Wednesday, February 4, 2015

PESANAN MAULANA ZAKARIYYA BERKAITAN POLITIK KEPARTIAN

Suatu ketika berlaku di India, perbezaan pendapat yang ketara antara Maulana Asyraf Ali Thanwi dengan Maulana Husain Madani berhubung soal politik. Salah seorang berpendapat, umat Islam perlu bergabung dengan Liga Muslim iaitu parti politik yang dianggotai oleh orang Islam sahaja. Di sisi seorang lagi, beliau beranggapan bahawa penyertaan umat Islam dalam Kongres Nasional yang mana terdapat pihak kerajaan yang memerintah adalah satu maslahah demi menjaga kepentingan orang Islam sekalipun dalam kongres itu terpaksa bertolak ansur dengan orang bukan Islam.

India pada waktu itu dikuasai oleh golongan Hindu. Maulana Madani berpendapat, adalah perlu orang Islam menyertai politik dengan menubuhkan sebuah parti Islam. Kemudian, parti Islam ini bertanding dalam politik supaya wakilnya dapat menjaga kepentingan orang Islam. Namun, di sisi Maulana Asyraf, umat Islam tidak perlu melibatkan diri dalam perangkap demokrasi yang akhirnya akan menyebabkan umat Islam berpecah belah.

Perbezaan pendapat ini ditanyakan kepada Maulana Zakariyya al-Kandahlawi. Bagi memulakan jawapannya, beliau menulis, “Ketahuilah bahawa tidak pernah tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan orang yang benar lagi ikhlas. Justeru, tidak perlulah kita terperanjat bahawa dalam kalangan ulama juga terdapat perbezaan pendapat.”

Maulana sudah biasa menghadapi persoalan khilafiah semasa mengajar. Para pelajarnya sering bertanya, “Mengapa Sahabat ini berpendapat begini dan Sahabat itu berpendapat sebegitu pula? Mengapa Tabiin ini mengemukakan pendapat begini dan Tabiin yang lain berpegang kepada pendapat lain pula?”

Persoalan seperti ini ditanyakan kepadanya sekurang-kurangnya 20 kali sepanjang sepuluh bulan tempoh kuliah. Bagi Maulana Zakariyya, tidak harus seseorang itu beranggapan sesuatu pendapat itu dikeluarkan dengan cara yang tidak jujur dan ikhlas. Jika kita beranggapan begitu, maka beerti kita menuduh golongan para Sahabat dan para Tabiin terkeluar daripada barisan para wali Allah hanya kerana berbeza pendapat.

Bagi meneruskan jawapannya, beliau menulis, “Suasana politik yang berlaku sekarang ini menyebabkan ketidaksetujuan yang sementara. Satu pihak menganggap bergabung dengan Liga Muslim mendatangkan keuntungan kepada orang Islam manakala bergabung dengan Kongres Nasional mendatangkan kerugian. Satu pihak lagi menganggap sebaliknya.”

Justeru, bagi memudahkan orang awam membuat keputusan, parti mana yang mereka perlu sokong, Maulana Zakariyya mengesyorkan, “Sepatutnya dia duduk beberapa hari dalam majlis yang terdapat kedua-dua orang itu (Maulana Thanwi dan Maulana Madani). Kemudian, dia boleh memilih mana-mana pilihan yang dirasakan baginya sangat kuat untuk diikuti.”

Tambah Maulana Zakariyya lagi, “Tidak perlulah kita bertengkar dalam hal ini.”
Kemudian, beliau bertanya, “Mengapa kalian menganggap pendapat ini terlalu berbeza? Adakah pendapat mereka ini lebih buruk daripada Perang Jamal yang terpaksa diselesaikan dengan mata pedang? Beritahulah kepadaku, antara pihak Sayidina Ali dan Sayidatina Aisyah, siapakah yang boleh kamu keluarkan daripada jemaah yang ikhlas? Adakah kalian boleh menentukannya?”

Bagi seorang Muslim yang waras, tentunya pertanyaan seperti ini akan dijawab dengan berdiam diri. Mana mungkin seorang Islam tergamak menjatuhkan kesalahan ke atas Sayidina Ali yang sering didoakan ‘Radiallahuanhu’, seorang Amirul Mukminin yang benar, menantu serta Sahabat Rasulullah SAW dan sepupu Baginda. Kita juga tidak dapat menghukum Sayidatina Aisyah yang sering kita sebut pada hujung namanya, ‘Radiallahuanha’, seorang Ummul Mukminin, isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dan anak kepada Sahabat Nabi Muhammad SAW yang terunggul iaitu Sayidina Abu Bakar as-Siddiq r.a..

Memadailah perbalahan tersebut sebagai satu peringatan sehingga kiamat bahawa dunia ini tidak sunyi daripada perbezaan pendapat.

Justeru, Maulana Zakariyya melarang keras, “Janganlah kamu beranggapan buruk terhadap kedua-dua wali Allah ini (Maulana Thanwi dan Maulana Madani). Jika kamu melakukannya, maka mereka tidak sedikit pun mendapat mudarat bahkan kamulah yang akan mendapat mudarat. Saya berasa tidak selesa apabila kamu mengeluarkan umpatan dan kata-kata nista terhadap mereka. Kamu sengaja menghadiahkan pahala amalan yang kamu lakukan kepada mereka berdua. Maka, jadilah kamu orang yang fakir dan berdosa.”

Maulana Zakariyya menguatkan hujah ini dengan sebuah hadis dalam kitab Majma’ al-Fawaid. Suatu hari, Rasulullah SAW bertanya, “Pada pendapat kalian, siapakah yang dimaksudkan sebagai si muflis?”

Jawab para Sahabat, “Orang yang tidak mempunyai harta.”

Jelas Baginda, “Bukan begitu. Orang yang muflis adalah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan kebajikan yang banyak. Namun, dia telah menzalimi seseorang dengan menghina, memaki hamun dan mengambil harta orang lain (sewaktu di dunia dulu). Maka, pada hari itu tiada guna lagi dinar atau dirham. Dia akan menyerahkan segala amal kebajikannya kepada orang yang dizalimi. Jika amalannya tidak mencukupi, maka dia akan memikul dosa-dosa orang tersebut pula.”

Apa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW suatu masa dulu, amat jelas kepada kita pada zaman ini. Disebabkan perbezaan politik mahupun pemikiran, maka orang lain menjadi mangsa serangan lidah dan tangan kita. Kita sewenang-wenangnya meletakkan seseorang yang berbeza pilihan politiknya dalam keadaan sudah dijatuhkan hukuman. Sedangkan, Mahsyar belum dibentangkan dan dunia belum kiamat! Apa saja yang dikatakan oleh seteru, semuanya tidak kena. Bahkan, kita membenarkan pemimpin masing-masing walaupun ternyata mereka melakukan kesalahan. Ketika itu, akal kita sudah dikuasai oleh nafsu dan kita tidak mampu membuat pertimbangan dengan adil.

Justeru, Maulana Zakariyya turut memperingatkan kita, “Jika seseorang itu melakukan kesilapan, adakah kita perlu menutup mata terhadap sifat-sifatnya yang mulia?”

Maulana juga menyandarkan sebuah pesanan daripada Sayidina Muaz bin Jabal r.a. bahawa, kebenaran itu bukanlah sentiasa diucapkan oleh orang yang bijaksana. Kadangkala orang munafik juga bercakap perkara yang hak. Jadi, janganlah kita menilai perkataan seseorang hanya dengan sekali dengar. Bersabarlah dahulu, mungkin dia akan menarik balik kata-katanya dan memohon ampun serta maaf.Sayidina Muaz r.a. juga berpesan bahawa seseorang yang bijaksana itu kadangkala terkeluar juga kata-kata yang sesat dan tersasar.

Justeru, berfikirlah baik-baik dan jangan menjadi pengikut yang menyetujui apa sahaja secara membabi buta. Kemudian, kajilah kedua-dua belah pihak itu (orang yang bijaksana dan orang yang munafik) serta renungilah hal ehwal mereka dengan mendalam. Jika mana-mana antara mereka yang selaras dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, maka ikutlah dia. Jika siasatan kita mendapati ada kesilapan pada perkataannya dan menyalahi sunnah Baginda, maka tinggalkanlah kata-kata itu. Namun, janganlah menyerangnya secara melulu dan memilihnya sebagai musuh. Nasihatilah dia dengan baik, mungkin dia akan menarik balik kata-katanya.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Letakkanlah manusia itu menurut kedudukannya (tidak direndahkan atau tidak ditinggikan).” (al-Hadis al-Muntakhab)

Juga hadis lain, “Seseorang itu bukan orang beriman jika dia menjatuhkan maruah orang lain, mengutuknya dan mencarutinya.” Nasihat untuk diri sendiri dan anda yang saya kasihi. (Hamba yang dhaif, Khairy Tajudin Novelis. Founder of KTR). 

No comments:

Post a Comment