Rakyat dahulu ramai yang percaya dan menyangka bahwa Mat Kilau telah mati pada tahun 1895, yang kononnya terbunuh di sempadan Siam-Kelantan dan dikebumikan di Kg Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan. Sepertimana yang dilaporkan oleh pihak British Iaitu D.H Wise (Residen British - Pahang).
Sebab itulah bila Mat Kilau muncul pada tahun 1969 semua pakat terkejut, Malaysia masa tu memang gempar di setiap negeri dengan berita kemunculan Mat Kilau, termasuk dengan khabar angin yang mengatakan Dato' Bahaman juga masih hidup.
Tapi tahukah korang sebelum tahun 1969 Mat Kilau muncul dan mengisytiharkan diri di khalayak ramai. Mat Kilau juga sudah pernah muncul di khalayak ramai ketika beliau turut serta melaungkan MERDEKA pada 31 Ogos 1957. Dari ribuan orang di situ, tiada seorang pun yang perasan Mat Kilau ada bersama mereka Melaungkan MERDEKA!
Kisah ini diceritakan orang kepercayaan Mat Kilau Iaitu Haji Abu Bakar (menantu Mat Kilau), kepada anaknya. Alkisah pada 31 Ogos 1957 selepas menunaikan solat subuh, Mat Kilau begitu teruja dan bersemangat bersiap nak pergi menyambut upacara menyambut Hari Kemerdekaan di Taman Kerang peringkat negeri Pahang.
"Mat Kilau memakai baju kemeja-T leher bulat warna putih dan memakai baju kot berwarna kelabu. Berseluar panjang, bersampin dan lengkap berkasut. Manakala kepalanya pula berlilit Kain Cindai." Haji Abu Bakar merasa hairan dimana Mat Kilau dapat persalinan lengkap itu dan tertanya apa makna tersirat kain cindai yang dililit di kepala Mat Kilau.
Menantunya Haji Abu Bakar berada disisi Mat Kilau ketika di Taman Kerang. Beliau melihat wajah Mat Kilau begitu gembira ketika menunggu detik untuk Melaungkan kalimat “MERDEKA", kalimat MERDEKA yang dilaungkan oleh Mat Kilau tidaklah sama seperti kita hari ini.
Laungan MERDEKA Mat Kilau adalah luahan hati sebenar seorang pahlawan yang pernah bermati-matian menentang Inggeris, yang mengharungi berbagai keperitan, yang bersembunyi selama berpuluh-puluh tahun, yang tidur di hutan, yang meninggalkan anak bini untuk berjuang, yang bersusah payah membebaskan Tanah Melayu demi maruah Agama, Bangsa dan Kedaulatan Tanah Melayu.
Korang faham kan apa yang saya maksudkan. Bayangkan betapa gembiranya Mat Kilau melaungkan MERDEKA dengan air mata, berbeza dengan perasaan kita hari ini ketika melaungkan Merdeka. Mat Kilau sangat mencintai Tanah Air kita, sebab itulah beliau begitu sangat bersemangat dan teruja.
Ingat pesan Mat Kilau, "Jaga Agama, Jaga Bangsa dan Jaga Tanah Air, jangan sampai bangsaku tiada negara.”
Al-Fatihah untuk semua pejuang tanah air.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment