Saturday, January 16, 2010

MELAYU - BUGIS - MAKASSAR

Saya selaku Melayu yang berdarah bugis nak bagi pencerahan sedikit kepada warga Makassar dan Bugis generasi kini yang mungkin masih tidak tahu sejarah negara sendiri dan Sejarah penyebaran Islam di Sulawesi Selatan. 

Saya selalu melihat segelintir warga Makassar selalu memperlekehkan orang Melayu dengan mengatakan Melayu tidak pernah ada di Makassar. Melayu hanya di Malaysia dan Sumatera. Tidak  wujud Melayu di Makassar. Tiada orang Makassar hari ini yang berdarah Melayu. Saya tidak mahu membincangkan Ras Melayu kerana saya tahu ianya percuma untuk diterangkan.

Jadi saya hanya akan ceritakan mengenai asal usul kedatangan Melayu di Sulawesi Selatan. Orang Melayu datang ke Sulawesi Selatan semenjak pemerintahan Raja Gowa ke 10 - Raja Manriwagau Daeng Bonto Karaeng Lakiyung Tunipallangga Ulaweng (1546-1565). Kedatangan orang Melayu disambut baik oleh Baginda. Tujuan kedatangan adalah untuk berdagang sambil memperkenalkan Islam. Kerana ketika Islam belum tersebar di Kerajaan-kerajaan Sulawesi Selatan. 

Raja Gowa X memberikan para pedagang Melayu penempatan untuk berkampung di Manggalekana. Ketika itu para pedagang orang Melayu semuanya diatur dan diketuai oleh Datuk Maharaja Bonang yang berasal daripada Sumatera Barat. Pada Tahun 1565, Raja Gowa ke 11 - Raja Tajibarani Marompa Karaeng Data Tunibatte telah mengizinkan para orang Melayu mendirikan masjid di Manggalekana Berdekatan Somba Opu. 

Ajaran Islam terus disebarkan oleh orang-orang Melayu di Gowa - Tallo. Pengajian Islam seperti pengajian Al-Quran yang di ajar kepada anak-anak di sana dan mengajarkan membaca dan mengubah syair-syair Melayu yang diubah kepada bahasa bugis dan Makassar. Para pemukim Melayu terus mengembangkan ajaran Islam dan mengajarkan hikayat dan sopan santun leluhur orang Melayu. Apa yang baiknya Raja Gowa ketika itu langsung tidak melarang walaupun belum ada diantara mereka yang masuk Islam. Sungguh Allah telah permudahkan penyebaran Islam yang dibawa orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. 

Alhamdulillah setelah berpuluh-puluh tahun ajaran Islam terbesar, Raja yang pertama memeluk Islam di Sulawesi Selatan adalah Raja Tallo ke-8 yang juga merangkap sebagai mangkubumi Kerajaan Gowa iaitu Raja Karaeng Matoaya Malingkang Daeng Mayonri pada 22 September 1605. Nama Islamnya Sultan Abdullah Awalul Islam. Kemudian Sultan Abdullah mengajak pula anak saudaranya memeluk agama Islam iaitu Raja Gowa ke-14 Manga’rangi Daeng Manrabia dan nama Islamnya adalah Sultan Alauddin.

Raja Gowa dan Raja Tallo mengundang guru agama dari Koto Tengah, Minangkabau yang berada di Aceh, untuk mengajarkan Islam di Sulawesi Selatan. Datanglah tiga mubaligh yang dikenali sebagai Dato’ri Bandang (Abdullah Makmur @Khatib Tunggal), Dato’ri Pattimang (Sulaiman @Khatib Sulung), dan Dato’ri Tiro (Abdul Jawad @ Khatib Bungsu). Ketiganya berperanan penting dalam pengajaran dan penyebaran Islam yang bukan saja di Makassar malah di seluruh Sulawesi Selatan.

Dan Raja Gowa mengambil orang Melayu sebagai jurutulis istana iaitu Incek Amin, pada zaman Sultan Hasanuddin (1653-1669). Juri tulis di istana ini sangat terkenal melalui syairnya yang amat indah. Syair Perang Mengkasar yang terkenal itu juga dikarang oleh Incek Amin yang mengisahkan saat-saat terakhir Kerajaan Gowa tahun 1669. Begitulah sumbangan orang-orang Melayu di Nusantara tidak hanya terbatas di bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam, tetapi juga di bidang pendidikan dan kebudayaan. Pada masa itulah naskah-naskah keagamaan dan sastra berbahasa Melayu diterjemahkan ke bahasa Makassar dan Bugis.

Bidang pendidikan dan kebudayaan ini berlanjutan sehingga abad ke-19. Salah satunya, penulisan semula I La Galigo - karya sastera Bugis pada tahun 1860 oleh seorang bangsawan Bugis dari Tanate bernama Collipujie Arung Pancana Toa Datu Tanate. Nama lainnya adalah Ratna Kencana. Ibunya bernama Siti Jauhar Manikan, anak kepada Incek Ali Abdullah Datu Pabean, Syahbandar Makassar abad 19, yang berketurunan Melayu - Johor berdarah Bugis - Makassar. 

Jadi Kesimpulannya, orang Melayu telah menetap di Makassar Sulawesi Selatan semenjak abad 15 lagi dan berkat usaha penyebaran agama Islam yang dibawa oleh mereka para pedagang dan ulama Melayu, agama Islam tersebar luas di serata Sulawesi Selatan yang buktinya adalah hari ini. Dan bangsawan kerajaan Gowa - Tallo juga ada Melayu. Separuh darinya telah berhijrah ke Johor, Pahang, Perak, Selangor bermula abad ke 17 . Paling ramai abad ke 18.


Janganlah ada lagi perbalahan mengenai suku kaum, sedangkan kita semua serumpun dan bersaudara. Jika tidak mahu bersatu atas dasar bangsa kita bersatu atas dasar Islam yang telah disebarkan semenjak zaman Rasulullah S.A.W, para Ulama dan Nenek moyang kita.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment