Allahyarham Aki Mat Kilau - Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman. Ketika Arwah Aki Mat Kilau mengisytiharkan diri, berita ini hebah di pelusuk negeri. Semenjak itu orang ramai tidak berhenti-henti menziarahi Pahlawan Pahang ini, dan diantaranya adalah Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bersama rombongan Gayong pada tahun 1969.
Rombongan itu terdiri daripada 6 orang iaitu Allahyarham Dato' Meor, Cikgu Majid Mat Isa, Allahyarhamah Cikgu Siti Kalsom, Cikgu Khir Saad, Cikgu Kahar Redza (pemandu peribadi ADMAR) dan saudara Allahyarham Dato' Meor seorang perempuan, kalau tak salah sepupu atau adik Ipar Allahyarham Dato' Meor.
Setibanya di rumah Pahlawan Allahyarham Aki Mat Kilau. Rombongan tersebut dijemput naik ke atas rumah. Allahyarham Dato' Meor masuk dan memberikan salam. Dalam pertemuan itu Allahyarham Dato' Meor telah bertanyakan kepada Allahyarham Aki Mat Kilau,
” Aki… Aki kenal tak Allahyarham Syed Zainal Al Attas salah seorang Pahlawan Pahang?”
Mendengar pertanyaan itu Allahyarham Aki Mat Kilau merenung wajah Allahyarham Dato' Meor lalu menjawab, “Oo… kenal, orang panggil Tok Janai, dia adalah guru saya”.
Lantas Allahyarham Dato’ Meor pun berkata, “Aki saya ni cucu Allahyarham Syed Zainal Al-Attas, ayah saya Allahyarham Daeng Uda Mohd Hashim dan bonda saya Allahyarhamah Shariffah Alluyah anakanda kepada Allahyarham Syed Zainal al-Attas.”
Mendengar ucapan itu, Allahyarham Aki Mat Kilau dalam mengalirkan air mata. (Mungkin terkenang Gurunya itu Allahyarham Tok Janai atau Jenai yang juga merupakan Pahlawan Pahang)
“Aki… saya sekarang mengajar Silat Seni Gayong” Kata Allahyarham Dato' Meor.
“Aki nak tengoklah macam mana permainan Silat Gayong” jawab Allahyarham Aki Mat Kilau.
Lalu Allahyarham Dato’ Meor mengarahkan Cikgu Majid dan Cikgu Khir Saad mengusung Allahyarham Aki Mat Kilau di bawa keluar ke halaman rumah untuk persembahkan permainan Silat Seni Gayong.
Dalam persembahan itu Allahyarham Dato’ Meor mengarahkan Cikgu Majid bermain pentas keris bersama Cikgu Khir Saad dan selepas itu Cikgu Majid berpasangan dengan Allahyarhamah Cikgu Siti Kalsom untuk bermain pentas pisau.
Setelah selesai menyaksikan persembahan permainan Silat Seni Gayong. Allahyarham Dato' Meor menyampaikan Sandang Kebesaran Silat Seni Gayong kepada Pahlawan Pahang ini Allahyarham Aki Mat Kilau.
Allahyarham Aki Mat Kilau sekali lagi menitiskan air mata, lantas keluarlah dari mulutnya pantun yang berbunyi,
"Gayong Bergayut Kata Bersahut, Biduk Berlalu Kiambang Bertaut."
(Dialog antara Allahyarham Aki Mat Kilau bersama Allahyarham Dato Meor ini bukanlah rekaan semata, Ianya dikongsikan oleh Dato Raja Abdul Majid Md Isa ataupun lebih dikenali sebagai Pak Ndak Majid - Guru Utama Pusaka Gayong, iaitu orang yang turut serta dalam rombongan di atas.)
"Perang Musuh Bisik" pada tahun 1821 yang dipimpin oleh Raja Kota Setar yang juga merupakan hulubalang bernama Allahyarham Syed Idris ataupun lebih dikenali sebagai Tok Moris bersama para panglimanya, Tok Imam Ha (Taha), Tok Git Nui (Taib Kecik), Tok Panglima Arshad, Tok Panglima Kecik, Tok Mo Syen, Tok Merah, Tok Kameh. Dalam Peperangan ini mereka menentang Siam dan Brirish.
Legasi perjuangan Tok Moris itulah yang diwarisi oleh anaknya Tok Jenai bersama Tok Gajah, Dato' Bahaman, Mat Kilau, Haji Mat Lela, Mat Kelubi, Awang Nong dan Teh Ibrahim dan Raden Damabulan. Mereka semua ini dianggap sebagai orang Melayu yang menyambut Panji Perjuangan mempertahankan Maruah Agama Bangsa Dan Tanah Air yang dimaksudkan oleh Allahyarham Raja Haji Fisabillillah. Para pejuang ini tidak boleh dibeli dengan harta, pangkat dan kuasa. Tiada musuh Islam yang dapat mempengaruhi mereka untuk berkhianat kepada Agama, Bangsa, Tanah air dan para teman seperjuangan.
Islam - Melayu - Silat adalah kesinambungan yang sangat teguh. Tiga simbolik itu tidak pernah akan bercerai. Ketiga itu diperlukan untuk membentuk satu "JATIDIRI" yang teguh berpasakkan TAUHID yang kukuh, berpegang kepada Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan teguh dan memartabatkan warisan Melayu barulah semangat JIHAD kita membara.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment