Oleh kerana sekarang banyak pihak yang sedang hangat memperkatakan mengenai peristiwa kemusnahan salah satu Candi Melayu Purba di Kedah maka saya tergerak hati untuk menulis sedikit ulasan yang ada kaitan tentangnya. Mengenai Candi tersebut serta candi-candi lain yang terdapat di Lembah Bujang terdapat sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan telah cuba untuk mengubah fakta sejarah. Saya tidak perlu menyebut pihak mana tetapi saya pasti para pembaca semua sudah sedia maklum akan hal tersebut.
Apa yang pelik adalah mengenai klaim mereka yang mengatakan bahawa candi-candi tersebut adalah dibina orang orang Tamil pada zaman serangan Chola. Bagi saya ini adalah satu kisah rekaan yang tidak benar. Mereka seolah-olah tiada isu lain yang mahu dimainkan dan setiap kali sesuatu perkara yang berkaitan dengan sejarah dan budaya Hindu di negara ini disentuh , pasti nama Raja Chola akan digunakan. Padahal ahli sejarah menyatakan bahawa serangan Raja Chola bukanlah berbentuk penjajahan tetapi lebih kepada penjarahan harta benda dan kekayaan kerajaan-kerajaan dibawah federasi Empayar Sriwijaya. Malahan ada sejarawan yang percaya penyerangan tersebut tidak pernah berlaku dan hanyalah propaganda kerajaan Chola untuk menaikkan prestij mereka. Hal ini disahkan dengan catatan dari pengembara China sendiri.
Seperti yang disebut oleh Cik Srikandi sebenarnya pelan layout candi tertentu di Lembah Bujang itu adalah berbeza dengan candi atau kuil yang terdapat di Tamil Nadu, Orissa atau Kerala. Bahan yang digunakan untuk pembinaannya juga tidak sama. Kebanyakan kuil-kuil di India selatan tidak diperbuat daripada batu-bata bakar sebaliknya ia dibina dari potongan-potongan batuan gunung seperti batu kapur, laterit dan granit. Saya pernah menonton satu dokumentari beberapa tahun dahulu mengenai pembinaan kota Cholapuram pada masa kegemilangan kerajaan Chola.
Teknologi pembinaan yang ditunjukkan memang menkjubkan terutama dalam memasang puncak kuil yang terpahat dari batu solid, tetapi melalui dokumentari itu juga kita dapat lihat dengan jelas senibina kuil masyarakat Chola dengan candi-candi yang terdapat di Lembah Bujang adalah amat berbeza. Semua binaan di Lembah Bujang dibina oleh rakyat tempatan dengan unsur-unsur senibina tempatan. Malah tidak dijumpai sebarang inskripsi Tamil di candi berkenaan yang mengesahkan bahawa ia Candi Chola. Malahan catatan Arab serta China tidak pernah menyatakan bahawa penduduk Kedah tua sama seperti penduduk Chola atau diperintah orang Chola.
Jika kita meneliti Hikayat Merong Mahawangsa, maka kita akan mendapat clue siapa sebenarnya yang pernah singgah di pelabuhan Lembah Bujang dan siapakah yang pembina Candi-candi tersebut. Keunikan candi Lembah Bujang sebenarnya adalah rekabentuknya yang hampir sama dengan rekabentuk atau layout kuil-kuil masyarakat Greek atau Yunani kuno. Diceritakan dalam Hikayat Merong Mahawangsas bahawa terdapat satu pasukan laut tentera Rom belayar ke China, lalu terkandas di Kedah. Dalam hikayat ini juga ada menyatakan tentang watak "Garuda" yang berhubung dengan Nabi Sulaiman A.S. Jika kita cuba untuk aplikasikan Rom dalam hikayat ini sama seperti Rom dalam sejarah moden maka kisah ini mungkin akan jadi kisah dongeng. Lagi pening jika kita cuba memasukkan Nabi Sulaiman dalam kisah ini kerana zaman kedua-duanya adalah berbeza jauh sekali.
Jadi siapakah senenarnya orang Rom yang dimaksudkan oleh penulis hikayat ini? Dipercayai yang dimaksudkan sebagai orang Rom disini sebenarnya adalah orang orang Yunani atau Greek. Hal ini kerana kawasan wilayah penempatan mereka malah asas tamadun dan kebudayaan mereka hampir sama dengan Rom. Malahan tamadun Rom lah yang telah menawan dan menenggelamkan tamadun Yunani. Berkemungkinan semasa hikayat ini ditulis si penulis menulis orang Yunani sebagai orang Rom kerana pada zaman itu negeri-negeri Yunani telahpun ditawan Rom dan menjadi warga Rom. Jika dilihat pada tarikh kewujudan tamadun Yunani juga ianya adalah bertepatan dengan anggaran tarikh pemerintahan Nabi Sulaiman di Baitul Muqaddis.
Oleh sebab itu terdapatnya beberapa candi di Lembah Bujang yang mempunyai layout seperti kuil dewa-dewi Yunani dan ini bukanlah suatu kebetulan. Banyak bukti-bukti yang dapat menyokong hipotesis ini seperti yang telah saya sebutkan tadi yakni orientasi candi itu sendiri yang menghadap ke arah Timur sama seperti kuil Yunani. Kebanyakan kuil-kuil Hindu pula sebenarnya menghadap ke arah Barat seperti yang banyak kita boleh lihat di Jawa Barat. Jika kita lihat pada candi-candi di Lembah Bujang juga kita akan dapati terdapat banyaknya lubang-lubang bekas tempat tiang yang telah tiada. Tiang –tiang ini dibina di sekeliling halaman dewan hadapan candi-candi tersebut sama seperti pembinaan tiang-tiang pada kuil Yunani purba.
Kewujudan catatan daripada Claudius Ptolemius seorang Greek tentang keberadaan sebuah Semenanjung yang diberi nama Semenanjung Emas juga memberikan kita satu petunjuk bahawa berkemungkinan maklumat mengenainya diperolehi turun temurun daripada nenek moyangnya yang pernah terkandas di kaki Gunung Jerai suatu ketika dahulu. Namun demikian memang kita tidak boleh nafikan pernah wujud hubungan dagangan antara dunia Melayu dengan benua India.
Tetapi kedatangan orang orang India ke Kedah tua adalah beratus-ratus tahun selepas peristiwa kedatangan orang Greek. Kita boleh membuat hipotesis bahawa atas sebab-sebab tertentu, kawasan kaki Gunung Jerai ini ditinggalkan oleh orang orang Yunani yang membina kuil-kuil tersebut. Sama ada balik ke Greece atau berkahwin dengan orang tempatan dan berpindah ke negeri lain wallah hu’alam. Lebih kurang 500 tahun kemudian datang orang orang dari India dan mereka membaik pulih kuil-kuil Yunani tersebut lalu mengubah suainya menjadi kuil Hindu Sivalingga. Berkemungkinan juga yang mengubah suai kuil-kuil ini bukan orang dari India tetapi masyarakat tempatan sendiri semasa datangnya pengaruh agama Hindu dan Buddha. perkara me-recycle rumah-rumah ibadat ini memang sentiasa berlaku dalam sejarah masyarakat di seluruh dunia.
Lihat sahaja di Turki dimana banyak gereja zaman Bayzantine diubah menjadi Masjid tanpa merosakkan binaan asasnya. Lihat juga masjid-masjid di Al Andalus Sepanyol yang diubah menjadi Gereja. Di India juga berlaku perkara yang sama pada zaman pemerintahan Moghul. Hal ini dapat dibuktikan kerana struktur asas kebanyakan candi di Lembah Bujang adalah lebih besar dan lebar berbanding struktur diatas yang dibina kemudian. Jika kita dapat menemui bukti-bukti yang lebih kukuh seperti artifak-artifak zaman Yunani kuno di tapak Lembah Bujang, maka hipotesis ini akan menjadi semakin kukuh. Dengan demikian kita akan dapat mengesahkan peristiwa yang dikisahkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa dan dapat menangkis tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak wujudnya bangsa dan tamadun Melayu sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka.
No comments:
Post a Comment