedia, tapak MELAYU, tapak panglima), jual beli (buka ruang, umpan sasaran), pencak (gerakan tangkisan, pukulan), seni (kuncian, membinasa, hukuman), langkah kaki, dan gerak mata perlu bersatu.
Kaedah gerak perlu dirasa dan dihayati sedalamnya agar rentak dan tari keris ‘bernyawa’. ‘Nyawa’ keris terletak pada kesepaduan tadi yang menjadikan seni sebagai ‘roh’ atau ‘batinnya’. Namun, seni permainan keris bukan mudah untuk dihuraikan. Perkara itu bertumpu kepada ‘rasa’ si pemakai dan’pakaian silatnya’.."Kaedah-kaedah biasa dalam ‘bertari keris’ ialah cara kedudukan berdiri.
Jika seseorang pesilat tidak berpusat dengan betul pada tapak sedianya, boleh membuatkan pemegang keris jatuh tergolek apabila melangkah sedikit laju. Pergerakan ‘ambil angin’ ialah langkah awal seseorang pesilat menggerakkan pencak permainannya. Keris yang ada dalam genggaman akan bergerak atau ‘dihidupkan’ untuk menanti musuh. Setelah sasaran diketahui dan didapati, serangan secara menghunus atau menikam menjadi penggerak ‘niat’ pemegang keris itu.
Hirisan dan putaran keris melengkapkan ‘niat’ tadi. Lok keris membantu mengoyakkan kulit.Bilah pula merobek isi badan. Mata keris dapat membuatkan mangsa putus urat hingga terhiris tulang. Manakala menarik keris keluar membawa mesej ‘kepuasan’ si pemegangnya dengan isi daging musuh turut dibawa keluar. Begitulah ‘bisa keris’. Makan apabila lapar. Berhenti setelah kenyang.
Gerakan-gerakan ini bukan sahaja dapat dirasai dan dihayati oleh pengamalnya, malahan dalam kisah Wali Songo yang ditulis oleh Kiai Sidek Maulashah Marikan (Mahaguru Silat Cindai Putih) mengenai As-Syeh Sunan Kudus (Majalah Seni Bela Diri 2001: 37) turut menggambarkan situasi berikut berdasarkan ayat, “Maka ditusukkan siku Ki Ageng dengan hujung keris tersebut. Ki Ageng langsung mati…”.
Jika diamati dengan lebih teliti gerakan serangan dan tikaman keris umpama pergerakan-pergerakan unsur alam. Hirisan dan putaran mata keris diibaratkan kocakan dan pusaran air. Hentakan hulu keris atau sarungnya umpama pergerakan pohon yang tumbang.
Tikaman keris (hukuman) seolah-olah gerakan halilintar di langit. Malahan, badan-badan keris juga diibaratkan anggota-anggota badan manusia. Mata keris yang berfungsi untuk menikam, menghiris, merobek, merodok, mencucuk, melibas, dan menusuk sama fungsinya dengan tangan yang boleh mencengkam, merobek, menetak, menusuk, melibas.
Hulu keris pula berfungsi menghentak, menuku, mengaut, mengait. Peranan hulu keris pula seperti siku yang mampu menghentak, menuku, menyigung, dan mengepit. Manakala sarung keris yang berperanan mengalih, menekan, menghentak, menolak, dan menangkis sama seperti peranan lengan manusia untuk mengalih, menekan, menangkis dan menolak.
Setiap gerak keris ‘bertutur’, keris pula ‘bercerita’. Apabila langkah dipasang, gerak ‘bertutur kata’ ; “Hak ini hak Allah, gerakku, kudratku dari kuasa-Nya."Cara gaya pendekar berkeris ada madahnya, “Musuh menanti bakal disambut, datang berpusu bakal ditusuk. Namun yang menikam bukan tanganku, tapi gerak takdir sebagai penentu.”
Segala pergerakan permainan keris yang disamakan dengan unsur-unsur alam serta ‘cerita dan madah’ berkeris memperlihatkan kreativiti, daya imaginasi, manifestasi serta kejiwaan bangsa MELAYU yang begitu tinggi. Hal ini jua membuktikan bangsa MELAYU dapat berinteraksi dan mengharmonikan unsur-unsur alam di sekelilingnya dengan cara perlakuan yang penuh berdisiplin hasil ketajaman minda, kefahaman dan pengolahan yang baik.Jika disingkap lipatan tawarikh silam dalam kerajaan MELAYU khususnya di negara kita, keris telah diletakkan pada kedudukan yang istimewa.
Dalam lingkungan istana, keris dijadikan tanda kebesaran, tanda pangkat, dan alat kelengkapan pakaian seragam terutama dalam majlis upacara rasmi. Antaranya Keris Panjang Di Raja (keris kerajaan) sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan yang dipakai oleh ketua pemerintah negara. Tanpa keris, pakaian itu tidak dianggap lengkap. Begitu juga dengan pembesar-pembesar, pegawai-pegawai kerajaan, rakyat mesti memakai keris apabila menghadiri upacara tertentu di istana. Kebenaran ini dibuktikan oleh Dr. Hamka dalam buku Sejarah MELAYU: Sejarah Umat Islam melalui ayat, “Jika masuk ke dalam istana tiada berkain pancung dan tiada berkeris di sebelah muka, tidaklah boleh masuk ke dalam walaupun sesiapa.”
Namun, cara dan peraturan memakai keris kini tidak lagi dititkberatkan. Berbanding masa dahulu, masyarakat mengetahui jenis keris dan aturan memakainya. Bersesuaian dengan penghargaan dan kekeramatan yang ada, keris turut dijadikan sebagai senjata diraja untuk upacara pertabalan raja
Berpandukan kepada sejarah Kerajaan MELAYU Melaka pula, keris menjadi salah satu lambang penyerahan tugas diraja oleh sultan ketika pelantikan seseorang panglima atau laksamana untuk melaksanakan kewajipan yang diamanahkan. Sesetengah pemilik keris sanggup menyimpan senjata ini yang menjadi warisan keturunan sebagai artifak yang cukup berharga dan mesti dihormati. Selalunya penjagaan dan pewarisan keris berhubung kait dengan sejarah keturunan yang boleh dibanggakan. Bagi golongan pesilat atau pengamal seni permainan senjata ini, keris yang diwarisi turun-temurun dijadikan pusaka yang berharga.
Cerita yang ada pada keris dapat menemukan sejarah dan salasilah keturunan mereka. Keyakinan terhadap fungsi dan jasa yang besar dalam sejarah sesuatu perjuangan oleh keturunan dan jasa keris itu sendiri kepada pemilik sebelumnya menjadi landasan khusus seseorang pewaris tidak begitu mudah untuk menjual atau memberikan kepada orang lain yang tiada perkaitan darah atau sejarah keturunan.
Selain itu, keris tersebut boleh menjadi peniup semangat, pendorong terhadap keutuhan dan kegemilangan keluarga serta keturunannya. Kesimpulannya, keris merupakan simbol pusat budaya dan pemahaman terhadap sejarah sesuatu bangsa. Reka bentuk keris menjadi cerminan bangsa MELAYU yang menggambarkan kreativiti, manifestasi yang tinggi, seni ukir dan tukangan yang begitu halus hasil ketajaman fikiran penukangnya.
Hasilan ini diindahkan dengan seni penggunaan dan seni permainan dalam silat MELAYU yang diharmonikan dengan pergerakan-pergerakan yang penuh ‘berisi’ dan ‘berahsia’ hasil pengungkapan dan pengolahan minda yang begitu mendalam. Keris turut menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan bangsa MELAYU yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment