Keris tempa Melaka adalah sebilah keris Kerajaan Melaka yang dimiliki oleh seorang yang berjawatan Laksamana iaitu Dato Laksamana Hang Tuah. Keris tempa Melaka adalah kurnian Sultan Melaka kepada Dato Laksamana Hang Tuah yang ditempa oleh Sang Guna pada abad ke-14.
Keris Tempa Melaka ditempa dengan menggunakan 21 jenis logam yang pada saya mungkin dari besi Paha, Paku, Pahat, Payung, Pasak, Parang dan Pasung. Kemudiannya 7 besi Pa ini dicampur pula dengan timah, loyang, tembaga, emas, perak, besi lela, besi hitam, besi putih, tahi besi, mayam besi, besi kuning, besi kursani, besi mimpi dan besi meteor dan bilahnya berwarna hitam berkilat yang panjangnya 3 jengkal dan mempunyai 21 lok.
Pada pendapat saya Kemungkinan besar keris tempa Melaka ini ialah sebilah sundang yang mana sifat sundang ini memang telah diketahui oleh umum untuk menetak dan melibas. Sundang adalah senjata utama jika dibandingkan dengan keris semasa dimedan perang yang digunakan secara berat dan keras jadi ianya mestilah ditempa dengan menggunakan besi waja yang tahan dan sentiasa tajam.
Ketika di Majapahit Dato Laksamana Hang Tuah dan sejumlah besar perajurit dan pembesar Melaka mengiringi Sultan Mansor Shah untuk berkahwin dengan puteri Betara Majapahit. Ketika peristiwa bersejarah ini ada disebutkan mengenai keris tempa melaka yang digunakan oleh Dato Laksamana Hang Tuah.
1). Semasa perarakan bergajah rombongan Sultan Melaka menghala ke istana Majapahit, sekonyong konyong keluar lah beberapa puluh perajurit Majapahit membuat kacau terhadap rombongan diRaja itu. Disini Dato Laksamana Hang Tuah sebagai Panglima Besar menjaga keselamatan rombongan diRaja dengan keras memberi amaran kepada semua orang orang Melaka seraya berkata "Wahai orang-orang Melaka janganlah kamu sekelian gentar dengan permainan Pateh Gajah Mada ini, siapa yang lari akan aku penggal batang lehernya dengan keris tempa Melaka tiga jengkal ini "
2). Semasa Dato Laksamana Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu memasuki taman larangan di Raja Betara Majapahit. Berpuluh pengawal istana dengan bersenjatakan tombak panjang telah mengepung kelima-lima Hulubalang Melaka itu untuk membunuhnya. Dalam pertempuran itu Dato Laksamana Hang Tuah telah melibas semua mata tombak pengawal istana menggunakan keris tempa Melaka hingga putus. Dato Laksamana Hang Tuah beserta rakannya telah membawa mata tombak itu setiap seorang ketika menghadap Betara Majapahit, dengan itu Betara Majapahit tersentap melihatnya.
3). Dan ada kisah diwaktu perang, bahtera yang dinaiki Dato Laksamana Hang Tuah tersangkut sauhnya di dasar laut dan tidak dapat dinaikkan. Maka beramai-ramai orang anak kapal cuba menarik rantai sauh yang besar itu tetapi tidak juga terangkat. Ketika itu Dato Laksamana Hang Tuah melihat segala usaha untuk menarik rantai sauh sia-sia, maka Dato Laksamana Hang Tuah pun mencabut kerisnya dari sarung lantas memotong rantai sauh yang besar itu dengan sekali libasan.
Kesimpulannya disini dapat lah kita mentafsirkan bahawa keris tempa Melaka yang dimaksudkan itu ialah sejenis Keris Sundang yang mempunyai bilah yang tajam dan kuat serta sifatnya yang memang digunakan untuk memenggal, memarang, menetak dan melibas. Jujur saya katakan keris tempa melaka ini lebih tajam dan utuh berbanding samurai.
Jika kalian ada pendapat yang lain sila kongsikan. Tidak semestinya pendapat dan kajian saya betul mengenai keris tempa melaka. Cuma saya lebih percaya keris tempa melaka itu adalah sejenis sundang. Apapun pendapat kalian saya akan raikan. Kita sama-sama belajar dan mengkaji. Persoalannya SEKARANG DIMANA KERIS TEMPA MELAKA, KEMANA HILANGNYA?
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment