Tuesday, January 5, 2010

TOKKU PALOH - ULAMA YANG DITAKUTI BRITISH

Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu. Gandingan Ulama Yang Haq Dan Umara Yang Soleh menyukarkan pihak penjajah untuk mencampuri urusan pentadbiran Terengganu. 

“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tukku Paloh. ‘Tetapi, kalau hendak tanah, silakan. lsilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.”

Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tokku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu, yang diluahkan dengan tenang tapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. 

Mereka (Wakil British) bangun untuk beredar. Tetapi, dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. 

Waktu itu Tokku Paloh senyum dan berkata secara bersahaja: “Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil”.

Wakil-wakil British itu merasa malu dan terhina dan terus beredar. Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. 

Taktik diplomasi yang berjaya digunakan oleh pihak British di beberapa negeri lain, gagal di Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak (pemerintah) yang sama-sama tegas dan soleh. 

Ketika Sultan Zainal-Abidin III mula naik takhta, Tokku Paloh belum menjawat apa-apa jawatan penting secara rasmi. Tetapi sebagai seorang tokoh agama, beliau sudah berpengaruh di kalangan istana. 

Kemudian beliau menjadi Syeikhul Ulama (ketua ulama) Terengganu dan dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri dalam kerajaan Sultan Zainal Abidin. Dengan kedudukan itu Tokku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, ulama dan ahli tareqat yang arif perjalanan rohani ini lebih banyak berhubung secara peribadi dalam berbagai-bagai hal dengan Sultan Zainal Abidin. Keistimewaan ini menjadikan Tokku Paloh sebagai penasihat Sultan dan orang yang bertanggungjawab di belakang keputusan-keputusan yang dibuat oleh Sultan dalam pelbagai perkara terutamanya mengenai dasar luar negeri.

Kapal British Digoyang

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.

Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.

Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Tokku Paloh Membantu Pahlawan Pahang

Penglibatan Tokku Paloh dalam perjuangan menentang campurtangan British di Pahang berlaku apabila pahlawan-pahlawan Pahang yang memberontak terpaksa berundur akibat tekanan hebat daripada pihak berkuasa. Mereka yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tuk Gajah dan anaknya Mat Kilau berada dalam keadaan serba salah dan hampir-hampir putus asa.

Akhirnya pada bulan Mei 1894, mereka membuat keputusan menghubungi Tokku Paloh. Ternyata hubungan ini memberi nafas dan tenaga baru kepada perjuangan mereka kerana Tokku Paloh bukan saja bersimpati malah bersedia membantu pahlawan-pahlawan itu menentang pencerobohan British di Pahang. 

Selama berada di Paloh, pahlawan-pahlawan yang terkenal hebat itu menggunakan sepenuh kesempatan menuntut ilmu agama dan mendalami perjalanan rohani sebagai bekalan dalam perjuangan yang amat sukar itu. Mereka berguru dengan Tokku Paloh.

Kemudian baru Tokku Paloh menyeru pahlawan-pahlawan itu supaya melancarkan perang jihad. Sebagai bekalan rohani, beliau memberi mereka wirid-wirid dan jampi-jampi tertentu dan menghadiahkan mereka pedang yang bertulis ayat-ayat Al-Quran pada matanya. Dan dengan sokongan dan pengaruh Tokku Paloh, pasukan pahlawan itu semakin besar dan mendapat sokongan sultan dan rakyat Terengganu untuk melancarkan serangan tahap kedua berdasarkan kecintaan kepada agama dan tanahair dengan semboyan ‘perang jihad’. Semangat perang jihad begitu ketara sekali di kalangan para pejuang itu.

Ketika inilah, Hugh Clifford, Residen British di Pahang, menyedari bahayanya pahlawan-pahlawan itu berada di negeri jiran kerana mendapat sokongan Tokku Paloh untuk melancarkan serangan baru dengan kekuatan agama. Demi menjaga kepentingan British di Pahang, pada bulan April 1895 Clifford mengetuai satu angkatan serarnai 250 orang untuk melumpuhkan kekuatan pihak yang disifatkannya sebagai pemberontak-pemberontak.

Sesampai di Terengganu, Clifford mengadap Sultan Zainal Abidin untuk mendapat kerjasama baginda. Sultan Zainal Abidin dengan senang hati mengeluarkan surat kuasa (waran) kepada Clifford untuk menangkap sesiapa saja daripada kalangan rakyat baginda yang bersubahat dengan pernberontak-pemberontak. Tetapi surat itu tidak memberi kuasa untuk menyiasat kerabat diraja, keluarga Sayid serta pembesar-pembesar baginda.

Baginda juga mengeluarkan satu surat sulit kepada orang-orang Besut supaya membantu pahlawan-pahlawan Pahang yang bersembunyi di daerah itu. Taktik diplomasi yang bijak itu menyelamatkan semua pejuang Pahang dan mengecewakan usaha ketua penjajah Pahang bernama Clifford itu. Clifford sentiasa curiga terhadap Tokku Paloh kerana dalam beberapa perundingan yang diadakan dengannya, pernimpin British itu percaya Tokku Paloh tidak berkata yang sebenarnya mengenai pemberontak-pemberontak.

Kadangkala wakil-wakil British itu dipersendakan oleh Tokku Paloh. Menurut cerita dalam satu pertemuan antara Tokku Paloh dan Clifford terjadi antara lain dialog seperti berikut:

Clifford: Saya datang mahu mendapat kerjasama Tokku untuk menangkap pemberontak-pemberontak dari Pahang yang berada dalam negeri Terengganu.

Tokku Paloh: Siapa yang dimaksudkan? Kerana kami orang Islam tidak boleh menyimpan pemberontak dan penjahat-penjahat. Kalau ada penjahat tentu kami sudah tangkap dan mengenakan hukuman berdasarkan hukum Islam.

Clifford: Itu, Datuk Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikut mereka melakukan banyak kacau dalam negeri Pahang. Sekarang mereka lari ke negeri ini.

Tokku Paloh: Orang-orang itu semua baik-baik, bukan pengacau, bukan pemberontak kerana mereka menuntut pembebasan daripada campurtangan kuasa luar dalam negeri mereka, dan sebagai orang-orang Islam mereka mesti menuntut hak itu.

Sebagai satu helah, Tokku Paloh membenarkan juga angkatan Clifford itu menyiasat di Paloh sama ada benar pahlawan-pahlawan Pahang itu bersembunyi di sana (ketika itu semua mereka sudah bersembunyi di tempat-tempat selamat).

Clifford masih tidak berpuas hati kerana pasukannya gagal menemui ‘pemberontak-pemberontak’ itu. Dia percaya mereka ada bersembunyi di kawasan rumah Tokku Paloh. Ini berdasarkan beberapa bukti yang dia sendiri perolehi semasa siasatan dibuat. Tetapi dia dan pasukannya tidak berdaya berbuat apa-apa walaupun berkali-kali berunding dengan Tokku Paloh. Sebab itu bagi Clifford, penghalang besar kepada usahanya untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang itu ialah Tokku Paloh sendiri.

Malah usaha terakhir Clifford meminta jasa baik Sultan supaya memaksa Tokku Paloh menyerahkan mereka itu juga gagal. Ini membuatkan dia sedar pengaruh Tokku Paloh begitu besar sekali di istana. Akhirnya Clifford mengambil keputusan meninggalkan Terengganu pada 17 Jun 1895.

Beribu Pahlawan Melayu

Pada masa yang lain pula, penjajah British itu pula cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi dengan karamah Tokku Paloh mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga beribu orang pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagimana Tokku Paloh masih hidup.

Demikianlah antara beberapa kisah Sayyid Tokku Paloh Waliyullah dan juga seorang ulama besar yang berketurunan dari Rasullullah, yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 102 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.

Semasa hayat tokku paloh, beliau pernah solat subuh berimamkan Nabi Khidir Alayhi Salam sebanyak 2 kali. Peristiwa pertama berlaku semasa Tokku Paloh tidak sembahyang berjemaah bersama dengan murid-muridnya. Para ahli jemaah mendapati ada orang asing yang berserban jubah hijau menjadi imam pada pagi itu. Selesai sembahyang, orang yang tidak dikenali itu duduk bersandar di tiang hujung di sebelaH kanan balai itu sambil berwirid sebelum beliau pergi menghilangkan diri.

Di antara anak murid dan pengikut Tokku Paloh yang terkenal ialah Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Mat Shafie Losong, Tuk Kelam, Tuk Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Wan Embong Paloh, Haji Abdullah Chik Fatani, Tuk Gajah, dan Sultan Zainal Abidin III sendiri. 

Baginda sultan sering berulang-alik dan istananya ke Paloh untuk belajar ilmu dan berbincang mengenai berbagai perkara dengan Tokku Paloh. Baginda mempunyai minat dan kebolehan yang luar biasa dalam bidang ilmu pengetahuan. 

Selain Tokku Paloh, guru-guru baginda yang lain temasuklah Hj. Wan Abdullah Mohd Amin (Tuk Syeikh Duyung), Hj. Wan Mohd bin Abdullah, Hj. Wan Abdul Latif bin Abdullah Losong dan lain-lain. Baginda juga boleh berbahasa Arab hasil tunjuk ajar seorang guru khas, Habib Umar.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment