Diriwayatkan pernah Syeikh Junaid Al-Baghdadi merasa gelisah saat di rumah khalwahnya. Tidak tahu kenapa jiwanya demikian, walau berzikir dan solat tapi tidak juga dapat tenteramkan dirinya. Lalu beliau merenung adakah Allah telah murka padaNya? Beliau kemudian menangis dan bertaubat di sepanjang malam, namun rasa kegelisahan tidak juga hilang dalam jiwanya.
Tiba-tiba datang lintasan dalam batinnya menyuruh keluar dari rumah khalwah menuju ke arah Timur. Dalam perjalanan yang tak berapa jauh dari tempatnya, beliau bertemu dengan beberapa orang musafir yang putus bekalan makanan, mereka dalam keadaan kelaparan dan amat daif.
Melihat situasi tersebut terus beliau membawa mereka ke rumahnya dan disuruh para muridnya melayani dan memberi makan dengan sebaiknya. Ketika itu kegelisahan dalam jiwanya pun hilang, maka tahulah ia akan puncanya kenapa jiwanya gelisah. Rupanya Allah tidak senang padaNya lantaran ada mereka yang kelaparan berdekatan dengannya tapi tiada membantunya.
Inilah ajaran Islam yang indah berasaskan Tauhid Ihsan atau Makrifat, Cinta dan Salaman. Semakin hampir seseorang itu dengan Allah, maka semakin halus adabnya dan semakin tinggi cintanya pada sesama makhluk.
Bagi seorang Murabbi rohani, hal ini menjadi pemerhatian dalam menilai ahwal rohani muridnya, bukan pada banyak zikir, ibadah dan ilmu semata-mata.
Lantaran bersih cermin hati seorang hamba, hatinya dapat mengesan gelombang keresahan dan kesusahan yang ada dalam jiwa-jiwa mereka disekelilingnya tanpa mengenal mereka atau langsung tak bertemu. Ia adalah suara hati yang dipancarkan secara tanpa sedar menjadi gelombang yang akan dapat dikesan oleh hati-hati yang bersih. Justeru itu mereka menjadi seorang yang peka, sensitif dan resah dengan hak ummah hingga bangun menyebarkan Cinta dan Salaman kerana dengan berbuat demikian jiwanya merasa damai, bahagia dan gembira.
Kerohanian seseorang tiada akan mampu mencapai darjat yang tinggi jika tiada miliki cinta sesama insan. Seorang Salik yakni mereka yang menuju Allah, mereka bukan sahaja mendaki Gunung Makrifat dengan zikir dan mujahadah, tapi juga dengan cinta sesama insan.
Sesungguhnya kesusahan keluarga, saudara, sahabat, masyarakat dan ummah ibarat tangga yang disediakan Allah untuk hamba itu mendaki mencapai cintaNya.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment