Wednesday, January 20, 2010

SULTAN TERAKHIR KESULTANAN MELAYU JAMBI

Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin atau Raden Toha Jayaningrat, dilahirkan di Tanah Pilih jambi pada pertengahan tahun 1816. Ayahandanya adalah Al-Marhum Sultan Fahruddin atau Raden Fahruddin, Ibundanya adalah Al-Marhumah Syarifah Mariyam atau Raden Mas Mariyam. 

Al-Marhum adalah keturunan ke-17 dari Al-Marhum Ahmad Salim (Datuk Paduko Berhalo) dan Al-Marhumah Putri Selaras Pinang Masak. Al-Marhum belajar mendalami agama di Aceh dan ketika itu Belanda sudah menjadi musuh kepada MELAYU Islam. Al-Marhum mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memperjuangkan agama Islam. Dengan semangat dan tekad itu, Sultan Aceh ketika itu menyematkan nama imbuhan padanya, yakni “Saifuddin".

Nama itu diambil dari bahasa Arab yang bermakna 'Pedang agama’. Sejak saat itulah, Al-Marhum Raden Thaha mulai dikenali dengan nama Raden Thaha Saifuddin.

Apa yang saya suka mengenai Al-Marhum Sultan Thaha adalah beliau seorang yang mementingkan agama dan berjiwa rakyat. Al-Marhum sangat menekankan rakyatnya agar belajar membaca Al-Quran dan menulis bahasa arab. Al-Marhum walaupun seorang Sultan tapi dia sangat merendah diri
. 
Ketika Al-Marhum memerintah sebagai Sultan di Kerajaan Jambi, Beliau membatalkan kesemua perjanjian Sultan terdahulu bersama pihak Belanda, kerana segala perjanjian itu merugikan rakyat dan Kesultanan Jambi.

Al-Marhum tidak mahu tunduk kepada Belanda seperti Sultan terdahulu. Mendengar ketidakpuas hatian beliau, Belanda menghantar Residen dari Palembang untuk berunding dengan Al-Marhum agar mengakui Pemerintahan Belanda dan akui wilayah Kesultanan Jambi adalah pinjaman dan di bawah kekuasaan Belanda. 

Dengan tegas Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin menyatakan kepada Residen Belanda, Jambi adalah tanah kami, hak rakyat dari nenek moyang kami. Kami akan perjuangkan tanah ini hingga ke titisan darah kami yang terakhir. 

Maka beranglah Belanda dengan kedegilan Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin. Pihak Belanda melancarkan perang kepada Kesultanan Jambi pada Tahun 1858. Perang Belanda menentang Kesultanan Jambi berpanjangan. 

Pertempuran terus meluas hingga ke daerah-daerah di wilayah Jambi. Dalam peperangan panjang itu, Al-Marhun Sultan Thaha Saifuddin beserta pasukannya melakukan serangan gerila ke daerah Uluan tempat Belanda. Tujuannya adalah untuk menghindari dari kepungan musuh.

Berbagai taktik dilakukan dalam pertempuran itu. Dalam pertempuran sengit itu, Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin dan pasukannya sempat melumpuhkan pertahanan Belanda di Batang Asai. Selain itu, bersama pasukannya, dia juga berhasil menenggelamkan kapal perang Hotman milik Belanda.

Perang terus berlarutan dan Al-Marhum masih tidak mahu mengalah. Perperangan terhadap Belanda di bawah kepemimpinan Al-Marhum Sultan Thaha berpanjangan selama 46 tahun. Setelah perang demi perangan akhirnya pada 27 April 1904 di Betung Bedarah Jambi, Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin Syahid. Gugurlah seorang pejuang Agama bangsa dan tanah air yang berperang berpuluh tahun menentang kafir Belanda. Sebelum kewafatannya Al-Marhum tidak henti-henti melaungkan takbir. Dan pada saat itulah dia dijemput Allah. 

Al-Marhum gugur dalam peperangan itu, Pada usia 88 tahun sebagai Pejuang Bangsa. Walaupun Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin telah tiada, perjuangan melawan Belanda tidak terhenti sehingga di situ saja. Satu di antara pengikut setianya, Al-Marhum Muhammad Thahir, yang lebih dikenali dengan Raden Mattaher meneruskan perjuangan Al-Marhum Sultan Thaha Saifuddin dan memegang panji Kerajaan MELAYU dan rakyat Jambi.

Al-Marhum Raden Mattaher adalah seorang panglima perang yang dikenali dengan sebutan 'Singa Kumpeh' ini tidak membiarkan seorang pun tentera Belanda membuat kekacauan di negeri Jambi. Namun, setelah beberapa tahun berperang, akhirnya selepas 3 tahun menyambung perjuangan sultannya, beliau pun syahid pada Tahun 1907. Bissirril Al-Fatihah.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment