Tumbuk Lada ialah sejenis senjata Melayu tradisional yang berasal dari Sumatera. Ianya juga banyak didapati di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di Negeri Sembilan. Selain keris, tumbuk lada adalah kelengkapan pakaian adat bagi Kepulauan Riau, Deli, Siak dan Semenanjung Tanah Melayu iaitu negeri sembilan.
Tumbuk lada diambil nama daripada bentuk hulunya yang menyerupai alat untuk menumbuk lada. Ada juga pendapat yang lain menyatakan nama ini diperoleh hasil daripada tusukan yang pedih kerana bilahnya yang berbisa.
Perbezaan nyata tumbuk lada dengan senjata pendek lainnya terletak pada hulu, mata dan sarungnya. Senjata pendek lain yang mirip dengan tumbuk lada adalah seperti sewar dan rencong aceh.
Matanya berkelok tebal, tajam dan runcing di hujung, lebar di atas bagi menghasilkan garis gerak yang cepat . Bentuk tersebut sesuai dengan fungsinya sebagai senjata khas untuk menikam mahupun menghiris. Dan bentuk bilahnya juga melengkuk sedikit seperti bongkak udang, bentuk balik sumpah dan tajam sebelah. di tengah bilah hingga pangkal terdapat alur yang kadangnya diletakkan racun ataubisa.
Manakala Hulu Tumbuk Lada biasanya diperbuat daripada kayu, tanduk dan sebagainya. Hujung hulunya diukir dengan ukiran yang bertingkat-tingkat. Tumbuk lada yang biasa dimiliki oleh raja atau pembesar negeri selalunya dihias dengan pahatan bermutu tinggi dan ditambah dengan permata. Motif bunga pahatan awan timbul dikenali dengan nama 'awan larat' dan dawai pintal sekelilingnya diguna sebagai hiasan. Sampirnya juga diukir dengan ukiran yang sangat indah dan halus. Pada saya Ukiran yang terdapat pada tumbuk lada ialah antara yang paling indah dan halus dalam seni rupa Melayu.
Tumbuk Lada digunakan secara menikam, menghiris dan menjajah dalam pertempuran jarak dekat. Ia boleh dipegang dengan dua jenis genggaman iaitu dengan mata keatas ataupun mata ke bawah. Seorang yang ahli dalam permainan tumbuk lada mampu menukar genggaman senjata ini dengan pantas ketika bertempur bagi mengelirukan musuh dengan teknik permainan tumbuk lada.
Ps: Kalau ada tambahan ataupun kekurangan bolehlah kiranya komen untuk saling berkongsi ilmu.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment