Monday, January 6, 2014

UMAR MUKHTAR

Umar Al Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Siapa Umar Mukhtar?

‘Umar al Mukhtar-Lion of The Desert,

KEMERDEKAAN merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan bangkit menentang dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman kuasa fasis Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung. Namanya terpahat kukuh dalam tinta emas, menjadi inspirasi dan dianggap simbol keagungan dalam usaha membebaskan Libya daripada belenggu penjajahan.

Umar Al Mukhtar telah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah. Pada usianya 16 tahun, ayahnya meninggal dunia semasa menunaikan haji ke Makkah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru) di antara syeikh-syeikh yang ada di kampung beliau. Berkat didikan Syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun bersolat pada sepertiga malam. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al-Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al-Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari.Umar Al Mukhtar kemudian berpindah ke Jaghboub. Di sana, dia belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun.

Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.

Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”.

Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.

Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.

Pada usia beliau 30an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.

Kerana kewibawaan, kepimpinan dan kecemerlangannya dalam segala bidang, dia memperoleh pengiktirafan yang tinggi daripada syeikh dan pemimpin Sanusi. Pada tahun 1897, dia telah dilantik oleh Sidi Al Mahdi sebagai Syeikh Zaywat AlíAqour. Pada bulan Oktober 1911, tentera Itali memulakan tindakan untuk menawan Libya. Rakyat Libya dengan sungguh-sungguh berjuang mempertahankan negara mereka walaupun dengan kelengkapan senjata yang kurang sempurna. Pada awal penjajahan mereka, tentera Itali memberi tumpuan kepada bandar-bandar di tepi pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna. Pertempuran yang hebat berlangsung di Al-Hani berhampiran Tripoli (23 Oktober 1911), Ar-Rmaila berhampiran Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi (Mac 1912) dan Wadi Ash-Shwaer berhampiran Derna. Pertempuran-pertempuran yang lain berlaku di kampung, gunung dan padang pasir. Salah satu daripada pertempuran hebat yang berlaku di Ghertabiya dekat Sirt (April 1915) telah menyebabkan beribu-ribu tentera Itali terkorban.

Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan oleh Sidi Idris Al Mahdi mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Pejuang-pejuang Mujahidin Libya lain yang turut gigih menentang pendudukan Itali ialah Ramadan as Swahili, Mohamed Farhat Az Zawawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Ai-Barouni dan Silima An Nailah. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun semula gerakan tenteranya di Gunung Hijau (Aj-Jabal Al-Akdar, Timur Jauh) Libya dan melancarkan serang padu terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang troop tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.

Pada tahun 1922, Itali mula tertakluk di bawah undang-undang fasis. Semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Sidi Idris As-Sanusi telah digantung dan polisi yang menindas dan zalim telah dikenakan terhadap Libya. As-Sanusi terbang ke Mesir pada tahun 1923 meninggalkan Umar Mukhtar yang bertanggungjawab untuk penentangan secara habis-habisan dalam keadaan serba kekurangan.

Apabila Itali merasakan bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.

Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka hatta termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, hampir separuh daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam.

Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan- tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpuusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di Al-Jabar Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.

Marshall Roodolfo Graziani juga mengetuai kempen ketenteraan dengan menawan kumpulan Oasis Al Kufra, yang merupakan tulang belakang penentang. Di luar kem iaitu di kawasan pergunungan, pasukan Mujahidin kembali berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Seorang pejuang yang berusia 90-an dari oasis Jalu, Abu Karayyim, merupakan salah seorang sahabat yang setia berjuang bersama beliau di selatan pedalaman. Walaubagaimanapun, kesukaran mendapatkan bekalan makanan menyebabkan kebanyakan daripada mereka kelaparan dan diserang penyakit. Ekoran itu, semakin berkuranglah bilangan pejuang-pejuang mereka bagi menentang Itali. Mengetahui situasi ini, askar-askar Itali telah mengambil kesempatan dengan membakar dan merompak kampung-kampung. Kaum wanita, warga tua, dan kanak-kanak tidak terkecuali dalam perbuatan jijik mereka. Atas desakan hidup, mereka terpaksa ditempatkan di kem-kem tahanan kerana tiada pilihan lain.

Tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya.

Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.

Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah swt. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa ’mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah.’

Dalam usaha memerangkap Mukhtar dan orang-orangnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, selepas satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Tangan dan kaki mereka dirantai dan dibawa ke bandar yang bernama Suluq di mana kubu tentera Italy berpusat.

Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa Jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas.

Beliau adalah seorang lagenda yang tetap teguh pada agamanya walaupun teruk ditentang. Bilamana menteri-menteri dan ketua-ketua negara beliau yang lain menyerah diri begitu saja kepada Itali serta menyelamatkan diri sendiri dengan berpindah ke negara lain, beliau tanpa ragu-ragu tetap berjuang mempertahankan Islam dan tanah air daripada terus dijajah. Salah seorang ulama dari kalangan Sanusi, yang pernah bertarung bersama beliau menentang Perancis dan British, gagal menghantar bantuan kepada beliau tepat pada masanya. Malah, ramai di kalangan ulama-ulama ini sanggup berpaling tadah dengan menggadaikan tanah orang Islam bagi memperoleh belas simpati, gaji bulanan, serta bebas dari cukai pendapatan. Sikap seumpama inilah yang sering kita lihat pada sesetengah umat Islam yang belot pada hari ini.

Berlawanan dengan tindakan kebanyakan orang Islam pada waktu itu, beliau mengeluarkan sebuah Al-Qur’an, dan bersumpah dengan nama Allah s.w.t. bahawa beliau akan terus menentang golongan penjajah, biarpun secara berseorangan mahupun sehingga syahid. Dalam 20 terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang dalam 1000 peperangan.

Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Apabila Ketua Panglima perang Itali menawarkannya peluang terakhir untuk hidup di bawah pemerintahannya, dengan syarat beliau mesti mematuhi segala arahannya, beliau menjawab, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, sehinggalah kamu meninggalkan tanah airku, atau sehinggalah aku mati. Dan aku bersumpah kepada Allah Yang Maha Mengetahui sesuatu di dalam hati manusia, jikalau bukan kerana tanganku diikat sebegini, nescaya aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua dan cedar sebegini.”

Pada waktu itulah, Ketua Panglima perang itu ketawa, sambil mengarahkan supaya beliau digantung, selepas mengadakan sebuah perbicaraan ‘olok-olok’ yang direka untuk menjaga maruah kerajaan Itali. Walaupun perbicaraan untuk beliau masih belum bermula, tali gantung telah pun disediakan untuk beliau di luar mahkamah.Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah jatuhkan hukuman mati.Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandar raya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersolat sunat sebelum dihukum gantung. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan solat jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

Pada tahun 1933, Pengerusi Jabatan Kesihatan dan Ketenteraan Itali, Dr. Todesky telah menulis di dalam bukunya Cerinaica Today, antara kandungan tulisannya berbunyi : Dari May 1930 hingga September 1930, dianggarkan kira-kira 80,000 rakyat Libya telah dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk tinggal di kem tahanan berpusat. Dalam satu-satu masa 300 orang telah dibawa ke kem tersebut dengan dikawal oleh tentera Itali bagi memastikan mereka tidak melarikan diri. Dr. Todesky menyambung, "Pada penghujung 1930, semua rakyat Libya yang tingal di dalam khemah telah dipaksa tinggal di dalam kem tersebut. 55% daripada mereka telah menemui ajal di dalam kem tahanan tersebut". Ahli sejarawan Libya, Mahmoud Al At-Taeb berkata di dalam wawancara dengan majalah Libya, Ash-Shoura (Oktober 1979) bahawa pada bulan November 1930, sekurang-kurangnya 17 upacara pengebumian diadakan di kem tersebut akibat mati kelaparan, penyakit dan kemurungan.

Apabila akhbar-akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tentang nasib buruk serta layanan yang tidak berperkemanusiaan yang diterima oleh rakyat Libya di dalam kem tahanan tersebut, tentera Itali mula mengambil perhatian dengan membekalkan makanan kepada rakyat Libya sebanyak 22 kg seorang untuk sebulan. Namun tindakan kerajaan Itali itu sudah terlambat kerana ramai rakyat Libya yang telah terkorban akibat kekejaman mereka.

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

Semoga Allah meninggikan darjatnya di syurga.

Orang-orang Itali yang berjiwa kotor telah mengambil gambar mayat beliau yang diikat, sambil dikelilingi oleh panglima-panglima perang yang tersenyum puas bersama mereka-mereka yang riang gembira dengan kematian beliau. Tanpa disedari mereka, kematian di tangan musuh demi memperjuangkan hak Allah inilah yang sebenarnya menjadi idaman setiap orang Islam sejati.

Pejuang unggul ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah Omar Al Mukhtar, dan cerita tentang keperwiraannya akan kekal sehinggalah ke hari kiamat, insyaAllah. Dengan darahnya, beliau telah membawa cerita kejayaan, beliau telah menjadi lagenda di kalangan lagenda, dan beliau telah menjadi teladan untuk mereka yang ingin hidup dengan maruah Islam yang dihormati, walaupun pada saat-saat ditindas.

Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa’ dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Naumn demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Omar Al Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

Omar Al Mukhtar terikat kepada Allah s.w.t, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah s.w.t. untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.

Siapakah pula Umar Mukhtar Abad ini ? Kita menunggu kemunculannya atau cuba menjadi sepertinya?

"dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman".
[ AALI IMRAN=169-171]

CATATAN :

• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.

• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.

• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.

• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya;

• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam.

No comments:

Post a Comment