Thursday, February 4, 2010

MISTERI BANGSA NAGA

Kali ini kita akan membincangkan mengenai bangsa Naga yang menjadi lagenda dalam masyarakat Hindu-Buddha dan dunia amnya. Dalam artikel ini kita akan lihat siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bangsa Naga dan adakah mereka benar-benar wujud.

Mula-mula kita cuba hadamkan satu teori ini dahulu. Teori ini adalah penelitian saya daripada sebuah teori yang diketengahkan oleh cendekiawan dari India bagi membuktikan bahawa penaklukan Aryan itu tidak berlaku atau ianya berlaku dalam konteks yang berbeza dari pemahaman kita sekarang. Apa yang menariknya tentang teori ini adalah ia juga mengiyakan kewujudan Sundaland dan satu kaum yang misteri dari sana. Cuma Sundaland yang dimaksudkan mereka adalah lebih besar hingga bercantum diantara benua India dan Nusantara.


Menurut teori ini  pada zaman dahulu sebenarnya tidak wujud etnik Aryan dan Dravidian kerana kajian genetic terbaru membuktikan yang mereka berasal dari leluhur yang sama sahaja. Yang berbeza hanyalah bahasa dan budaya mereka. Hal ini membuktikan teori penyebaran para pengikut Nabi Nuh as yang menaiki bahtera bersamanya. Dari leluhur yang sama inilah bermulanya bangsa-bangsa awal di India dan Iran. Kaum yang bermastautin di sekitar Iran yakni keturunan anak-anak Sam menjadi kaum yang berbudaya dan berbahasa Aryan manakala yang sampai ke benua India yakni keturunan anak-anak Ham menjadi kaum-kaum purba India yang misteri termasuklah kaum Naga. 


Kemudiannya berlaku penghijrahan keturunan anak Sam ke utara India dan hal ini menyebabkan penduduk utara India keturunan Ham menerima pengaruh bahasa Aryan yang kemudiannya membentuk bahasa Sanskrit, manakala yang selatan tidak. Aryan menurut teori ini adalah suatu kelompok bahasa dan budaya sahaja dan bukan genetik dan lagi bangsa-bangsa India purba ini. Leluhurnya adalah berasal dari kaum yang datang dari Sundaland. So senang cerita pengkajian ini mengaku yang asal usul mereka juga dari satu kaum misteri dari Sundaland. Namun teori ini kurang popular dikalangan masyarakat India sendiri apatah lagi dunia.


Tetapi menurut teori ini, manusia awal bermula di kawasan sungai Jordan dan dari situ mereka ke Sundaland. Saya tidak yakin tentang perkara ini kerana saya tidak jumpa akan rujukannya namun jika kita berpandukan teori Al Hind, Nabi Adam as diturunkan di Al Hind dan bukan Jordan tetapi anak atau cucunya yang pergi ke Asia Barat yakni Mesir dan sekitar Palestin untuk mengembangkan tamadun. Mungkin bukti-bukti yang mereka jumpa itu adalah tinggalan dari anak dan cucu Nabi Adam as sebelum banjir Nabi Nuh as.


Satu lagi perkara menarik adalah kaitan antara kaum misteri dari Sundaland ini dengan kaum Maya di Amerika Selatan. Menurut seorang pengkaji India dalam Mahabrata ada menyatakan tentang kaum Maya yang dikatakan merupakan salah satu puak yang sama dengan kaum Naga. Kaum Maya ini juga pernah tinggal di benua India dan Sundaland seperti kaum Naga dan mereka dikatakan telah meninggalkan benua India pada satu masa yang tidak diketahui. Menurut mereka lagi, satu bukti bahawa kaum Maya dan Naga adalah dari jurai yang sama adalah dengan penemuan satu teks berbahasa Sanskrit di Yucatan, Mexico.


Selain kaum Maya masih ada lagi satu kaum yang ada kaitan dengan bangsa misteri ini. Di Amerika ada satu puak Indian yang mempunyai sejarah yang amat misteri. Puak ini terkenal dengan tarian atau ritual ular mereka. Sejak dari awal lagi, ritual tersebut mendapat perhatian pendatang-pendatang Eropah awal di Amerika. Puak yang saya maksudkan adalah puak Hopi Mesas di Arizona. Pada setiap bulan ogos, penari atau pengamal ritual ini akan memegang dan meletakkan ular-ular yang berboleh di seluruh badan mereka. Malah ada yang dikatakan meletakkan ular berboleh ini didalam mulut mereka. Tarian ini ditarikan bertujuan untuk memohon hujan bagi mengairi tanaman mereka. Sebenarnya dari kajian yang dibuat di dapati bahawa ritual ini berasal dari luar Amerika dan bukan asli milik puak Hopi. Ada yang mengatakan bahawa ia berasal dari India. Namun senenarnya ia berasal dari tradisi Naga yang bukan sahaja ada di India malah seluruh dunia.


Satu perkara yang amat menarik adalah mengenai mitos asal usul kaum Hopi yang dapat memberikan kita klu tentang asalnya tarian ular tersebut. Menurut lagenda kaum ini, leluhur mereka datang dari sebuah tanah yang kemudiannya telah di tenggelami air. Nenek moyang mereka berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki perahu atau rakit yang dibuat daripada jerami dan hanyut hingga ke muara sungai Colorado dan mereka mendarat di lembangan sungai tersebut. Terdapat kemungkinan yang besar bahawa sebelum mereka ampai ke lembangan sungai Colorado leuhur mereka telah singgah di kepulauan pasifik seperti Fiji. Terdapat banyak persamaan diantara ritual dan kebudayaan serta kepercayaan puak Hopi dengan orang Fiji. Namun saya tidak akan membincangkan semuanya di sini. Di Fiji terdapat satu binaan berbatu yang dijadikan tempat untuk menjalankan ritual cukup umur bagi kanak-kanak lelaki. Perkara yang menariknya adalah tempat berbatu ini dipanggil Naga atau Nanaga.


Dalam satu lagi lagenda Hopi. Terdapat satu cerita mengenai seorang pemuda bernama Tiyo yang mengembara di lautan luas lalu berjumpa dengan satu puak yang memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit ular. Dikatakan bahawa puak ini telah mengajar Tiyo cara untuk menjalankan ritual memohon hujan. Berkemungkinan besar puak yang dijuampai Tiyo adalah puak Naga yang misteri tersebut. Adakah kisah misteri Tiyo ini ada kaitan dengan pengembaraan seorang pelayar Mesir yang terdampar di pulau misteri dalam The Shipwreck Sailor? Tiada siapa yang tahu. Sebenarnya banyak perkataan dalam budaya Hopi mempunyai kata akar yang bermula dari perkataan Naga. Antaranya adalah perkataan nga’at yang bermaksud akar kayu ubat yang mempunyai kesaktian menyembuh. Manakala perkataan nakwa pula bermakna sejenis topeng dan topi yang mempunyai bulu burung yang dipakai ketika ritual suci. Simbolisme ini sama dengan konsep Naga atau ular dalam masyarakat Mesoamerica yakni The Feathered Serpent.


Dalam masyarakat Polynesia, ada lagenda tentang para pelayar dari luar yang datang kepada mereka. Menurut lagenda Rapa Nui, para pelayar ini kesemuanya mempunyai cuping telinga yang panjang. Thor Heyerdahl menyatakan bahawa, kaum bangsawan dan pemerintah suku Inca sengaja memanjangkan cuping telinga mereka untuk membezakan diri mereka dari rakyat biasa. Dipercayai bahawa tradisi ini adalah tradisi kaum misteri tersebut. Cuba kita perhatikan adakah tradisi ini wujud di Nusantara. Sudah semestinya ada malah sangat banyak. Jika kita dapat perhatikan masyarakat Champa dan Funan juga mengamalkan tradisi memanjangkan cuping telinga walaupun mereka bukan beragama Buddha. Selain itu kita boleh lihat tradisi ini di Borneo yang diamalkan oleh puak-puak tertentu termasuklah puak Iban yang kesemuanya adalah Austronesia dan Melayu Proto! Jika kita lihat pula pada Moai atau patung besar nenek moyang yang terdapat di Easter Island maka juga di dapati bahawa patung-patung ini kesemuanya mempunyai cuping telinga yang panjang. Ini adalah bukti dan klu yang menunjukkan bahawa kaum Naga atau Austronesia adalah leluhur mereka, yang datang dari Sundaland setelah banjir besar Nuh


Dalam terjemahan epic Ramayana oleh Van Buitenen ada menyatakan tentang kewujudan suatu bangsa yang amat misteri beribu-ribu tahun dahulu di benua India dan Asia Tenggara. Kewujudan kisah mengenai bangsa ini dalam Ramayana dan Mahabrata serta kitab-kitab vedas menunjukkan bahawa bangsa Naga adalah bangsa purba.


“dan apabila Indra menurunkan hujan maka dimana-mana di bumi dipenuhi dengan air ….mereka kemudiannya datang ke pulau yang dikelilingi laut….maka bertaburanlah bunga-bungaan ke atas ular-ular (Naga) yang tinggal di pulau itu”


Daripada petikan tersebut apa yang dapat kita simpulkan adalah kaum Naga ini adalah bangsa pelaut atau kelautan. Makna Naga atau serpent dan snake itu sendiri dalam bahasa Inggeris mempunyai kaitan dan pembayang yang kuat mengaitkannya dengan kaum Austronesia. Kultus mendewakan ular atau makhluk seperti Naga sudah berakar umbi dalam masyarakat Austronesia sejak beribu-ribu tahun lamanya. Para pengkaji mitos Naga berpendapat bahawa perkataan Naga itu telah digunakan dalam agama Hindu dan seterusnya mempengaruhi mithologi Hindu mengenai Naga berkepala lima yang berasal dari mitos Hydra Greek. Apa yang menariknya, menurut Kern bahawa kebanyakan Naga yang disembah atau dijadikan kultus oleh orang Austronesia adalah Naga betina. Hal ini berbeza dengan Long orang China dan Naga Hindu-Buddha.


Kalau kita meneliti petitih-petitih kuno dan hikayat-hikayat lama, maka kaum ini dikatakan sebagai sejenis makhluk yang tinggal di dalam air dan boleh menjelma menjadi manusia. Di mana logiknya perkara ini? Adakah mereka benar-benar makhluk yang tinggal di dalam laut, atau sebenarnya mereka adalah manusia yang tinggal sebahagian besar daripada hidup mereka di atas air sepertimana masyarakat orang laut atau Melayu Proto seperti orang Bajau laut dan masyarakat orang laut di pulau-lulau Andaman dan di Johor? Seperti yang saya sebut dalam artikel sebelum ini bahawa ini semua propaganda sejarah yang sengaja ditulis untuk menggambarkan sikap, sifat dan kelakuan serta budaya sesuatu masyarakat atau suku bangsa pada zaman dahulu. Sebab itu mereka digambarkan sedemikian rupa.


Sebahagian kehidupan mereka adalah di laut dan mereka juga mungkin mempunyai kultus menyembah dewa Naga dan ular air yang kemudiannya menjadi pakaian raja-raja dan pawang mereka. Apabila terdapat orang asing yang melihat mereka berpakaian sebegini sudah tentu mereka akan mengaggap mereka adalah keturunan Naga atau Ular seperti dalam The Shipwreck Sailor. Hal ini dapat dibuktikan dengan headgear masyarakat Melayu Polinesia yang memang adalah masyarakat kelautan dimana terdapat lukisan yang dilakarkan oleh seorang pengembara barat. Mahkota raja masyarakat tersebut sama seperti kepala ular yang besar seperti ular tedung. Di India masyarakat yang digelar bangsa Naga ini akhirnya hilang sedikit demi sedikit, namun ada diantaranya yang masih kekal tetapi tidak lagi digelar sebagai bangsa Naga sebaliknya sebagai bangsa Danavas. Apa yang menariknya adalah bangsa Danavas dikatakan berkembang ke luar India dimana dalam masyarakat Celtic dan German kuno ia dipanggil sebagai Danu yang bermaksud sungai atau Dewi ibu. Banyak sungai-sungai di Eropah barat dinamakan dengan Danu atau Danube.


Dalam lagenda Ireland terdapat satu puak dari luar yang datang ke Ireland untuk menguasainya. Mereka ini dinamakan Tuatha Dé Danann yang bermaksud orang orang dewi Danu. Dikatakan bahawa di Ireland terdapat kultus penyembahan ular dan tradisi bertatu pada zaman kuno. Namun demikian setelah Kristian mula bertapak, puak ini lenyap begitu sahaja. Dalam lagenda Kristian Ireland pula, Saint Patrick yang membawa agama Kristian ke Ireland dikatakan sebagai pembunuh ular-ular. Masyarakat Ireland percaya bahawa ular tidak wujud di sana sekarang kerana telah dibunuh oleh Saint Patrick. Namun demikian menurut saintis sebenarnya ular memang tidak pernah wujud di Ireland sejak zaman purba lagi. Jadi ular manakah yang dihalau dan dibunuh oleh Saint Patrick semasa dakwah Kristiannya di Ireland. Adakah ular itu melambangkan puak penyembah Naga? Berkemungkinan begitulah. Bahkan bukan sahaja hinggga ke Ireland, lagenda tentang makhluk misteri yang melambangkan satu bangsa ini juga dipinjam oleh masyarakat China purba. buktinya adalah dalam masyarakat China sebelum wujudnya istilah Long yakni Naga telah wujud satu kultus penyembahan dewi penciptaan. Nama dewi tersebut memberi klu bahawa ia bukan berasal dari China dan namanya adalah Neu-Kua atau Nu-Gua. Dipercayai Neu-Kua adalah pinjaman daripada perkataan Naga. Apa yang menariknya, Dewi Neu-Kua digambarkan sebagai separuh wanita cantik dan separuh Ular Naga.


Satu perkara penting tentang masyarakat Austronesia yang boleh membuktikan bahawa mereka adalah keturunan puak-puak Naga yang telah hilang adalah mengenai kewujudan simbol Ular dan peranannya dalam masyarakat ini. Mengapa ianya menarik adalah kerana Ular terdapat dalam kesenian dan lagenda masyarakat di sebelah Timur Polinesia seperti Hawai, Aotearoa (New Zealand), Tahiti dan Rapa Nui dimana tepat-tempat ini memang tidak pernah wujud ular.


Dalam masyarakat Austronesia lakaran atau ukiran yang menggambarkan ular telah wujud sejak sebelum masihi lagi. Ini menunjukkan bahawa budaya penghormatan terhadap Ular dan Naga dalam masyarakat ini adalah lebih tua dari masyarakat Aztec dan Mayans namun karakteristik Ular Naga dalam dua budaya ini adalah hampir sama.  Selalunya Ular Naga yang dipanggil Taniwha dalam bahasa Maori dan Kiha dalam bahasa Hawai digambarkan mempunyai tangan dengan 3 hingga 4 jari, tinggal di dalam air dan mempunyai mulut seolah-olah paruh burung. (Peliknya seorang nenek yang saya kenal semasa saya bersekolah rendah pernah bercerita kepada saya bahawa pada masa banjir besar tahun 1970-an dia dan keluarganya pernah melihat Naga di sekitar tasik Chini. Digambarkan bahawa Naga itu mempunyai paruh seakan-akan ayam atau burung).


Dalam lagenda mereka Ular Naga biasanya boleh berubah rupa dan boleh menjadi baik atau jahat. Dalam masyarakat Maori adalah perkara biasa untuk melihat ukiran Ular Naga di tiang Marae atau rumah pertemuan puak. Mereka juga percaya mereka dilindungi oleh Taniwha. Di Filipina budaya yang sama juga dapat dilihat dalam masyarakat Mindanao yang mengukir bentuk Naga di tiang-tiang rumah mereka. Dalam masyarakat Hawai pula Kiha atau Ular Naga selalu dilihat pada lukisan-lukisan piktograf mereka. Salah satu penjaga atau penunggu bagi Raja Kamehameha juga di sebut sebagai Kiha Wahine yang bermakna Betina Naga. Dewi ini dikatakan memakai pakaian atau kain sarong yang berwarna hijau dan badannya seperti wanita cantik. Para pawang wanita yang menjadi penjaga kuil dewi ini tidak dibenarkan memakai pakaian hijau apabila memasuki kuil dewi tersebut. Pawang utama dewi ini dikatakan dapat meramal masa depan malah dapat bertukar wajah dan bentuk seperti dewi tersebut. Ciri-ciri dewi ini sebenarnya bukan asing bagi masyarakat Austronesia. Jika kita perhatikan Dewi ini mungkin ada persamaan dengan Dewi lautan selatan masyarakat Jawa yakni Nyi Roro Kidul yang mempunyai badan separuh Ular besar dan separuh wanita cantik yang juga berwarna hijau. Rupa bentuk dewi ini lebih kurang sama seperti dewi Neu-Kua yang telah kita bincangkan tadi.


Daripada perbincangan ini kita tahu bahawa terdapat satu budaya misteri yang dikongsi oleh tamadun-tamadun hebat di dunia seperti India dan China. Budaya ini adalah budaya penyembahan atau penghormatan terhadap Naga. Pengkaji India sendiri percaya bahawa suatu masa dahulu wujud satu bangsa yang bernama Naga pernah tinggal di India. Adakah misteri mengenai bangsa ini telah terjawab semuanya? Sudah tentu tidak. Masih banyak lagi yang kita tidak tahu tentang bangsa purba yang misteri ini.



No comments:

Post a Comment