Penyertaan hati atau hudhurul qalb adalah tumpuan perhatian terhadap apa yang diucapkan atau dilakukan dan hati tidak 'menerawang' ke arah lain. Penuh kesedaran tentang apa yang diucapkan dan semua gerak yang dilakukan dalam solat. Fikiran tidak melayang ke tempat lain, fikiran hanya tertumpu kepada perbuatan dan apa yang diucapkan saja. Apabila semuanya terpusat pada solat maka ini bermakna hati batin telah menyertai solat dari awal sampai memberi salam. Penyebab dari hudhurul qalb ialah himmah (perhatian yang sepenuhnya dan tekad kuat untuk mencapai suatu cita-cita yang tinggi). Hati akan selalu mengikut himmah.Datangnya himmah hanya pada tempat-tempat yang diberikan sepenuh perhatian.
Apa saja urusan yang menarik perhatian, tentu hati akan hadir di situ. Memang itulah sifat sejati himmah. Bila hati batin menyertai dalam solat, tidaklah bererti hati itu kosong (atau tidak ada perkara yang terlindung di dalam hati), dalam hal ini tentulah hati batin itu sedang menumpukan perhatian pada munajat dan doa yang diucapkan dalam solat.
Oleh sebab itu, tidak ada cara lain untuk membawa hati batin dalam solat, hanya dengan cara membawa himmah ke arah solat. Akan tetapi himmah itu tidak akan menuju kepada solat, selagi tidak timbul kesedaran bahawa tercapainya tujuan utama hidup bergantung pada solat. Di situlah letaknya iman dan kepercayaan bahawa akhirat adalah lebih utama dan solat adalah wasilah (sebagai alat dan usaha) untuk menuju akhirat. Setelah timbul kesedaran ditambah pula dengan pengetahuan betapa remehnya dunia, maka kesannya hati batin akan khusyuk kepada Allah s.w.t.
Sebagai contoh, bila seseorang berhadapan dengan pegawai tinggi kerajaan atau menteri (sebagai perbandingan) hati hadir ketika itu, pada hal mereka itu (pegawai tinggi atau menteri) tidak mampu memberi manfaat untuk akhirat atau menimpa suatu mudarat, mengapa hati hadir bila berhadapan dengan mereka?
Hati batin tidak serta ketika munajat dengan Allah s.w.t dalam solat, adalah disebabkan oleh lemahnya iman. Allah yang menguasai seluruh kerajaan langit dan bumi dan yang memberi manfaat serta mudarat, hendaklah sentiasa dalam ingatan. Solat tanpa penyertaan hati batin bermakna solat yang kosong. Dengan kata lain solat yang tidak bernyawa. (Kitab Kesilapan Ketika Solat, Karya Imam Al-Ghazali, Diterjemah oleh Ustaz Hj Mohd Shahkafli An-Nadwi).
No comments:
Post a Comment