Tuesday, January 12, 2010

ORANG BESAR JAJAHAN SELANGOR

Institusi Orang Besar Daerah ataupun Orang Besar Jajahan mahupun Orang Besar Wilayah berakar umbi dari Institusi Penghulu suatu masa dahulu yang dipercayai telah wujud sejak zaman Empayar Srivijaya lagi dan kedudukan serta definisi penghulu pada ketika itu tidak sama seperti pada hari ini. Institusi ini merupakan institusi Orang Besar dan Ketua Adat yang berperanan sebagai Wakil Raja atau Pemerintah Mutlak sesuatu Wilayah suatu masa nan lalu.

Sejarah Negeri dengan jelas mengambarkan peranan Dato’ Empat Suku iaitu Dato’ Aru (Gelaran ini tidak lagi wujud pada tahun 1930-an), Dato Penggawa Permatang atau Datok Penggawa Tua, Dato Jeram (Gelaran ini tidak ada lagi pada tahun 1930-an) dan Dato Klang yang menjadi pihak perujuk dan pemutuskata ketika berlakunya krisis suatu masa nan lalu. Namun campur tangan British dalam pentadbiran negeri Selangor telah banyak mengubah lanskap struktur pembesar tradisional dari segi peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab mereka.

Sistem perlantikan bagi menyandang gelaran Orang Besar Daerah dibuat berdasarkan pilihan dan perkenan Paduka Sri Sultan Selangor secara mutlak pada zaman dahulu dan setelah Negeri Selangor mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri maka ianya akan dibuat melalui Dewan DiRaja Selangor selaku Badan Penasihat kepada D.Y.M.M Sultan Selangor.

Kaum Kerabat DiRaja Selangor telah kian lama memegang dan menyandang jawatan penghulu, Pembesar baik di sesebuah mukim mahupun daerah di negeri Selangor yang terdiri daripada Sungai Langat, Sungai Selangor, Sungai Bernam, Sungai Lukut, dan Sungai Klang.

Namun pada sekitar tahun 1928, pembesar yang amanahkan Menjaga Ke’amanan Adat Istiadat Raja Keraja’an dan Menerima Apa-Apa Titah Di Sebelah Jajahan Ulu Selangor sebagaimana yang termaktud dalam Peraturan Nasihat Bagi Ikatan Raja-Raja dan Panduan Orang Besar yang ditetapkan pada 13 Maharram 1347 bersamaan 2 Julai 1928 dengan Titah Paduka Sri Sultan Selangor yang diamalkan di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan di gelaran Orang Kaya Maha Bijaya Ulu Selangor dan disebut Datok Kaya Ulu Selangor dikurniakan kepada Datok A. Hamid Bin Datok Muda Jaafar oleh Almarhum Sultan Ala’Uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang merupakan berbenih Bangsawan Bugis. Namun ini bukan bermakna Kaum Kerabat DiRaja Selangor tidak layak mahupun gelaran ini akan dan telah menjadi tradisi diperturunkan kepada warisan Datok A. Hamid Bin Datok Muda Jaafar.

Mengimbau sejarah batang tubuh individu yang menyandang amanah sebagai Dato Kaya Ulu Selangor adalah mulai sekitar tahun 1928 adalah seperti berikut:

Datok Hamid Bin Datok Muda Jaafar,
Dato’ Haji Kamaruddin Bin Dato’ Haji Ibrahim
Dato Mohd Shahar Bin Dato Abdul Hamid
Dato’ Haji Tajuddin Bin Dato’ Haji Kamaruddin
Dato’ Haji Aman Shah Bin Mohd Shahar

Ertikata lain, sistem perlantikan bagi penyandang gelaran Orang Besar Daerah ini dibuat berdasarkan pilihan dan perkenan Paduka Sri Sultan Selangor secara mutlak pada zaman dahulu dan setelah Negeri Selangor mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri maka ianya akan dibuat melalui Dewan DiRaja Selangor selaku Badan Penasihat kepada D.Y.M.M Sultan Selangor.

Semasa era pemerintahan Sultan Abdul Samad sekitar tahun 1874, pihak British telah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Selangor, sistem Residen telah diperkenalkan di Selangor. Pada waktu dan ketika itu juga British telah memainkan peranan bagi melantik kaum Kerabat DiRaja Selangor yang dianggap sesuai untuk berkhidmat dalam pentadbiran sebagai penghulu di sesebuah mukim dalam daerah di negeri Selangor yang terdiri daripada Sungai Langat, Sungai Selangor, Sungai Bernam, Sungai Lukut, dan Sungai Klang. 

Pada tahun 1877, Pemungut Cukai dan Majistret turut dilantik oleh British untuk menjaga hal ehwal dan perbendaharaan di setiap daerah dalam negeri Selangor. Di samping itu, Pemungut Cukai, dan Majistret perlu membantu setiap penghulu di daerah Selangor.

Pada tahun 1883, Swettenham dilantik sebagai Residen British Selangor ke-3. Beliau telah mengubah dasar pentadbiran daerah di Selangor dengan matlamat untuk menyeragamkan pentadbiran. Ekoran daripada itu, beberapa perkara telah dilakukan antaranya;

Pertama: Daerah Selangor dibahagikan kepada enam bahagian iaitu, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Lumpur. Setiap daerah turut dilantik Pemungut Cukai di sini untuk membantu Residen British Selangor.

Kedua: Jawatan penghulu di Selangor dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pentadbiran Selangor. Jawatan ini berkuat kuasa pada bulan September 1883 dalam Majlis Mesyuarat Negeri Selangor dengan perkenan Sultan Abdul Samad.

Sejarah telah menyaksikan bahawa pemegang dan penyandang gelaran sebagai Orang Besar Negeri, Orang Besar Daerah, Orang Besar Istana mahupun segala pekerja istana terdiri dari benih bangsawan bugis dan benih bangsawan asal wilayah-wilayah di dalam negeri Selangor masa lalu. 

Mengimbau kepada sejarah yang terpahat di dalam Negeri Selangor setelah terdirinya sebuah Kesultanan MELAYU di kepulauan MELAYU. Raja Pemerintah, Sultan dan Yang di-Pertuan Selangor, Sultan Salehuddin yang telah diperaku sebagai Pemerintah sebuah kerajaan baru, berusaha mengukuhkan pentadbiran dan perkara pertama yang diberikan tumpuan ialah dengan membentuk sebuah organisasi pentadbiran dengan mewujudkan beberapa jawatan penting. 

Antaranya Dato’ Aru, Dato Penggawa Tua (Kuala Selangor), Penggawa Muda (Kuala Langat), Dato Shahbandar, Dato Kaya Kechil Kelang (Klang), Dato Penghulu Ulu Selangor (Hulu Selangor) dan Dato Maharaja Lela. Perlantikkan tersebut tersebut adalah untuk membantu dan menasihati baginda dalam pemerintahan

Antara orang besar-besar Selangor yang menduduki taraf yang istimewa adalah seperti dibawah semasa dibawah Pemerintahan Raja Lumu:-

- Dato Aru
- Dato Pengawa Tua
- Dato Penggawa Muda
- Dato Maharaja Lela
- Dato Shahbandar Dalam
- Dato Bentara Kanan
- Dato Bentara Kiri
- Dato Panglima Dalam
- Dato Megat Penghulu Balai.

Namun di antara Enam daripada Sembilan gelaran iaitu Pengawa Tua dan Pengawa Muda, Maharaja Lela, Shahbandar, Panglima Dalam dan Megat Penghulu Balai dipegang oleh mereka dari jurai-jurai berbenih raja-raja bugis yang datang ke Selangor bersama-sama Raja Lumu. 

Dewasa ini, sembilan daerah yang mempunyai Wakil Paduka Sri Sultan Selangor yang semuanya mempunya gelarang yang seakan sama namun terdapat juga yang masih mengekalkan nama yang telah lama wujub sebelum ini.

1. Orang Besar Daerah Kuala Selangor

Salah seorang dari empat orang besar Selangor yang asal Datok Penggawa. Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Dato Penggawa Tua Permatang Paduka Maha Bijaya Kuala Selangor.

2. Orang Besar Daerah Klang

Salah seorang dari empat orang besar Selangor yang asal iaitu Datok Bendahara Kuning. Gelaran bagi orang besar adalah Yang DiHormatkan Dato Orang Kaya Maha Bijaya Klang atau Yang DiMuliakan Engku Orang Kaya Maha Bijaya Klang bagi berketurunan Warisan Diraja.

3. Orang Besar Daerah Ulu Langat

Salah seorang dari empat orang besar Selangor yang asal iaitu Datok Engku Klang. Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Dato Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Ulu Langat.

4. Orang Besar Daerah Kuala Langat

Salah seorang dari empat orang besar Selangor yang asal iaitu Dato Aru. Gelaran bagi orang besar adalah Yang DiHormatkan Dato Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat atau Yang DiMuliakan Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat bagi berketurunan Warisan Diraja.

5. Orang Besar Daerah Hulu Selangor

Gelaran bagi orang besar adalah Yang DiHormatkan Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor dan Yang DiMuliakan Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor bagi berketurunan Warisan Diraja.

6. Orang Besar Daerah Gombak

Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Dato Orang Kaya Maha Bijaya Gombak dan Yang DiMuliakan Tengku atau Engku Orang Kaya Maha Bijaya Gombak bagi berketurunan Warisan Diraja.

7. Orang Besar Daerah Sabak Bernam

Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Orang Kaya Maha Bijaya Sabak Bernam dan Yang DiMuliakan Tengku atau Engku Orang Kaya Maha Bijaya Sabak Bernam bagi berketurunan Warisan Diraja.

8. Orang Besar Daerah Petaling

Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiHormatkan Dato Orang Kaya Maha Bijaya Petaling dan Yang DiMuliakan Tengku atau Engku Orang Kaya Maha Bijaya Petaling bagi berketurunan Warisan Diraja.

9. Orang Besar Daerah Sepang

Gelaran bagi orang besar di daerah adalah Yang DiMuliakan Tengku atau Engku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang ataupun Yang DiMuliakan Engku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang.

10. Orang Besar Daerah Kuala Lumpur

Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur yang pada mulanya merupakan ibu negeri Selangor telah dipisahkan dari Selangor dan bandar ini kemudiannya membentuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kesan daripada pemisahan ini, maka tiada lagi gelaran tersebut kini dan gelaran bagi orang besar semasa ianya dibawah Wilayah Selangor adalah Yang DiHormatkan Dato Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur ataupun Yang DiMuliakan Engku Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur bagi berketurunan Warisan Diraja.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment