Thursday, March 13, 2014

KEPENTINGAN MURSYID UNTUK BUANG SIFAT KEAKUAN

Para ulama hakikat sangat mementingkan dan mendalami penyucian batin dan mencari perjalanan hakikat. Mereka masing-masing mempunyai guru mursyid. Tiadalah salah untuk membicarakan soal tareqah, kerana semua tareqah adalah baik dan benar. Tetapi yang paling benar di dalam tareqah adalah bergantung kepada Mursyidnya.Tasauf bukannya pada zikir tetapi pada Mursyid. 

Walaupun sanadnya benar, tetapi andainya tiada Mursyid yang benar, maka tidaklah mereka akan sampai kepada hakikatnya, seumpama seorang pemandu kapal laut yang tiada pengetahuan tentang ilmu pelayaran, pasti mereka tidak sampai kepada pulau yang ingin dituju, termasuklah mereka yang menumpang dalam kapal tersebut. Mereka sesat di tengah lautan dan berlayar tanpa arah tuju. 

Mereka tiada lagi suka untuk berbicara soal bunga dan kulit semata-semata. Semuanya itu hanya mainan hujah sesama manusia tetapi batin sendiri belum lagi terlepas daripada syirik “keakuan diri”. Mereka tidak bertuhan kepada berhala tetapi bertuhan kepada diri sendiri. 

Oleh itu, kita sangat perlukan guru mursyid untuk bimbing kita, tanpa guru mursyid kita tidak akan dapat mengendalikan perasaan tersebut kerana para mursyid yang benar telah melalui proses zauqiyah dan fana fi af'al, asma dan dzat sehingga mereka sampai kepada peringkat yang benar. 

Walau apa ujian yang menimpa, mereka tetap tenang kerana mereka sentiasa berada di dalam dzat Ahadiah tetapi sebaliknya bagi mereka yang tidak benar, mereka akan merasa pedih dan sakit seandainya dikeji kerana masih lagi belumn terlepas dari nafsu ammarah.  Mereka yang bebas, hatinya sentiasa rasa khauf dengan Allah SWT, diri mereka merasa tidak selamat seumpama para Sahabah r.a. ajma'in yang tiada merasa selamat walaupun mereka sentiasa mendampingi Rasulullah SAW. 

Ini adalah kerana jiwa mereka yang bersih menyebabkan mereka tiada lagi tertipu dengan diri mereka sendiri. Latihan ini perlukan kepada bimbingan, kalau tiada merasa hak Allah, maka akan mereka merasai bahawa itu adalah hak diri mereka, merasa akan hak diri. inilah yang dikatakan sebagai “ananiyah” sifat keakuan. 

Kita wajib perlu keluarkan diri daripada kegelapan ini kerana disebalik sifat keakuan diri itu adalah syaitan. Sifat mazmumah itu timbul adalah kerana pokok ‘ananiyah’ masih belum dibuang akarnya. Untuk membuangnya, perlulah sang guru mursyid untuk membimbing kita. 

Tiadalah dosa yang paling besar melainkan dosa melihat kepada hak diri sehingga terhijabnya hak Allah SWT, jadi ungkapan “wujudmu itu adalah dosa” adalah benar kerana tiada mereka melihat akan hak Allah SWT.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment