Ilmu Kebatinan yang benar bukan untuk orang yang inginkan kesaktian atau Karomah. Ilmu mencari karomah itu hanya khusus untuk mereka yang ditawan oleh SYAHWAT mereka. Ilmu kebatinan ajaran Rasulullah Saw mendidik seorang yang beriman supaya memiliki akhlak yang terpuji dan yang paling utama adalah mencari keredhaan Allah S.W.T.
Ilahi anta maqsudi wa ridhoka matlubi.
Ilmu kebatinan ajaran Rasulullah Saw mudah difahami tetapi sangat berat untuk dilaksanakan. Malah mungkin perlukan puluhan tahun untuk berjaya. Wajib bagi setiap orang yang beriman memahami erti ilmu kebatinan yang sebenar.
Ilmu kebatinan yang diajarkan dan dicontohi oleh Nabi Muhammad SAW adalah ILMU HATI.
Beza dari segi nama tetapi hakikatnya membawa erti yang sama.
Ilmu batin = ilmu rohani = ilmu hati
Mengapa penting untuk memahami ilmu hati?
Bukankah setiap perbuatan bermula dari NIAT?
Bukankah NIAT lahir dari HATI?
Rasulullah Saw bersabda, “Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika segumpal daging itu baik, maka seluruh tubuh juga baik. Jika segumpal daging itu rusak, maka seluruh tubuh juga rusak. Ketahuilah, segumpal daging itu adalah hati”. (HR Muslim, no. 1599.)
Pernahkah kamu bercakap dengan orang yang lembut hati dan orang yang keras hati? Itulah bukti kesannya hati pada diri seseorang.
Ilmu hati adalah permulaan bagi seseorang itu mengenal diri. Sebab itulah tasawuf mengajarkan untuk membersihkan hati. Dengan mengenal diri, dia mengenal Allah. Dengan mengenal Allah, hiduplah mata hati. Hati sebenarnya memiliki rahsia yang besar! Hati inilah yang membuat seseorang menjadi kuat atau lemah. Bahkan IMAN, KEYAKINAN dan ILHAM dikurniakan oleh Allah SWT melalui hati!
Ajaibnya hati dapat menyebut kata-kata yang tidak dapat disebut oleh mulut.
Ajaibnya hati dapat mendengar suara ilham yang tidak dapat didengar oleh telinga. Ajaibnya hati dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh mata.
“Sesungguhnya langit dan bumi tidak akan mampu menampung Aku. Hanya hati orang beriman yang sanggup menerimanya.” (Hadis Qudsi)
Betapa besarnya hakikat hati ini! Oleh itu barangsiapa yang hatinya dilatih untuk mengikut hati Rasulullah SAW, dia telah mengikut ilmu kebatinan yang sejati.
Seseorang yang lidah dan hatinya sentiasa berzikir kalimah 'Laa ilaha illallah'. Mereka adalah dalam lindungan Allah. Kalimah "La ilaha illallah" adalah benteng pertahananKu. Dan barangsiapa yang memasuki bentengKu, dia aman dari seksaanKu. (HR Abu Na'im, Ibnu Najjar dan Ibnu 'Asakir)
JANGAN RASA DIRI INI HEBAT!
Setiap amalan akan menjadi sia-sia bila diri merasa hebat. Terapkan dalam hati bahawa diri ini hanyalah seorang HAMBA YANG LEMAH, yang memerlukan pertolonganNya! Perlindungan-Nya.
Latihkan kerendahan hati secara ISTIQAMAH. Banyakkan berdo'a memohon kepadaNya supaya hati sentiasa bergerak dalam keredhaanNya. Ingat tujuan dan maksud beramal! Setiap amalan bermula dengan niat yang dilahirkan dari hati. Maka jangan lahirkan niat melainkan hanya untuk Allah.
Inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil 'alamin.
Tujuan dan maksud hanyalah satu iaitu sentiasa menuju kepada keredhaan Allah bukanlah untuk kesaktian mahupun karomah. Salah niat, rosak amalan bahkan berdosa.
Ilahi anta maqsudi wa ridhoka matlubi.
JANGAN tertipu dengan kehebatan dari ilmu-ilmu "instant". JANGAN dekat dengan mereka yang MENJUAL AGAMA dengan wang ringgit. Karomah tidak lahir dari kehendak manusia. Karomah hanya berlaku pada saat-saat mendesak atas kehendak Allah SWT. Karomah bukan untuk dijual dan permainan mahupun pertunjukan. Ingat! Setiap "kemuliaan" yang tidak diredhai Allah pada hakikatnya adalah kehinaan.
Ingat! Merasa diri hebat adalah sifat TAKABUR!
"Demikianlah Allah menutup setiap hati orang yang takabur lagi merasa perkasa.” (QS Al Mu'min Ayat 35)
"Masuklah kalian ke dalam pintu-pintu neraka Jahannam, kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk tempat kediaman bagi orang yang mutakabbir.” (QS An Nahl 16:29)
Hati dilatih memohon dengan Asmaulhusna
Hati mesti sentiasa mengesakan Allah dan berharap kepadaNya.
Allahu Ahad. Allahus Samad.
Hati mesti sentiasa berserah kepadaNya.
Bismillahi tawakkaltu 'alallah.
Wa ufawwidu amri ilallah.
Hati mesti bergantung kepada Allah.
Hasbiallahu la ilaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul 'arsyil 'adzim.
Hasbiallahu wa ni'mal wakil ni'mal maula wa ni'mal nasir.
Hati sentiasa mengingati mati. Ingat mati bukan takut mati. Ingat mati bahawa masa kamu hidup di dunia ini amatlah singkat. Hati mesti ingat tiap masa yang berlalu tidak akan kembali. Hati mesti sedar supaya tidak membuang masa dengan perkara yang melalaikan dari mencari keredhaan Allah. Ingat mati bahawa Allah telah bersumpah "Demi masa!" Ingat mati supaya segala yang kamu lakukan adalah ibadah. Ingat mati bahawa hidup dan mati di tanganNya.
Kullu nafsin dza-ikatul maut.
La ilaha illa huwa yuhyi wa yumit.
Hatimu mesti dilatih supaya sentiasa dalam keadaan tenang. Di sinilah zikrullah memainkan peranan.
Usahakan berlatih dengan istiqamah kerana Allah menyukai amalan yang walaupun sedikit tetapi istiqamah.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment