Tuesday, January 12, 2010

SRIKANDI TERSOHOR MELAYU YANG DILUPAKAN

Adruja Wijayamala Singa atau lebih dikenali Cik Siti Wan Kembang I (1335-1345 Masihi) berasal dari Grahi - sebuah negara kota dan negara persekutuan Melayu yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. Baginda merupakan puteri kesayangan kepada Raja Sang Tawal atau Sultan Muhammad (1267-1335), Maharaja Grahi yang ketiga. 

Tahun kelahiran dan nama bonda puteri Melayu ini tidak diketahui. Adruja dilahirkan dan membesar di Kota Grahi, iaitu ibu kota kerajaan Grahi. Adruja mempunyai empat orang saudara kandung, iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Cendana dan Puteri Linang Cahaya. Oleh kerana Adruja memiliki sifat keperibadian yang tegas dan garang, rakyat Grahi yang berketurunan Melayu-Hindu telah menggelar puteri Melayu ini sebagai ‘Dewi Durga. 

Lebih menarik lagi, Adruja merupakan keturunan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, Maharaja Srivijaya-Malayu (Palembang-Jambi) dari dinasti Mauli. Menurut manuskrip Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), nama sebenar maharaja tersebut ialah Demang Lebar Daun. Nama 'Adruja Wijayamala Singa' dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit, di mana: ‘Adruja’ ialah kependekan bagi sebutan “adhi raja” yang bermaksud raja yang besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik dan pemuka pasukan perang. 

‘Wijayamala’ pula merujuk kepada sejenis bunga seroja sakti yang dikatakan dapat menghidupkan orang mati; manakala ‘Singa’ pula merupakan satu variasi bagi sebutan “simha” yang bermaksud singa - raja segala haiwan.

KEHIDUPAN AWAL

Adruja dilahirkan pada zaman di mana Grahi sedang menghadapi ancaman perang dari kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh Raja Rama Khamhaeng (1237 atau47-1317). Raja yang berketurunan Siam (atau Thai) ini merupakan seorang yang sangat zalim.

Raja Rama Khamhaeng dikatakan mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan (Semenanjung Tanah Melayu) tetapi telah dihalang oleh nenda Adruja yang bernama Raja Sakranta atau Raja Aminuddin (1253-1267). Setelah Raja Sakranta mangkat, takhta kerajaan Grahi telah diserahkan kepada ayahanda Adruja yang bernama Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad).

Sebagai Maharaja Grahi yang baharu, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota yang teguh demi menghalang tentera Siam Sukhothai dari menceroboh masuk ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Grahi.

Sejak dari usia kanak-kanak lagi, Adruja dikatakan pandai menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilaku baginda menyerupai lelaki, namun Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur. Ia adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat kewanitaan.

PEMBAWA BENDERA GRAHI

Setelah umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di medan perang. Puteri tersebut biasanya dibenarkan membawa bendera kerajaan Grahi ketika Raja Sang Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai. Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan melihat keganasan perang dalam segala aspek.

Setelah perang berakhir, Adruja akan membantu membalutkan luka dan memberi minuman kepada mana-mana tentera ayahandanya yang cedera. Melihatkan keadaan tentera Grahi yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan khas yang terdiri dari kaum wanita.

Selain untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita tersebut ditubuhkan adalah untuk membela nasib kaum wanita Melayu di Grahi yang sering diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai tatkala mereka menyerang kampung-kampung yang jauh dari Kota Grahi. Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang.

SYARAT PERKAHWINAN

Cadangan Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada ayahandanya, Raja Sang Tawal. Pada mulanya, Raja Sang Tawal enggan memperkenankan cadangan puterinya itu kerana tugas kaum wanita pada zaman tersebut hanya terhad kepada kerja memasak dan membantu merawat kecederaan tentera di medan perang sahaja.

Namun begitu, Raja Sang Tawal berubah fikiran dengan serta-merta setelah mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali mempertahankan bendera kerajaan Grahi ketika di medan perang. Raja Sang Tawal akur lalu memperkenankan cadangan Adruja itu.

Pada masa yang sama, baginda cuba untuk menyelamatkan Adruja dengan mengahwinkan puteri tersebut. Walau bagaimanapun, Adruja terus menolak rancangan ayahandanya itu dengan berkata: "Ayahanda mahu kahwinkan anakanda? Tidak! Sesiapa yang mahukan anakanda, sila bertarung senjata satu lawan satu. Jika menang, boleh”. Melihatkan ketegasan dan kedegilan puteri tersebut, akhirnya Raja Sang Tawal terpaksa mengalah dan mengikut sahaja kehendak puterinya itu.

LAHIRNYA PASUKAN SERI WIJAYAMALA

Setelah cadangan tersebut diperkenankan oleh Raja Sang Tawal, maka Adruja pun berusaha untuk membentuk sebuah pasukan khas yang dianggotai kaum wanita. Baginda mula mencari mana-mana perempuan yang mahu menyertainya.

Oleh kerana golongan perawan telah menolak ajakannya, maka dicari pula segala janda muda yang kematian suami di medan perang. Ada di kalangan kumpulan janda muda tersebut yang membantah atas alasan - berperang bukanlah kerja kaum wanita. Jawapan tersebut telah membuatkan Adruja murka, lalu menengking mereka dengan berkata: “Cis! Semua kamu nak serahkan kepada lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu? Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan pengemis! Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang.

Bahkan lebih berani daripada bapa-bapa dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhothai hingga kecut pelir mereka. Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi. Beta tak dapat memberikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian mati, kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian.

Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang. Insyallah, kalian akan dikenang sebagai bunga-bunga suci di medan perang di dalam sejarah Grahi.”

Setelah mendengar kata-kata puteri tersebut, maka kumpulan janda muda tersebut akhirnya bersetuju untuk menyertai pasukan khas yang dipimpin dan dilatih sendiri oleh Adruja. Pasukan khas tersebut diberi nama Seri Wijayamala. 

Adruja telah berusaha mendapatkan segala bekalan senjata untuk pasukan khasnya. Baginda telah menempah senjata ringan dengan mengarahkan agar dibentuk busur panah yang kecil tetapi lebih cekap. Selain itu, puteri tersebut juga telah membeli puluhan ekor kuda, kain serta keperluan wanita dari para saudagar Arab dan Turki di pelabuhan yang berhampiran dengan Kota Grahi. Dari mereka jugalah, Adruja mempelajari bahasa Arab dan Turki.

Selain itu, Adruja juga telah membeli seekor kuda putih untuk dirinya sendiri. Kuda tersebut diberi nama Halilintar dan ianya sentiasa mendahului sesiapa sahaja, termasuklah pelatih Adruja yang berbangsa Turki bernama Inologlu.

SERI WIJAYAMALA BERSEDIA

Pada suatu hari, Adruja Wijayamala Singa masuk menghadap Raja Sang Tawal yang sedang sibuk bermesyuarat dengan para panglima perang. Ketika itu, mereka sedang melihat selembar peta. Setelah salam diberi, Adruja terus membuka daun-daun tingkap istana lalu mengajak Raja Sang Tawal dan para panglima perang supaya melihat ke luar tingkap. Puteri itu seraya berkata: “Itulah pasukan khas patik. Hanya 41 orang. Kebanyakannya janda dan hamba abdi serta budak suruhan, untuk berperang bersama ayahanda kelak”.

Setelah melihat pasukan khas tersebut, para panglima bertanya kepada Adruja tentang kemampuan mereka - sama ada mereka mampu memikul tombak serta memanah atau pun tidak. Malah, ada juga di antara mereka yang memperlekehkan kemampuan pasukan khas tersebut dengan tersengih-sengih dan ketawa kecil.

Tindakan para panglima tersebut telah membuatkan dada Adruja membara, lalu ditariknya salah seorang dari kumpulan panglima tersebut dan membawanya ke ruang tingkap. Adruja segera memberi arahan kepada Puspa, salah seorang pengikutnya yang berdiri puluhan ela di bawah istana supaya terus memanah panglima tersebut.

Anak panah yang dilepaskan Puspa berdesing membelah udara lalu melekat pada daun tingkap - hanya sejengkal dari muka panglima tersebut. Adruja lantas berkata kepada para panglima yang memperlekehkan pasukan khasnya: “Jika itu belum memuaskan kalian, silalah tunggu di tingkap itu untuk perintahku yang kedua”.

Tindakan berani Adruja dan pengikutnya, Puspa telah menyebabkan semua orang terdiam. Adruja terus menyembah Raja Sang Tawal lalu turun dari istana. Menurut catatan sejarah, peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1317 Masihi.
. 
SERI WIJAYAMALA BERTINDAK

Pada suatu hari, angkatan tentera Siam Sukhothai telah mula bergerak ke arah selatan untuk menyerang kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi. Pada asalnya, penduduk Kota Grahi sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi serangan dari tentera Siam Sukhothai. Walau bagaimanapun, penantian yang terlalu lama telah menyebabkan mereka menjadi leka.

Namun begitu, Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala sentiasa bersiap sedia. Sifat waspada mereka telah berhasil apabila pada suatu malam, salah seorang pengawalnya telah ternampak panah berapi menembusi angkasa. Pengawal tersebut lantas memaklumkan kepada Adruja mengenai sebuah kampung di sebelah utara yang mula diserang oleh tentera Siam Sukhothai.

Dengan serta-merta, Adruja dan semua anggota pasukan khas Seri Wijayamala berlengkap lalu menunggang kuda mereka dan menyerbu keluar mengikut rakan-rakan yang membawa obor. Setelah tiba, Adruja mendapati tentera Siam Sukhothai sedang mengganas. Mereka membakar kampung, membunuh segala lelaki dan mengheret wanita keluar dari kampung itu.

Seorang panglima Siam Sukhothai telah merebahkan seorang perempuan muda ke tanah untuk mencabulnya. Melihat keadaan tersebut, Adruja segera menebas leher panglima tersebut dengan kelewang panjang miliknya yang dinamakan Kilatan. Kemudian, baginda seraya memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala: “Bunuh kesemuanya! Jangan biarkan seekor pun terlepas! Cincang yang masih bernafas!”

Arahan tersebut segera dipatuhi. Ada di kalangan para pengikut Adruja yang mengalami muntah-muntah serta pengsan setelah melihat darah, kepala musuh terpelanting dan terdengar jeritan tatkala musuh disembelih.

Pada malam itu, Adruja berjaya menyelamatkan ramai wanita Melayu. Tiada seorang pun tentera Siam Sukhothai yang berjaya pulang ke markas mereka. Adruja dan para pengikutnya pula hanya mengalami luka-luka kecil. Mereka berjaya membuktikan kecekapan mereka di medan perang. 

DENDAM RAMA KHAMHAENG

Semua pihak di negeri Siam Sukhothai telah mula berasa gentar setelah angkatan perang mereka tidak pulang ke markas. Namun begitu, tidak sedikit pun terguris di hati Raja Rama Khamhaeng walaupun telah kehilangan ratusan tenteranya. Sebaliknya, raja zalim itu telah mengambil keputusan untuk menyerang Grahi dan Kota Grahi sekali lagi. Pada kali ini, baginda sendiri yang akan mengetuai bala tenteranya.

Sementara di Kota Grahi pula, Raja Sang Tawal telah mendapat maklumat mengenai bala tentera Siam Sukhothai yang sudah menghampiri sempadan Grahi. Baginda segera mengarahkan semua menteri dan panglima perang (kecuali Adruja Wijayamala Singa) datang berunding.

Selesai mesyuarat, Raja Sang Tawal telah menitahkan supaya Adruja tinggal di dalam Kota Grahi sementara baginda dan para tentera Grahi keluar menentang musuh. Arahan ayahandanya itu telah membuatkan Adruja berasa begitu geram kerana tidak dibenarkan untuk turut serta berperang.

Selepas Raja Sang Tawal dan para tenteranya keluar dari Kota Grahi untuk menentang tentera Siam Sukhothai, seorang perempuan penduduk kota yang mengenali Adruja datang bertanya: “Wahai Dewi Durga, kenapa tidak turut serta?” “Raja fikir aku perempuan biasa. Layak menunggu di dalam kota sahaja”. Kata Adruja kepada perempuan tersebut. Lantas perempuan tersebut berkata: “Tapi, kami dengar cerita dari orang Tuan Puteri sendiri, banyak kampung di utara Grahi telah Tuan Puteri selamatkan”.

Setelah mendengar kata-kata perempuan tersebut, maka tersenyumlah sang puteri seorang diri. Adruja mula menyedari bahawa perihal itu tidak pernah dilaporkan kepada Raja Sang Tawal dan sememangnya ingin dirahsiakan.

KOTA GRAHI DISERANG LAGI

Sepanjang pagi tersebut, Adruja berasa gelisah. Tatkala tengah hari pula, nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Lalu diarahnya Puspa supaya pergi selidik di luar Kota Grahi. Alangkah terkejutnya Puspa apabila melihat tentera Siam Sukhothai telah berjaya mencerobohi kota. Mereka membunuh dan bertindak ganas terhadap orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita di dalam Kota Grahi.

Ternyata Rama Khamhaeng seorang yang licik. Raja tersebut telah membahagikan angkatan tenteranya kepada dua ketumbukan - satu untuk berperang dengan angkatan tentera Raja Sang Tawal di medan perang manakala yang satu lagi pula untuk menyerang Kota Grahi secara senyap dan mengejut.  Puspa segera memaklumkan kepada puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota Seri Wijayamala bertindak. Kehadiran mereka telah mengejutkan pihak musuh.

“Jahanamkan mereka! Bunuh semuanya! Anak haram jadah! Binatang! Cincang habis!”

Jerit Adruja seraya menghayunkan kelewang panjangnya (Kilatan) sambil memecahkan kepala serta memutuskan tubuh-tubuh musuh. Kemudian, arahan diberikan kepada dua orang rakan seperjuangannya yang bernama Seroja dan Sundari: “Kau Seroja, panah dari atas kota sana. Kau Sundari, suruh para abdi siapkan kuda kita”.
. 
LELAKI TUA BERTONGKAT DAN TASBIH

Pencerobohan itu akhirnya berjaya dihindari dan Kota Grahi terselamat. Namun begitu, itulah pertama kali hati Adruja berasa amat hiba dan remuk-redam kerana perbuatan pihak musuh yang amat zalim terhadap orang-orang yang lemah.

Pasukan Seri Wijayamala menangis teresak-esak, sambil mendakap para wanita dan kanak-kanak yang meraung. Air mata Adruja jatuh berlinangan. Adruja mengetapkan bibirnya. Tiba-tiba, datang seorang lelaki tua bertongkat menuju ke arah puteri tersebut lalu berkata dengan sebaknya: “Tuan Puteri, hamba sudah tua. Tiada tenaga lagi memerangi musuh kita.

Bawalah tasbih hamba ini. Semoga Tuan Puteri mencapai kemenangan yang luar biasa, Insyallah, Ucaplah, ‘Ya Jabbar Ya Qahhar’…”. Lelaki tua bertongkat itu mengucup tangan Adruja lalu pergi dari situ. Belum sempat sang puteri mengucapkan terima kasih, para anggota Seri Wijayamala sudah mengerumuninya dan bersiap-sedia. Adruja memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala: “Wahai pasukanku, Seri Wijayamala. Lilitlah rambutmu dengan kain hijau.

seperti serban yang dipakai ayahmu, suamimu atau saudaramu yang pergi berjuang demi agama dan tanah air. Aku tahu, tentera ayahanda sedang terpukul teruk.Aku juga tahu, hari ini Rama Khamhaeng turut memimpin tenteranya. Hari ini hari penentuan! Puspa, lilitkan serban kuning ini ke kepalaku.”

Tiba-tiba, kedengaran laungan azan berkumandang di atas kota. Suara seorang tua - dipercayai lelaki tua bertongkat yang memberi tasbih kepada Adruja sebentar tadi. Adruja segera memakai tasbih tersebut di lehernya dan terus menunggang kuda putihnya yang bernama Halilintar. Selesai sahaja azan, Adruja melaungkan ungkapan “Allahuakbar” yang kemudiannya disambut oleh semua yang hadir. Semua wirawati Seri Wijayamala terus memecut kuda yang menderu keluar dari kota bagai angin taufan. Tanpa menoleh ke belakang lagi, pasukan khas tersebut terus memacu kuda di belakang ketua mereka - Adruja Wijayamala Singa. 

TUMBANGNYA RAMA KHAMHAENG

Benarlah jangkaan Adruja. Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah. Lima anggota Seri Wijayamala telah bersiap-sedia dengan tombak bercangkuk. Mereka turut dibantu oleh pasukan berpanah dan pasukan yang memakai kusa - sejenis alat yang ditakuti gajah.

Sementara itu, Puspa pula diarahkan untuk memegang bendera khas Adruja Wijayamala Singa, iaitu corak helang merah berlatarkan kuning. Tiba-tiba, mata Puspa terpandang ke arah pasukan bergajah Siam Sukhothai yang juga mengibarkan bendera pihak musuh. “Tuan Puteri! Itu dia, Rama Khamhaeng!”

Adruja terus memecut kuda putihnya ke arah gajah hitam khas milik Rama Khamhaeng tanpa menghiraukan segala hiruk-pikuk di sekitarnya. Api kemarahan dari lubuk hati Adruja telah mengalir ke tangannya yang menggenggam erat Kilatan yang berkilauan disambar matahari petang.

Adruja mengarahkan pasukan berpanahnya supaya memanah semua askar di sekeliling Rama Khamhaeng. Setelah kesemuanya mati terbunuh, baginda lantas mengarahkan pengikutnya supaya membaling tombak ke arah Rama Khamhaeng. Beberapa tombak telah terkena pada tubuh raja tersebut lalu meragut nyawanya. Jasadnya terkeluar dari rengga gajah lalu jatuh rebah ke bumi.

Adruja dengan pantas terus merodok pusat Rama Khamhaeng dengan Kilatan, lalu ditusuknya ke atas hingga ke tenggorok. Pecahlah jantung dan terburailah segala tali perut dengan semburan darah membuak-buak. Kelewang dicabut, lalu leher raja tersebut ditebas hingga terpisahlah kepalanya dari tubuh. Kemudian, Puspa mengambil kepala Rama Khamhaeng dan menancapnya pada hujung tombak lalu diberikan kepada Adruja.

“Heret bedebah ini ke laut! Cincang sesiapa yang cuba menghalang!” Jerit Adruja kepada pasukan Seri Wijayamala. Dua orang wirawati segera mengangkat kedua-dua belah kaki Raja Siam Sukhothai itu lalu mengheretnya dengan kuda menuju ke pantai.

Perbuatan tersebut telah menyebabkan tentera Siam Sukhothai bersikap seperti orang gila. Mereka cuba untuk mendapatkan kembali kepala Rama Khamhaeng. Adruja dengan segera mencantas dan menebas mereka. Para tentera Siam Sukhothai yang cuba mendapatkan badannya pula terus dipanah oleh pasukan berpanah Seri Wijayamala.

“Seroja, bawa balik kepala ini. Biar beta selesaikan saki-baki anjing-anjing ini.”

Para tentera Siam Sukhothai mula hilang semangat setelah menyaksikan kematian raja mereka. Tiada apa yang boleh mereka lakukan selain berlutut meratap menyembah bumi. Itulah hari bencana besar bagi bangsa Siam (Thai) dari negara Sukhothai kerana tidak menjangka yang mereka akan mati dibunuh oleh seorang puteri raja dengan pasukan khas wanitanya yang bengis.

KATA-KATA KERAMAT ADRUJA

Adruja mengarahkan semua wirawati supaya mencantas belalai gajah-gajah milik tentera Siam Sukhothai. Pada mulanya, mereka tidak sampai hati hendak membunuh haiwan-haiwan tersebut. Setelah melihat Adruja sendiri mencantas belalai gajah hitam milik Rama Khamhaeng, akhirnya mereka turut berbuat demikian.

Habis semua gajah jatuh merempuh pihak musuh. Barisan hadapan tentera Siam Sukhothai yang berlutut meratapi kehilangan raja mereka turut diranap oleh gajah mereka sendiri. Saki-baki tentera Siam Sukhothai yang lainnya habis dibunuh oleh Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala.

Sementara itu, badan Raja Rama Khamhaeng yang sedang diheret ke pantai pula terus ditombak dan dicincang sepanjang jalan sehingga hanya tinggal rangka dan cebisan daging sahaja. Setelah tiba di tepi pantai, badannya dicampak lalu dihanyutkan ke Laut China Selatan. Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan tentera Siam Sukhothai yang mengiringi mayat raja mereka. Akibat terlalu takut, maka larilah saki-baki tentera musuh untuk menyelamatkan nyawa mereka. 

Inilah kata-kata keramat Adruja Wijayamala Singa: “Dengan tertebasnya kepala si bedebah ini (Raja Rama Khamhaeng), maka ku harap bangsa ini (Siam atau Thai) akan tersekat dan tidak melanda tanah bangsa Melayu (Semenanjung Tanah Melayu) seterusnya, agar kekallah bangsaku (Melayu) dan agamaku (Islam) zaman-berzaman”.

Setelah berakhirnya perang, pasukan khas Seri Wijayamala membantu rakan-rakan mereka yang tercedera dan membawa mereka pulang ke Grahi. Adruja adalah orang terakhir yang meninggalkan medan perang, ketika merah senja mewarnai langit di sebelah barat. Menurut catatan sejarah, peristiwa Adruja memenggal kepala Raja Rama Khamhaeng ini berlaku pada tahun 1317 Masihi.

ROMBONGAN SAMI BUDDHA

Beberapa bulan kemudian, datanglah rombongan dari negara Siam Sukhothai untuk menebus kembali kepala raja mereka. Rombongan tersebut terdiri daripada puluhan sami berjubah kuning pinang masak, berkepala botak, berkaki ayam sambil membawa 10 pedati berisi emas dan perak. Mereka memohon kepada Raja Sang Tawal untuk bertemu dengan Adruja.

Setelah Raja Sang Tawal tiba di halaman istana bersama Adruja, semua sami berkenaan berlutut lalu menyembah kedua-dua raja dan puteri tersebut. Ketua sami terus menyampaikan hasrat mereka. Setelah kepala Raja Rama Khamhaeng diberikan, mereka terus pulang ke negara Siam Sukhothai sambil meratap.

RUNTUHNYA GRAHI DAN KOTA GRAHI

Ketika saat kemangkatan Raja Rama Khamhaeng, puteranya yang bernama Loethai sedang berada di tanah besar China untuk menghadap Maharaja China. Alangkah terkejutnya Loethai setelah mengetahui ayahandanya mangkat dibunuh oleh seorang puteri Melayu. Setelah pulang ke tanah air, Loethai telah ditabalkan sebagai pemerintah yang baharu dengan gelaran Raja Loethai.

Meskipun mengalami kekalahan teruk, namun pihak Siam Sukhothai tidak pernah belajar dari kesilapan. Sebaliknya, Raja Loethai dan bangsa Siam (Thai) telah bersumpah akan menghapuskan seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka nekad mahu menjajah Grahi serta bumi Semenanjung demi menuntut bela di atas kematian Raja Rama Khamhaeng.

Setiap kali pasukan tentera dari kedua-dua belah pihak bertembung di medan perang, tentera Siam Sukhothai sentiasa mencabar pahlawan Melayu untuk beradu ketangkasan satu lawan satu di hadapan kedua-dua angkatan perang.

Adruja adalah individu yang sering dicabar keluar kerana pihak musuh sememangnya berniat mahu membunuh puteri tersebut demi menuntut bela di atas kematian bekas raja kesayangan mereka. Setelah pertarungan hebat satu lawan satu berakhir, hanya Adruja seorang sahaja yang tinggal dengan Kilatan berlumuran darah.

Setelah sekian lama bertahan dari serangan tentera Siam Sukhothai, akhirnya kerajaan Grahi dan Kota Grahi jatuh juga pada tahun 1325. Kekalahan tersebut menandakan bermulanya zaman pencerobohan bangsa Siam (Thai) di bumi Semenanjung Tanah Melayu.
. 
PELARIAN PERANG

Kejatuhan kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi telah memaksa Raja Sang Tawal berundur ke arah selatan. Pengunduran secara besar-besaran itu turut disertai oleh seluruh kerabat diraja Grahi, para menteri, panglima perang, rakyat jelata dan juga pasukan khas Seri Wijayamala.

Dari Kota Grahi, Raja Sang Tawal dan rombongan pelariannya telah berundur ke Merdalong. Setelah tiba di Merdalong, mereka menuju pula ke Sanjura. Ketika di Sanjura inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota di Langkasuka untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu.

Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Mahligai. Raja Sang Tawal dan seluruh ahli keluarganya telah berpindah ke Langkasuka lalu bersemayam di Kota Mahligai. Baginda telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka dan memerintah negeri tersebut selama 10 tahun.

Sebelum Raja Sang Tawal mangkat pada tahun 1335, baginda telah menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada salah seorang puteranya iaitu Raja Bharubhasa. Di bawah pemerintahan Raja Bharubhasa inilah, Langkasuka telah bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam dan semakin ramai penduduknya yang memeluk Islam.

Pada masa yang sama, Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta mencantas kepala Raja Rama Khamhaeng. Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung.
. 
RAJA PEREMPUAN KISARAN PAYUNG

Setelah kemangkatan Raja Sang Tawal pada tahun 1335, Adruja Wijayamala Singa telah ditabalkan sebagai pemerintah pertama di negeri Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung. Pusat pemerintahan negeri tersebut terletak di Kuala Krai (kini Jajahan Kuala Krai di Kelantan). Pasukan khas Seri Wijayamala turut tinggal bersama Adruja.

Dalam tempoh yang singkat, Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah di bawah pemerintahan Adruja. Baginda juga diberi gelaran 'Cik Siti Wan Kembang' oleh rakyat tempatan.

Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi satu gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut. Menurut sumber pensejarahan di negeri Kelantan, Adruja Wijayamala Singa ialah Cik Siti Wan Kembang yang pertama.

MANGKATNYA RAJA PEREMPUAN KISARAN PAYUNG

Selepas 10 tahun memerintah, Adruja Wijayamala Singa mangkat pada tahun 1345. Meskipun makam raja perempuan tersebut tidak pernah ditemui hingga ke hari ini, namun baginda dipercayai telah dimakamkan di sekitar Jajahan Kuala Krai di Kelantan. 

Adruja merupakan seorang ratu dara (the virgin queen) kerana baginda tidak pernah berkahwin seumur hidupnya. Ini sekaligus bermakna baginda tidak mempunyai waris keturunan. Oleh sebab itulah, Raja Bharubhasa iaitu saudara kandung Adruja yang juga merupakan Raja Langkasuka telah bertindak mengambil alih negeri tersebut.

Sebagai pemerintah yang baharu, Raja Bharubhasa mula menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah. Kemudian, baginda telah menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada saudara kandungnya yang bernama Raja Singhadiraja atau Raja Sulaiman. Kesultanan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kesultanan Kisaran Payung terus diperintah oleh keturunan Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah) selama beberapa generasi.

PASUKAN KHAS SERI WIJAYAMALA

Adruja Wijayamala Singa dipercayai merupakan satu-satunya puteri dan raja perempuan di Kepulauan Melayu atau Nusantara yang memiliki pasukan tentera khas wanita. Pasukan khas tersebut diberi nama Seri Wijayamala dan diketuai oleh Adruja sendiri. Pasukan khas Seri Wijayamala dianggotai 41 orang wanita yang terdiri daripada golongan hamba abdi, budak suruhan dan janda muda yang kematian suami di medan perang. Mereka mahir dalam ilmu ketenteraan, pandai bermain senjata dan menunggang kuda.
. 
KESULTANAN SERENDAH (SERI INDAH) SEKEBUN BUNGA ATAU KESULTANAN KISARAN PAYUNG

Adruja Wijayamala Singa (atau Cik Siti Wan Kembang I) merupakan pengasas Kesultanan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga (atau juga dikenali sebagai Kesultanan Kisaran Payung). Kesultanan ini berpusat di Kuala Krai (kini Jajahan Kuala Krai di Kelantan).

Ketika zaman pemerintahan Wan Kembang (atau Cik Siti Wan Kembang II), nama kesultanan tersebut telah ditukar kepada Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga Cerang Tegayung. Pada tahun 1766, kesultanan tersebut lenyap setelah Long Yunus mendirikan Kesultanan Kelantan Darul Naim. 
. 
GELARAN ‘CIK SITI WAN KEMBANG

Adruja Wijayamala Singa merupakan tokoh pertama yang menggunakan gelaran ‘Cik Siti Wan Kembang’. Menurut sejarah, penduduk Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga telah memberikan gelaran tersebut kepada Adruja sejurus selepas baginda ditabalkan sebagai Raja Perempuan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga.

Gelaran tersebut telah digunakan semula oleh Wan Kembang (1610-1667) - salah seorang keturunan Raja Bharubhasa (atau Sultan Mahmud Syah), iaitu saudara kandung Adruja. Tokoh yang bernama Wan Kembang ini telah dikenalpasti sebagai ‘Cik Siti Wan Kembang II' oleh golongan sarjana dan sejarawan.

AL-FATIHAH.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment