Tuesday, August 9, 2016

KISAH SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI DENGAN ISTERI

Telah diceritakan di dalam sebuah riwayat: Pada suatu hari, isteri-isteri Syeikh Abdul Qadir  al-Jilani bertemu dengannya dan berkata: “Wahai suami kami yang terhormat, anak lelaki kecil kita telah meninggal dunia. Namun kami tidak melihat setitik air mata pun yang mengalir dari mata kekanda dan tidak pula kekanda menunjukkan tanda kesedihan. 

Tidakkah kekanda menyimpan rasa belas kasihan kepada anak lelaki kita, yang merupakan darah daging kekanda sendiri? Kami semua sedang dirundung kesedihan, namun kekanda masih juga meneruskan pekerjaan kekanda, seolah-olah tiada sesuatu pun yang terjadi. Kekanda adalah pemimpin dan pelindung kami di dunia dan di akhirat. Tetapi jika hati kekanda telah menjadi keras sehingga tiada lagi menyimpan rasa belas kasihan, bagaimana kami dapat bergantung kepada kekanda di Hari Pembalasan kelak?”

Maka berkatalah Syeikh Abdul Qadir al-Jilani: “Wahai isteri-isteriku yang tercinta! Janganlah kamu semua menyangka hatiku ini keras. Aku menyimpan rasa belas kasihan di hatiku terhadap seluruh makhluk, sampai terhadap orang-orang kafir dan juga terhadap anjing2 yang menggigitku. Aku berdoa kepada Allah agar anjing2 itu berhenti menggigit, bukanlah kerana aku takut digigit, tetapi aku takut nanti manusia lain akan melempar anjing2 itu dengan batu. Tidakkah kamu mengetahui bahwa aku mewarisi sifat belas kasihan Rasulullah s.a.w, yang telah diutus Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam?”

Maka wanita-wanita itu berkata pula: “Kalau benar kekanda mempunyai rasa belas kasihan terhadap seluruh makhluk Allah, sampai kepada anjing-anjing yang menggigit kekanda, kenapa kekanda tidak menunjukkan rasa sedih atas kehilangan anak lelaki kita yang telah meninggal ini?”

Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pun menjawab: “Wahai isteri2ku yang sedang berduka, kamu semua menangis kerana kamu semua merasa telah berpisah dari anak lelaki kita yang kamu semua sayangi. Tetapi aku sentiasa bersama dengan org2 yang aku sayangi. Kamu semua telah melihat anak lelaki kita di dlm satu ilusi yg disebut dunia. Kini, dia telah meninggalkannya lalu berpindah ke satu tempat yang lain. 

Memang dunia ini adalah satu ilusi, untuk mereka yang sedang terlena. Tetapi aku tidak terlena – aku melihat dan waspada. Aku melihat anak lelaki kita sedang berada di dalam bulatan masa, dan kini dia telah keluar darinya. Namun aku masih dapat melihatnya. Dia kini berada di sisiku. Dia sedang bermain-main di sekelilingku, sebagaimana yg pernah dia lakukan pada masa lalu. Sesungguhnya, jika seseorang itu dapat melihat kebenaran melalui mata hatinya, sama dengan yang dilihatnya masih hidup ataupun sudah mati, maka kebenaran itu tetap tidak akan hilang.”

No comments:

Post a Comment