Tuesday, August 30, 2016

NAFAS

Bagi para Aribillah, Nafas adalah Imej cermin dari Roh, nafas adalah kembar bagi Ruh. Ruh adalah hakikat dan nafas adalah syariatnya di alam ini. Ruh ibarat kapal, ombak bagaikan nafas. Jika tenang ombak, tenanglah perjalanan kapal. Begitu juga Ruh, jika nafas seorang hamba tenang, maka ia memberi kesan pada ruhnya.

Para Arifbillah dan ahli Rohani amat mementingkan latihan pernafasan. Bila pernafasan elok, maka akan eloklah perjalanan ruh dengan RABBnya. Emosi amat mempengaruhi pernafasan, baik ia dalam keadaan marah “stress” atau tenang.

Mereka yang tidak mementingkan rohani adalah seperti jasad yang tiada Roh, mereka amat diperbodohkan oleh syaitan, apa guna sebatang jasad walaupun ianya seorang raja, seorang gagah tampan yang cantik dan kaya. Jika tiada Roh dan Nyawa akan dikebumikan dengan secepat mungkin. Roh dan kerohanian amat penting dalam memahami pengertian hidup dan perjalanan hidup ini.

Nafas berasal dari Robbul Alameen. Soalan pertama adalah mengenal bagaimana turun naiknya Nafas ini dari sebatang tubuh yang tidak ada hawl dan quwwah, dan bagaimana ratusan ribuan jutaan makhluk menerima Nafas turun, Nafas naik dengan secara sistematik dan secara teratur dan tanpa ada gangguan, dan tiada kehilangan satu nafas yang tergendala dalam ribuan juta tahun kecuali bila sudah sampai ajal maut seseorang itu dengan taqdir Nafas dan usia hayyatnya. Nafas adalah sumber kehidupan, tanpa nafas hancurlah kehidupan. Nafas adalah al-Hayat yang datang dari Tuhan, ia adalah rahsia Illahi.

Para ulama sufi mengamalkan zikir nafas untuk pembersihan rohani, manakala para ahli “tenaga dalam” mengamalkan pernafasan untuk mengaktifkan tenaga ghaibnya sehingga dapat melakukan perkara yang luar kekuatan jasad. Para sufi menamakan ianya sebagai Nasma iaitu gabungan antara Ruh Jasmani dan jasad.

Zikir Nafas adalah jentera pengerak kepada semua sistem rohani dan jasmani. Zikir Nafas adalah merupakan IBU kepada segala zikir. Zikir ini mempunyai banyak keistimewaan. Zikir Nafas ini ada pecahan dan rangkaiannya tersendiri. Pecahan zikir ini ialah zikir Nufus, Tanafas dan Anfas. Keempat-empat perkara ini berkaitan diantara satu sama lain. Bermula nafas itu kerana anfas, dan hidup anfas itu kerana nufus, manakala hidup nufus itu dengan rahsia dan rahsia itulah merupakan (diri) rahsia Allah.

Nufus, Anfas dan Tanafas itu adalah satu perkara yang ghaib, yang wujud tanpa dapat dirasa dan dilihat seperti mana nafas. Adalah tidak sedap membicarakan sesuatu yang tidak boleh dibuktikan dengan ilmu yakin, ataupun ainul yakin. Kerana ini boleh menimbulkan fitnah besar kepada pembicaraannya kelak. Sudah menjadi kebiasaan manusia ia akan menolak sesuatu yang tidak tercapai oleh akal dan ilmunya, meskipun jalan paling baik jika ia terserempak dengan keadaan demikian ialah dengan mendiamkan diri (tawakuf) disamping belajar untuk memahaminya.

Kedudukan Sistem Batin dan Spiritual ini bergerak dengan Kuasa  Qudrat yang mutlak dan hanya  dapat di lihat dengan mati hati oleh mereka yang telah hidup hati mereka secara zahir dan batin. Tanpa ILMU Mata hati memang hati itu tidak akan terbuka dan hidup dan tidak akan  dapat memerhatikan keajaibaan hati ini. Kedudukan Anfas ialah dihidung, Tanafas ditelinga dan Nufus di jantung, manakala Nafas ialah dimulut. Anfas, Nafas,Tanafas dan Nufus ini merupakan satu “kuasa” ataupun keadaan yang keluar masuk (bergerak) dalam tubuh seseorang manusia.

Apakah insan mudah memahami gerakan sistem spiritual dan rohani ini  tanpa mengenal RABBnya dan ILLAHnya, dia sekali-kali tidak akan mengenal Rabbnya tanpa ILMU KALIMAH LA ILAHA ILLALLAH. Semua sistem pengerakan Nafas, Anfus, Tanafas adalah satu sistem Unggul dan yang ajaib yang penuh dengan mukjizat. Tanafas ia bergerak di telinga, Nufus dijantung, Anfas di hidung sementara Nafas pula dimulut. Diantara keempat unsur ini, Nafaslah yang boleh dirasa dan disentuh serta mudah untuk diyakini (kalau kita membicarakan) kerana setiap orang boleh merasakan dengan perasaan zahir. Justeru itu dalam bab ini saya berminat untuk membicarakan Zikir Nafas sahaja.

Nafas adalah sumber utama dalam menghidupkan hati dan jasad. memahaminya dan menguasainya akan membawa insan itu kepada kejayaan. Nafas adalah saluran penting bagi kita meneruskan hidup di atas bumi ini, ada jasad tanpa Nafas , tidak berguna jasad ini. Ada roh tapi tiada Nafas  tidak juga bermanfaat Roh itu kepada jasad itu. Bila sebut Nafas orang tahu iaitu angin yang keluar masuk daripada lubang hidung dan mulut (daripada luar tubuh kedalam tubuh). 

Kalau mengikut pengertian saintifik, udara yang keluar dari mulut atau hidung itu ialah karbon dioksida, sementara yang disedut masuk itu pula ialah oksigen. Fungsi oksigen ini ialah untuk memutarkan darah dalam jantung, membolehkan nyawa bergerak.Oksigen itu disedut dari luar dimana ianya diproseskan oleh tumbuh-tumbuhan dan alam seluruhnya. Zikir yang digabungkan dengan teknik pernafasan yang betul, atau disebut oleh ahli Tasawuf sebagai zikir nafas, akan memberi kesan yang hebat. SYEIKH Imam Ghazali Rahimahullah Ta'ala mengatakan zikir yang dilakukan dengan cara menahan nafas akan mempercepatkan proses penyucian hati (membakar sifat mazmumah).

Pernafasan yang betul akan memaksimumkan penyerapan oksigen yang amat penting dalam kehidupan dan kesihatan manusia. Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang terdedah kepada pelbagai penyakit seperti kanser, gangguan saraf, leukemia dan lain-lain.

Waktu ingin melakukan zikir nafas kita wajib memulangkan Zat, Sifat, Af’al kita kepada Zat, Sifat, Af’al Allah yang bererti memulangkan segala wujud kita yang zahir kepada wujud kita yang batin iaitu Ruh dan pulangkan wujud Ruh pada hakikatnya Wujud Yang Qadim Zat Allah jua. La maujud illaLlah yang bermaksud tiada yang ada di alam ini pada hakikatnya melainkan Allah jua. Hakikat nafi pada diri kita ialah la wujud (tiada yg wujud), la qadir (tiada Yang Maha kuasa), la hayyun, la muridun, la alimun (tiada yg Maha mengetahui), la samiiun (tiada yg mendengar), la basirun (tiada yg Maha melihat), la mutakalimun fil haqiqah illaLah.

Zikir Nafas  adalah Ummul Zikir. Dan seafdal-afdal Zikir yang mampu memberi kekuatan Rohanni adalah Zikir Khafi, ini di jelaskan  dalam beberapa hadis sohih. Zikir Nafas  adalah selaku Nur Cahaya yang memancar keseluruh jiwa seorang pengamal Zikir Nafas. Zikir nafas ini adalah besar faedahnya. Dengan melakukan zikir nafas sahaja ia boleh memecahkan ketulan darah hitam yang berada dihati yang dianggap sebagai istana iblis itu. Selagi istana Iblis tidak terpecah dan hancur musnah Nur Qalbi sebagai penyuluh lampu ma’rifat yang diharapkan itu tidak mungkin diperolehi. Nur itu tidak akan bersinar menyuluh kegelapan dalam diri. Kalau pun ia menyala tetapi cahayanya tidak telus.

Kesimpulannya Zikir Nafas adalah ibu segala zikir. Ianya sangat mampu membersihkan segala kotoran dalaman dan rohani. Fikirlah dan renungkanlah betapa pentingnya penguasaan Nafas dalam hidup dan tanpa  penguasan ini nescaya tidak akan bahagia secara zahir dan bathin. Saya percaya bahawa salah satu punca masalah hidup yang membawa kepada keadaan tidak bahagia adalah kerana tidak wujud harmoni di antara  jasad dan qalbu - emosi dan minda.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment