Saturday, January 16, 2010

HANG TUAH DAN TAMING SARI

Saya ingin kongsikan sedikit babak pertarungan antara Dato Laksamana Hang Tuah yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri Pramlee menentang Taming Sari (Tak tahu nama sebenar) yang saya ambil dari Filem Hang Tuah. Dari babak pertarungan ni kita sebenarnya dapat belajar beberapa perkara, antaranya:

1). "Adab Berkeris" - Ketika Hang T menghadap Sultannya, dia memusingkan/membalikkan hulu kerisnya ke belakang sebagai tanda menghormati dan bermakna si pemilik keris datang/menghadap dalam keadaan yang aman (tiada membawa niat buruk), manakala ketika berhadapan dengan lawannya si Taming Sari, hulu keris itu dibalikkan semula kehadapan (bermakna si pemilik keris sedia untuk bertarung ataupun dia sedang berhadapan dengan musuhnya). 

2). “Membeli" - Ketika Taming Sari mencabar Hulubalang Melaka, seperti yang kita dapat dalam babak dibawah Hang Tuah berkata "Hamba Sedia Membeli", membeli yang dimaksudkan adalah menyahut cabaran. Pendekar terdahulu pantang ada yang menjual, mesti akan dibeli. Kerana pada hakikatnya seorang Hulubalang adalah seorang yang tidak pernah takut akan lawannya, padanya hanya Allah lah yang Maha Berkuasa. Apatah lagi bila yang mencabar menghina Islam dan Raja-raja Melayu ataupun bangsa Melayu. 

Seperti di dalam filem Puteri Gunung Ledang, ketika Gusti Adipati Majapahit berkata "Aku tidak gentar dengan Melayu" Hang Tuah (M.Nasir) dan rakannya yang lain terus tersental dan Hang Tuah (M.Nasir) lantas mara kehadapan dan menyahut cabaran pertarungan. Jadi kesimpulannya zaman dahulu para pendekar terutamanya Hulubalang pantang dijual mereka pasti akan membeli. Biasanya yang menjual akan kalah kerana sebahagiannya hanyalah taktik perang psikologi untuk menggertak lawan. Pendekar dahulu Ilmu Tauhid mereka tinggi, takutnya hanya pada Allah bukan pada Makhluk-Nya. Begitu juga dengan keyakinan mereka. 

3). "Akal" - Seseorang pendekar kekuatannya bukan saja terletak pada fizikal ataupun kemahirannya bermain senjata., tetapi akalnya adalah lebih utama. Emosi tidak boleh melebihi Akal dalam pertarungan. Bila seseorang yang dikawal oleh emosinya dia hanya akan berfikir dan terburu-buru untuk membunuh tanpa pedulikan kehebatan lawannya, manakala pendekar yang lebih menggunakan Akal mereka dalam keadaan tenang dan menilai segala gerak dan senjata lawannya. 

Seperti di dalam babak ini Hang Tuah (P.Ramlee) menggunakan akalnya dan berfikir kekebalan si Taming Sari ini ada pada kerisnya, lalu Hang Tuah menggunakan akalnya agar keris hikmat taming sari itu terlepas dari genggaman lawannya. Setelah terlepas, Pahlawan Majapahit taming sari meminta kerisnya dikembalikan kerana adab seorang pendekar sejati tidak akan membunuh lawannya yang tiada senjata (kemenangan tanpa maruah), tetapi Hang Tuah yang sudah tahu mengenai kelebihan keris taming sari tidak memberikan semula keris tersebut malah yang diberi adalah kerisnya sendiri. Seseorang yang berada dalam kawalan emosi tidak akan berfikir sedemikian dan hanya terus menerpa untuk membunuh. 

4).  "Kekuda Silat" - Cuba perhatikan bagaimana Hang Tuah menggunakan kekuda silat rendah secara efektif ketika bertarung. Seperti yang kita sedia maklum jika dibandingkan Kekuda Silat dengan kekuda martial art lain, kekuda silat lebih rendah? Mengapa kebanyakan silat menggunakan kekuda yang rendah? Dengan merendahkan badan, kita dapat melindungi kawasan tengah dan atas dari serangan senjata (dada, perut, leher dan kepala), ianya kedudukan yang efektif untuk menyambut serangan keris dari pelbagai arah samada dari depan belakang atau kiri dan kanan dengan kemas. 

Kawalan tapak menjadi lebih kukuh jika berlaku pergelutan kerana pusat graviti yang rendah. Dengan kekuda ini petarung mampu memberikan kuasa pada tikaman dan pukulan. Pergerakan terjahan dan lompatan menjadi pantas dan lincah ditambah pula dengan tangan pesilat dalam keadaan bersedia melindungi zon tengah badan. Dengan kedudukan badan yang rendah, pesilat mampu bergerak ke semua arah dengan kemas bagi mengelak serangan dari pelbagai arah serta pergerakan langkah dan lompatan menjadi jauh untuk mengelak dalam erti kata lain ianya memberikan kita masa.

"Apa guna kepuk di ladang, 
Kalau tidak berisi Padi, 
Apa guna keris di pinggang, 
Kalau tidak berani mati."

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment