Sunday, January 24, 2016

IKUTILAH RASULULLAH S.A.W (AKHLAK MUHAMMADI)

Al Hasan ibn Ali r.a bercerita: Saya bertanya bapa saudara saya Hindun ibn Abi Halah r.a yang berkeahlian dalam meriwayatkan sifat Rasulullah s.a.w: "Ceritakanlah kepada saya cara Rasulullah s.a.w berbicara." Beliau berkata: "Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sentiasa bersedih (kerana menyaksikan kebesaran Tuhannya dan takut kepadaNya bukan kerana dunia). Baginda s.a.w selalu berfikir (tentang kemaslahatan hamba-hamba Allah dan keadaan mereka pada hari Akhirat) bahkan hampir tidak sempat berehat. Baginda s.a.w lebih banyak berdiam, Baginda s.a.w tidak suka berbicara mengenai perkara yang tidak perlu. Baginda s.a.w membuka dan menutup perbicaraannya dengan menyebut nama Allah. Perbicaraannya padat dengan makna sekalipun ringkas, kata-katanya jelas, tiada yang sia-sia atau berlebih-lebihan dan tiada pula yang kurang difahami.

Baginda s.a.w tidak bersikap kasar dan tidak pernah menghina. Nikmat Allah dibesarkannya walaupun hanya sedikit dan tidak pernah sesekali mencela kurniaanNya. Baginda s.a.w tidak pernah mencaci makanan dan minuman, mahupun memujinya. Tidaklah dunia menjadikannya marah dan tidak pula Baginda s.a.w marah kerana dunia. Namun, jika suatu kebenaran dilanggar, maka tidak ada sesuatu yang dapat menahan kemarahannya hinggalah Baginda s.a.w dapat memenangkan atau menegakkan kebenaran itu. Baginda s.a.w tidak akan marah kalau hanya kerana dirinya dan tidak akan meminta pembelaan untuk urusan peribadi. Apabila Baginda s.a.w menunjuk kepada (sesuatu), Baginda s.a.w akan menunjuknya dengan semua tangannya (bukan hanya dengan jari).

Apabila Baginda s.a.w berasa kagum dengan sesuatu, Baginda s.a.w akan membalikkan tangannya. Apabila Baginda s.a.w bercakap, Baginda s.a.w akan membuat gerakan syarat dan kadang kala menepuk tapak tangan kirinya dengan tapak tangan kanannya. Apabila Baginda s.a.w marah, Baginda s.a.wakan memalingkan wajahnya daripada orang itu, sama ada tidak memberi perhatian kepadanya atau memaafkannya. Apabila Baginda s.a.w gembira dengan sesuatu ditundukkan pandangannya kerana kesopanannya. Sebesar-besar ketawanya hanyalah dengan tersenyum. Apabila Baginda s.a.w ketawa, kelihatan manis sekali bagaikan butiran mutiara (kerana kelihatan giginya yang putih)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi).

No comments:

Post a Comment