Wednesday, January 20, 2010

ORANG MELAYU PERTAMA MELAKAR PETA JOHOR

Dato’ Bentara Luar, Dato’ Muhammad Salleh Bin Perang tidak asing dalam sejarah Johor moden. Beliau ialah birokrat Johor yang bertanggungjawab dalam merancang pembangunan negeri Johor. Beliau dikurniakan Bintang Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) pada 3 Mac 1886 yang membawa gelaran “Dato Bentara Luar”.

Antara sumbangan beliau adalah pelukisan sebuah peta pembangunan negeri Johor. Peta itu menunjukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh negeri Johor. Ia juga menunjukkan bentuk muka bumi dan daerah-daerah di negeri itu. 

Inilah peta lengkap yang pertama sekali dilukis bagi sebuah negeri di Semenanjung Tanah MELAYU.

Semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis pada tahun 1868, beliau telah mempelajari ilmu mengukur tanah dengan Tuan Langley dan Tuan Major McCallum yang mahir dalam bidang tersebut. Beliau telah ditunjukkan satu alat pengukur “Gunter’s Chain” untuk mengukur tanah dan sungai. Daripada alat itu, beliau telah menggunakan kreativitinya dan mencipta pengukur yang sama diperbuat daripada rotan.

Dengan kemahiran mengukur itu, bersama anak-anaknya serta beberapa orang buruh kasar, beliau telah berjaya mengukur, membesar dan menyambung jalan utama di bandar Johor Bahru yang telah diberi nama “Jalan Tebrau” hingga ke Sungai Pandan, sejauh lebih kurang lapan batu.

Seterusnya, beliau cuba melakar rupa bentuk negeri Johor. Beliau telah melengkapkan peta tersebut dalam masa empat tahun dari 1874 hingga 1878. Peta itu pernah dibawa ke Royal Geographical Society di London dan diakui ketepatan ukuran peta tersebut oleh pakar-pakar di sana. Peta ini adalah peta lengkap negeri Johor yang pertama. Peta Johor yang dicipta oleh Muhammad Salleh adalah dalam tulisan Jawi.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment