Berikut adalah transkrip temuramah dengan Dato' Meor pada awal tahun 1991, yang pita rakamannya disimpan oleh Cikgu Amin Hamzah, Ipoh Perak.
Temuramah ini dirakamkan semasa rombongan Cikgu Amin dengan pesilat Politeknik Ungku Omar melawat Dato' Meor di Taiping, lebih kurang enam bulan sebelum Dato' meninggal dunia.
“Dia(Blaise Loong) minta lawan Dato’. Dato’ sakit. Dia minta lawan. Cuba anak-anak fikir, Dato’ nak jalan, nak bangun pun tak larat. Tapi bila dia minta lawan…Dia sampai dari Amerika, di California. Dah tu Dato’ dok ada atas ni ha, dia dok atas tu. Dah tu Dato’ bacalah satu ayat dalam hati. Dato’ minta pada Allah Subhanahuwataala kekuatan kerana Dato’ dah tak larat. Dato’ baca, baca, dia naik rasa seram bulu roma, seram badan. Dia minta nak lawan, Dato’ tangkap dia, Dato’ humbankan dia. Dia jatuh di situ. Jatuh di kerusi. Ni, kerusi ini.
“Oh, my God!” dia kata, “I’m surprised!” Dia kata,”You sick but you still got strong. Where did the power come from?” Dato’ jawab, “God bless me.” Dia kalah. Dia sanggup masuk Islam. Dia mengucap dua kalimah syahadah.
“Lepas tu dia mengaku dia kata Dato’ kuat agama. Boleh humban dia. Dia enam kaki tinggi. Red Indian. Cowboy.
(Cikgu Kalsom: Dia nak datang ni, lagi dua hari. Dato’ bubuh nama Yusof)
“Lepas tu Dato’ ingat di Amerika, dah ada empat gelanggang. Dah ada gelanggang siap. Orang yang belajar dalam gelanggang tu agama Islam. Tapi macamana depa mengajar kita tak tahu. (Mengajar) Silat Seni Gayong. Satu gelanggang tu lima biji kapal terbang heli(helikopter) boleh turun. Boleh turun heli. Ada empat gelanggang. Dia minta (Dato’) datang. Dia minta Dato’ pergi Amerika.
Dato’ sekarang anak murid Dato’ semua sekali doakan Dato’, bagi Dato’ sihat. Elok juga kita kenalkan Gayong kepada dunia luar. Kerana apa, anak-anak tengok ni ha. Dato’ kecil hati, sebab itu Dato’ sakit. Orang yang bersumpah dengan Al-Quran, mengaku baca al-Fatihah, baca Tabbatyada, baca Qulhuwallah, dia orang mengaku taat setia tetapi dia orang tipu!”
“Dia orang pergi ke luar negeri, pergi mengembang Silat Gayong. Dia dapat sini punya wang RM7,000 sebulan. Dia satu sen tak bagi kat Dato’. Dia tak bagi tak apa, tapi dia pergi mengembang, dia minta kat Dato’ hukum. Orang Amerika kelmarin ni dia kata kalau Dato’ tak bagi hukum, dia tak mahu. Dia nak stop dah. Dato’ kata tunggu dulu. Dia nak datang sini. Setiausaha Agung tahan. Setiausaha Agung tak mahu bagi jumpa Dato’. Dia kata jumpa dia aja cukup. Dia buat macam Arab yang datang dulu. (Cikgu Amin: Arab yang kahwin budak KL - dia belajar tiga tahun) Arab tu datang 18 orang. Sebab nak jumpa Dato’ sangat.
“Where’s Mahaguru? We want to meet a Mahaguru.” Dia kata (S atauU Agung),”You better meet me.” Dia kata, “Mahaguru no time to contact you. He got a lot of works.” Jadi orang Arab tu tak dapat datang sini. Lapan belas orang. Jadi, Dato’ ingatkan kepada anak-anak Dato’ engkau orang ni bila betul kuat agama, tahu tak adat? Wallahi, Wabillahi, Watallahi, engkau orang sembah pendek aja, kita boleh terima seseorang masuk Silat Gayong. Kerana engkau orang tengoklah, anak murid. Dato’ ni alhamdulillah. Syukur pada Allah Taala Tuhan Yang Maha Kaya. Engkau orang datang jumpa Dato’, Dato’ apa ada, dah tua. Dato’ dah seventy seven. Tapi engkau orang datang. Alhamdulillah. Syukur. Doakan Dato’ bagi Dato’ sihat balik. Kalau dato’ sihat bolehlah. Dato’ nak dia orang datang. Nak datang. Dekat dah. Bila nak datang Datin? (Datin Faridah: Dua minggu dari sekarang. Sebelum puasa, lebih kurang sebulan lagilah.) Orang American.”
“Dato’ harap hangpa belajar betul-betul. Hangpa belajar betul-betul. Kalau Dato’ sihat, dato’ boleh curahkan ilmu ini kepada wakil Dato’, En. Amin(Cikgu Amin Hamzah). Dia boleh mengajar engkau orang. Faham tak? Engkau orang nak datang jumpa Dato’, kau orang datang ramai sekali, bolehlah. Engkau datang dua orang, ajak orang lain, tak boleh. Dato’ nak buat besar punya. Dato’ tengah mesyuarat dengan orang rumah Dato’. Hangpa belajar, no. 1 dalam Gayong ni, tak boleh derhaka. Semalam kalau tak salah dia orang cerita Hang Tuah kan? Dalam TV. Cerita Hang Tuah.
Dato’ tak mahu cerita kat hangpa banyak. Hang Tuah memang ada. Betul. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Kasturi. Hang Kasturi orang India. India Islam. Hang Lekiu Cina Islam. Hang Tuah orang Bentan. Depa mengaku satu guru. Adik-beradik. Jebat orang Bentan. Lagi orang yang kuat-kuat zaman dulu. Tun Biajid, Mat Kilau, Orang kaya Bahaman - Orang Kaya Semantan, Tok Gajah, Tok Janggut. Semua orang gagah-gagah, dulu-dulu. Depa dulu taat kepada guru depa. Dato’ bukan minta hangpa datang rumah Dato’ tu (Dato’)minta duit. Hangpa datang melawat Dato’, syukur kepada Tuhan. Megah. Murid aku datang. Apa yang ada pada Dato’ boleh kita makan. Betul tak? Jangan derhaka. Derhaka kepada guru tak boleh. (Derhaka kepada) Mak bapak tak boleh.”
“Hangpa percaya cakap Dato’. Gayong dapat sambutan la ni. Sebelum Dato’ ditakdirkan Allah panjang umur, tu alhamdulillah. Kalau Dato’ jadi sesuatu hal, hangpa rugi. Dato’ nak keluarkan Gayong ni biarlah round the globe. Dia punya ekor naga tu, daripada kepala sampai ke ekor, globe di tengah-tengah, dunia. Yang buat tu allahyarham Dato’ Onn, dengan Dato’, dengan bapak Dato’. Jadi, Gayong yang sebenarnya mengelilingi dunia. Hangpa nak certificate tu? Hangpa boleh hantar surat kepada Cikgu hangpa. Cikgu bagi nama kat Dato’, dengan I atauC number semua. Itu yang benar certificate Gayong. Ni yang benar punya, yang Dato’ sendiri turunkan tandatangan. Bapak Dato’, allahyarham Dato’ Onn.”
“Dato’ tunjuk cindai kelmarin, dekat orang putih tu. Dato’ tangkap dia, Dato’ ikat dia, macam anak kucing. Enam kaki tu (kena) tangkap macam anak kucing aja. Dia hairan. Dia kata kalau silat yang ni ada sampai Amerika, Dato’ pergi, Dato’ disambut setinggi-tingginya. Dato’ haraplah hangpa semua. Hangpa semua educated. Orang yang ada education, yang boleh mengembang Gayong. Boleh tahu, compare the different Silat Gayong. La ni banyak orang buat seni silat. Gayong pahat ada. Gayong besi berani. Lekat mati. Dato’ tengok, tengok. Dato’ gelak. Cuba panggil mahaguru dia. Lari mereka semua. Depa dapat Gayong pahat, pahat besi aja. Gayong Ghaib, depa tiru kita punya Silat Gayong. La ni hangpa kena betul-betul.”
“Ni yang benor punya certificate. Yang daripada datuk nenek Dato’ dulu. Orang dulu. Orang Bugis. Ini kalau engkau orang dapat, orang tak boleh kata tiru-tiru lagi. Ini dunia. Ini naga. Ekor dia dekat dengan mulut dia, bercantum. Dia round the world. Ini tongkat Nabi Allah Ishak. Ni pedang Zulfakar. Hangpa kena tahu semua. Gayong – Ga Alif Ya Wau Nga. Genggam Angkat Yang Waras Ngeri. Dia nak menakluk dunia. La ni kita Amerika dah sampai dah. Perancis sampai dah. Australia sampai dah". “Tapi hangpa, ayat-ayat yang Dato’ nak lawan orang putih tu, hangpa tak boleh. Kena pantang larang mahu kuat. Isim ni takut hangpa tak boleh pakai. Takut budak-budak gila lawan mak bapak. Itulah Samson. Dia orang dah karang cerita Samson (and Delilah).
Orang Arab dah nak gaduh sama sendiri. Tengok Arab, dia tolong Yahudi berapa banyak. Dia bagi satu hari 2 juta (USD). Bagi makan kepada orang putih. Suruh hentam orang Baghdad. Ada ke patut budak-budak dia orang nak dihentam dengan bom? Patut tak? Siapa yang bagi 2 juta satu hari? Raja Arab tu, dia bagi 2 juta satu hari makan. Ni nak mai banyak lagi ni. Dah sampai 4-5 juta(USD) satu hari. Kita pergi negeri Arab, bagi duit sedekah. Pergi untuk melawat makam Rasulullah. Dia senang-senang nak menjahanamkan negeri kita.
Hangpa suka dia hentam orang Islam? Kanak-kanak sampai mati, bergelimpang, tapi Presiden Bush cukup jahat punya orang. Sultan Arab ni dia degil sikit. Dia bagi la ni 2 juta. Dia akan tambah lagi dia kata sampai 5 juta. Five millions satu hari. Allah Ya Rabbi! Tapi Saddam Hussein orang yang cukup berani. Setengah inci pun dia kata bumi Arab dia tak bagi. Dia minta dekat Bush suruh kalau mahu buat perjanjian, orang Yahudi mahu keluar daripada Baitul Muqaddis. La ni berapa banyak orang Yahudi diambil dari Rusia? Berjuta-juta.
Dia nak isi banyak-banyak. Nak ambil dekat dengan Madinah. Madinah punya border. Depa cuba buat. Cuba kita fikir, hangpa fikir. Itukan tanah suci. Tanah Mekah Makatul Mukarramah. Kita tak patut sokong dia ni. Bush ni orang Kristian tau? Dia pakat dengan Yahudi. La ni kita orang Islam mesti bersatu. Jangan berpecah-belah. Kalau kita bersatu, insya-Allah. Mudah-mudahan. Cina nak lari balik China esok. India lari balik India. Tapi orang India sekarang ni dah kuat dah, very powerful. Kita orang MELAYU bersatulah. Mudah-mudahan. Banyak isim untuk diberi dekat hangpa.”
Bissirril Al-Fatihah
Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment